top of page
Search
hanuds

Holiday Inn Sepang – Airport (23-24/3/24)

Updated: Mar 28

Ini merupakan kali ketiga saya ke hotel ini sejak ianya dibuka pada tahun lepas. Antara sebab mengapa saya gemar ke sini ialah kerana suasana hotelnya yang tenteram (tidak sibuk), makanannya yang sedap serta terdapat banyak kemudahan di sekelilingnya. Hotel ini adalah salah satu hotel di bawah rangkaian IHG tetapi saya tidak menggunakan aplikasi tersebut sebaliknya menggunakan kadar korporat (corporate rate) Malaysia Aviation Group (MAG). Di aplikasi IHG harga hotel ini ialah sekitar RM350.


Saya tiba di hotel pada pukul 1.30 petang dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di tingkat bawah (lobi). Lobinya agak besar tetapi agak ringkas. Selain kaunter di aras yang sama juga terdapat sebuah restoran di mana pengunjung akan bersarapan pagi di sini. Proses daftar masuk (check-in) sekejap sahaja dan selepas mendapat kad akses saya terus ke Tingkat 11. Hotel ini menyediakan 4 buah lif dan masa menunggu tidaklah lama. Seperti dua staycation saya yang lepas, saya hanya memilih bilik standard.


Bilik standard hotel ini mempunyai keluasan 323 kaki persegi dan ianya agak luas. Sebaik memasuki bilik terdapat almari yang agak besar di sebelah kanan. Di dalam almari ini selain terdapat tempat untuk menyangkut baju, terdapat juga seterika dan papan seterika serta 2 pasang jubah mandi (bathrobe) yang digantung di dalamnya. Di sebelah almari ini terdapat kabinet menempatkan perkakas untuk membancuh kopi dan teh. Di ruang katil pula selain satu katil king, terdapat sebuah sofa di sebelah kiri katil serta satu meja kecil di hujungnya. Di sepanjang dinding bertentangan dengan kaki katil pula terdapat meja yang panjang di mana di tengahnya terdapat ruang yang menempatkan peti keselamatan serta peti sejuk mini. Di bahagian hujung kiri meja ini diletakan satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja di sini. Di atas meja di bahagian ini juga terdapat satu lampu bacaan yang kecil. TV pula dilekatkan di dinding dan saiznya sekitar 55 inci.


Bilik air pula terletak di sebelah kiri pintu masuk dan saiznya agak kecil. Di dalamnya terdapat singki, tandas serta ruang untuk pancuran (shower). Gelung paip ada disediakan di sebelah mangkuk tandas dan hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi, tuala muka dan tuala tangan. Ruang pancurannya agak kecil tetapi masih lagi selesa, menempatkan pancuran jenis siling dan juga pegang.


Hotel ini mempunyai kolam renang bersaiz besar yang terletak di Tingkat 3. Waktu operasinya ialah pada pukul 7 pagi sehingga 8 malam setiap hari. Selain kolam renang untuk dewasa terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak yang bersaiz kecil. Di sebelah kolam renang pula terdapat gimnasium yang beroperasi 24 jam.


Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan agak laju di mana kelajuannya mencecah 28mbps tetapi untuk telco pula ianya tidak begitu laju mungkin disebabkan lokasi hotel ini yang terletak berdekatan dengan lapangan terbang. Celcom hanya mencapai kelajuan 44mbps sementara Tune Talk pula 33mbps. Hotel ini bukan sahaja menyediakan TV yang besar tetapi siaran yang disediakan juga banyak dan di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya sangat berpuas hati mandi di pancurannya. Hotel ini ada menyediakan parkir dan ianya adalah percuma untuk pengunjung hotel.


Bertemakan ‘Warisan Muhibbah’ iftar Ramadan hotel ini menyediakan menu berbuka puasa yang banyak. Lokasinya adalah di restoran di lobi hotel iaitu di The Garden Café. Harga untuk iftar Ramadan hotel ini ialah RM118+ untuk dewasa. Saya sempat mencuba beberapa menu dan boleh dikatakan makanan di hotel ini sedap terutama mi kari.


Seperti ulasan saya yang lepas, saya suka menginap di hotel ini kerana suasananya yang tenteram, sesuai untuk berehat dan bersantai di hotel. Makanan yang disediakan juga sedap termasuklah sarapan paginya yang pelbagai. Selain itu hotel ini terletak di persekitaran rumah-rumah kedai yang mempunyai banyak restoran di sini. Jika tidak makan di hotel pengunjung boleh memilih mana-mana kedai makan di sekitarnya. Kolam renang hotel ini juga besar dan harga hotel ini tidaklah terlalu mahal seperti hotel 4 bintang yang lain. Selain untuk staycation, hotel ini juga boleh dijadikan transit untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana jaraknya hanyalah sekitar 12km. Kepada yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini terletak 2.4km untuk ke Stesen ERL Salak Tinggi.



Bilik



Bilik Air



Kolam Renang



Iftar Ramadan



102 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page