top of page
Search

Holiday Inn Sepang – Airport (31/1/25 – 1/2/25)

hanuds

Dari Setia Alam saya ke Sepang Selangor untuk ke satu hotel di bawah rangkaian IHG. Hotel ini telah memulakan operasinya pada Ogos 2023. Terletak di Kota Warisan, hotel ini telah menjadi antara hotel kegemaran saya sejak pertama kali ke sini pada September 2023. Ini merupakan kali keempat saya ke sini, kali terakhir ialah pada bulan Mac tahun lepas. Sekali lagi saya menggunakan kadar korporat kakitangan MAG. Untuk bilik Standard, ianya berharga RM210 dan harga ini tidak termasuk cukai dan juga sarapan pagi.


Saya tiba di hotel pada kira-kira pukul 3.30 petang dan terus sahaja ke kaunter untuk proses daftar masuk (check-in). Lobi hotel ini agak luas dan kelihatan ringkas sahaja. Selain kaunter terdapat sebuah restoran (di sini pengunjung akan bersarapan pagi) serta sebuah kafe. Proses daftar masuk agak lambat kerana saya tidak menempah bilik secara atas talian (online) sebaliknya hanya menempah bilik bila tiba di hotel (walk-in). Setelah mendapat kad akses bilik saya terus sahaja ke Tingkat 8. Hotel ini mempunyai empat buah lif.


Bilik Standard hotel ini mempunyai keluasan 323 kaki persegi dan ianya agak luas. Sebaik memasuki bilik terdapat almari di sebelah kanan pintu masuk dan bilik air pula terletak di sebelah kiri. Di dalam almari terdapat tempat untuk menyangkut baju dan dua pasang jubah mandi (bathrobe) digantung di dalamnya. Selain itu terdapat juga seterika dan papan seterika. Di sebelah almari ini terdapat kabinet kecil menempatkan perkakas untuk membancuh kopi dan teh, serta cerek letrik.


Di ruang katil selain satu katil king terdapat satu sofa yang agak besar di sebelah kirinya. Di hujung sofa ini terdapat satu meja kecil. Sepanjang dinding bertentangan dengan kaki katil terdapat meja yang panjang di mana di bahagian kirinya terdapat satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat di sini. Di atas meja terdapat satu lampu bacaan serta talipon. Di bahagian tengah pula terdapat peti sejuk mini dan juga peti simpanan keselamatan. Di dinding bahagian atas meja panjang ini terdapat TV bersaiz besar, mungkin 60 inci.


Bilik airnya pula agak besar menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancurannya ditutupi dengan cermin seratus peratus lutsinar dan saiznya agak luas. Terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang di dalamnya. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi, tuala tangan serta tuala muka.


Hotel ini mempunyai kolam renang yang besar yang terletak di Tingkat 3. Selain kolam renang untuk dewasa, terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak tetapi saiznya kecil sahaja. Waktu kolam renang ini dibuka ialah pada pukul 7 pagi dan ditutup pada pukul 8 malam. Di sebelah kolam renang ini terdapat sebuah gimnasium yang beroperasi 24 jam.


Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan sekitar 30mbps. Bagi telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 283mbps sementara Tune Talk pula 224mbps. Hotel ini menyediakan siaran TV yang banyak dan kebanyakkan siarannya di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat cuma airnya agak lambat untuk panas. Di dalam bilik penghawa dingin hotel ini sangat sejuk. Untuk yang membawa kenderaan, hotel ini ada menyediakan parkir dan ianya adalah percuma.


Seperti yang saya nyatakan dalam ulasan saya sebelum ini, hotel ini menjadi antara hotel kegemaran saya disebabkan lokasinya yang terletak berhampiran dengan berbagai fasiliti. Terdapat banyak restoran berhampiran hotel dan pengunjung boleh memilih jenis makanan yang mereka inginkan. Antara restoran kegemaran saya apabila menginap di sini ialah restoran masakan padang dan juga ayam gepuk. Di waktu petang ramai peniaga membuka gerai-gerai di hadapan hotel. Hotel ini juga berdekatan dengan KIP Mall di mana pengunjung boleh juga makan ataupun membeli-belah di sini. Seperkara lagi yang menarik ialah kolam renangnya yang besar.


Hotel ini agak popular di kalangan pelancong asing kerana ianya dijadikan transit untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana jaraknya hanyalah 12km. Untuk ke Mitsui Outlet Park pula, jaraknya hanyalah 8.3km. Hotel ini ada menyediakan bas ulang-alik untuk ke KLIA dan juga Mitsui Outlet Park. Bagi yang ingin datang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini berdekatan dengan Stesen ERL Salak Tinggi iaitu hanya 2.4km. Pengunjung bolehlah menaiki e-hailing yang banyak terdapat di kawasan ini.


Bilik



Bilik Air



Kolam Renang



Hotel



 
 
 

Commenti


Post: Blog2_Post
  • Facebook
  • Twitter
  • LinkedIn

©2020 by Bumi dipijak langit dijunjung. Proudly created with Wix.com

bottom of page