top of page
Search
hanuds

Holiday Inn Sepang – Airport (23-24/9/23)

Pada minggu ini saya memilih satu hotel yang baru sahaja memulakan operasinya pada bulan lepas. Hotel di bawah rangkaian IHG ini terletak di Kota Warisan di dalam Daerah Sepang, Selangor. Saya telah memilih bilik jenis Double Standard dengan menggunakan aplikasi IHG kerana hotel ini mengadakan promosi sempena pembukaannya. Harga bilik standard ini ialah RM301.70 termasuk sarapan pagi untuk 2 orang.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 12.45 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi iaitu di tingkat 1. Lobi hotel ini agak besar dan selain kaunter terdapat juga restoran di aras yang sama serta satu kafe. Proses untuk daftar masuk (check-in) mengambil masa hanya beberapa minit sahaja dan sebaik mendapat kad akses saya terus ke tingkat 11 dengan menaiki lif. Terdapat 4 buah lif di hotel ini dan masa untuk menunggu lif tidaklah lama kerana pengunjung tidaklah ramai pada masa itu.


Bilik standard ini mempunyai keluasan 30 meter persegi (322 kaki persegi) dan agak luas. Sebaik memasuki bilik terdapat almari baju di sebelah kiri pintu masuk. Selain menempatkan tempat untuk menyangkut baju, terdapat juga seterika dan papan seterika di dalam almari ini. 2 pasang jubah mandi (bathrobe) turut digantung di dalamnya. Di dalam almari ini juga terdapat mesin pengering rambut (hair dryer). Di sebelah almari ini pula terdapat kabinet menempatkan perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh termasuklah cerek letrik. Di sini juga terdapat 2 botol air mineral. Sementara di sebelah kanan pintu masuk pula terletaknya bilik air.


Bilik yang saya inap ini mempunyai 2 katil bujang (single bed) yang dirapatkan. Di sebelah kanan katil terdapat satu sofa sederhana besar dan di hujung sofa ini terdapat satu meja kecil. Di penjuru bilik di sebelah sofa ini pula diletakan satu lampu yang agak besar. Di dinding bertentangan dengan kaki katil pula terdapat kabinet panjang di mana di bahagian tengah kabinet terdapat peti sejuk mini dan juga peti simpanan keselamatan. Di bahagian hujung sebelah kanan pula terdapat satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja pejabat. Di atas meja di bahagian ini terdapat satu lampu bacaan. Seperti kebanyakan hotel, TV digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil dan hotel ini menyediakan TV yang agak besar, bersaiz 50 inci.


Bilik airnya pula sederhana besar menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Di sebelah mangkuk tandas terdapat gelung paip untuk keselesaan pengunjung. Ruang pancuran pula agak luas menempatkan pancuran jenis siling dan juga pegang. Hotel ini menyediakan perkakas mandian yang lengkap, termasuklah berus gigi, tuala tangan dan juga tuala muka. Tuala mandi hotel ini sangat lembut dan selesa dan saiznya besar.


Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di tingkat 3 dan ianya adalah di ruang yang terbuka, mengadap ke bahagian hadapan bangunan hotel. Saiz kolam untuk dewasa luas dan mempunyai kedalaman 1.4 meter. Terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak yang terletak di sebelahnya. Waktu kolam renang ini dibuka ialah pada pukul 7 pagi dan ditutup pada pukul 10 malam. Di tepi kolam renang ini terdapat juga sebuah gimnasium tetapi saya tidak pasti waktu ianya beroperasi.


Di dalam bilik, wifi percuma hotel ini sangat laju di mana kelajuannya mencecah 154mbps (muat turun) dan 123mbps (muat naik). Walau bagaimanapun kelajuan telco agak perlahan di mana Tune Talk hanya mencapai kelajuan 61mbps (muat turun) dan 2mbps (muat naik) sementara Celcom pula 48mbps (muat turun) dan 2mbps (muat naik). Hotel ini menyediakan banyak siaran TV dan kesemuanya di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya sangat berpuas hati mandi di pancurannya.


Sarapan di hotel ini ialah di restoran yang terletak di tingkat 1 (aras sama dengan lobi). Waktu untuk sarapan pagi ialah pada pukul 6.30 pagi hingga 10.30 pagi. Saya turun untuk bersarapan pada pukul 7.30 pagi dan orang telahpun ramai tetapi meja masih ada yang kosong. Menu sarapan pagi di hotel ini banyak serta pelbagai dan bagi saya ianya sedap (saya hanya mencuba nasi lemak dan beberapa menu lain). Hotel ini ada menyediakan servis in-room dining dan harganya agak berpatutan bagi saya. Sebagai perbandingan nasi goreng kampung berharga RM45, mee goreng mamak RM38 dan jus buah-buahan pula RM16.


Oleh kerana hotel ini terletak berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hotel ini turut menyediakan pengangkutan percuma ke KLIA setiap satu jam. Selain itu hotel ini juga menyediakan pengangkutan percuma ke Mitsui Premium Outlet tetapi saya tidak pasti kekerapannya. Bagi yang membawa kenderaan pula, hotel ini ada menyediakan parkir di basement hotel dan ianya adalah percuma.


Secara peribadi saya suka dengan hotel ini terutama dari segi lokasinya. Hotel ini masih baru dan segala kelengkapannya juga masih lagi baru. Bilik hotel ini sangat bersih dan kemas cuma pencahayaan di dalam bilik tidak seimbang kerana tidak terdapat lampu di ruang meja kerja (hanya lampu bacaan sahaja) menjadikan ruang ini agak gelap. Kakitangan yang bertugas juga sangat baik dan ramah. Semasa proses daftar masuk kad kredit saya telah tertinggal di kaunter dan kakitangan yang bertugas dengan pantas menghubungi saya dan telah menghantar kad kredit saya ke bilik. Jika pembaca tidak kisah dengan harganya yang agak mahal, hotel ini bukan sahaja boleh dijadikan transit untuk ke KLIA tetapi sesuai juga untuk dijadikan tempat berehat dan bersantai samada untuk yang solo, berpasangan ataupun bersama keluarga. Bagi yang suka bersarapan di hotel, hotel ini boleh dijadikan pilihan kerana sarapan paginya yang pelbagai serta enak. Hotel ini mempunyai segala kemudahan dan yang lebih penting lokasinya yang terletak di persekitaran rumah-rumah kedai. Selain KIP Mall terdapat banyak restoran dan kedai makan di sekitar hotel dan ini memudahkan pengunjung untuk makan jika enggan makan di hotel. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini hanya terletak kira-kira 2.5 km untuk ke Stesen ERL Salak Tinggi. Dari sini pengunjung boleh ke KLIA dan KLIA2 atau pun ke KL Sentral dengan menaiki ERL sahaja. Saya bercadang untuk kembali ke hotel ini dan memilih bilik yang lebih besar pula.


Bilik


Bilik Air


Kolam Renang


Sarapan


Hotel


Pemandangan dari Hotel


143 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page