Untuk penutup bagi tahun 2023, staycation saya ialah ke satu hotel yang pernah saya inap pada bulan September yang lepas. Hotel ini telah memulakan operasinya pada Ogos 2023 dan terletak di Kota Warisan, Sepang. Melalui aplikasi IHG, saya menempah bilik standard yang berharga RM653.20 dan harga ini adalah untuk 2 malam berserta sarapan untuk 2 orang.
Saya tiba di hotel pada pukul 2.00 petang dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi, di tingkat bawah hotel. Lobi hotel ini agak besar tetapi agak kosong. Selain lobi, terdapat restoran di aras yang sama di mana pengunjung akan bersarapan pagi di sini. Proses untuk daftar masuk (check-in) sekejap sahaja dan sebaik menerima kad akses saya terus ke tingkat 5 dengan menaiki lif. Terdapat 4 buah lif di hotel ini dan masa untuk menunggu lif tidaklah lama oleh kerana pengunjung tidaklah ramai.
Bilik standard hotel ini mempunyai keluasan 323 kaki persegi dan ianya agak luas. Sebaik memasuki bilik terdapat almari pakaian di sebelah kiri pintu masuk. Almari ini mempunyai pintu gelongsor dan saiznya agak besar. Di dalam almari selain tempat untuk menyangkut baju, terdapat juga seterika dan papan seterika. 2 pasang jubah mandi (bathrobe) digantung di dalamnya. Selain itu terdapat sehelai sejadah dan juga 1 lampu suluh. Di bahagian tepi almari ini terdapat rak yang menempatkan perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh, termasuklah cerek letrik.
Di bahagian katil selain satu katil king, terdapat sofa yang sederhana besar di sebelah kanan katil. Di hujung sofa ini terdapat meja empat segi bersaiz kecil. Di sepanjang dinding bertentangan dengan kaki katil, terdapat meja panjang di mana di bahagian tengahnya diletakan peti simpanan keselamatan dan juga peti sejuk mini. Di bahagian paling kanan sekali terdapat satu kerusi di mana pengunjung boleh melakukan kerja-kerja pejabat di bahagian ini. Di atas meja ini terdapat satu lampu bacaan dan TV berukuran 50 inci dilekatkan di dinding bertentangan dengan kaki katil.
Bilik air hotel ini kecil sahaja menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Ianya mempunyai pintu yang boleh dikunci dari dalam. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancuran pula agak luas dengan pancuran jenis siling dan juga pegang. Peralatan mandian lengkap disediakan termasuklah berus gigi dan tuala muka dan juga tuala tangan.
Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di Tingkat 3 dan saiznya agak besar dengan kedalaman 1.4 meter. Selain kolam renang untuk dewasa, terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak. Waktu operasi kolam renang hotel ini ialah dari pukul 7 pagi hingga 8 malam. Selain kolam renang di aras yang sama juga terdapat sebuah mini gimnasium. Untuk wifi percuma pula, di dalam bilik ianya mempunyai kelajuan sekitar 28mbps sementara Telco pula berkelajuan 55mbps (Tunetalk) dan 50mbps (Celcom). Siaran TV hotel ini agak banyak dan kesemuanya di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan ini adalah antara hotel yang saya suka mandi di pancurannya.
Menu sarapan hotel ini tidak begitu pelbagai tetapi bagi saya ianya sedap. Saya sempat mencuba beberapa menu dan ianya sedap, cuma sambal nasi lemaknya agak masin bagi saya. Saya juga sempat mencuba servis in-room dining dan memilih nasi gorengnya yang berharga RM47.70 (termasuk caj perkhidmatan) dan ianya juga sedap (tetapi masih belum dapat menandingi keenakan nasi goreng di Hilton Garden Inn Puchong).
Seperti ulasan saya yang lepas, hotel ini bukan sahaja boleh dijadikan transit untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tetapi boleh juga dijadikan hotel untuk staycation seisi keluarga. Hotel ini tidak begitu sibuk dan mempunyai kolam renang yang bersaiz agak besar. Selain itu lokasi hotel ini terletak di tengah-tengah rumah kedai di mana pengunjung boleh memilih tempat untuk makan yang terdapat begitu banyak di sekitar hotel ini. Untuk yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini terletak hanya 2.4km ke Stesen ERL Salak Tinggi. Dari sini pengunjung boleh ke KLIA ataupun ke KL Sentral dengan menaiki ERL. Untuk ke KLIA, jarak dari hotel ini ialah sekitar 12km dan untuk ke Mitsui Premium Outlet, ianya sekitar 8km.
Bilik
Bilik Air
Kolam Renang
Sarapan
Comments