top of page
Search

Holiday Inn Kuala Lumpur Bangsar (18-19/1/25)

hanuds

Minggu ini staycation saya ialah di satu hotel yang baru sahaja beroperasi pada 16 December yang lepas. Ianya dibuka secara rasmi pada 10 Januari 2025. Hotel di bawah rangkaian IHG ini terletak di Menara Alfa iaitu di Jalan Maarof Bangsar, Kuala Lumpur. Saya menggunakan aplikasi Trip.com untuk menempah bilik di hotel ini dengan harga RM325.98. Harga ini sudah termasuk cukai serta sarapan untuk dua orang.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 12.45 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi hotel. Lobi hotel ini letaknya di Tingkat 1 dan bukannya di Tingkat Bawah (Ground Floor). Lobinya cantik dan luas. Selain kaunter terdapat banyak sofa untuk pengunjung duduk sambil bersantai di sini. Selain itu terdapat juga sebuah restoran di aras yang sama di mana pengunjung akan bersarapan pagi di sini.


Saya terus sahaja mendaftar untuk masuk (check-in) dan prosesnya sangat cepat dan hotel ini tidak mengenakan sebarang deposit. Oleh kerana bilik saya telahpun sedia, saya terus sahaja diberi kad akses bilik. Bilik yang saya inap ini letaknya di Tingakt 12 dan terdapat empat buah lif di hotel ini. Oleh kerana tiada pengunjung lain pada masa saya tiba, masa untuk menunggu lif tidaklah lama.


Saya memilih bilik jenis Standard King yang mempunyai keluasan 269 kaki persegi. Sebaik memasuki bilik terdapat bilik air di sebelah kanan pintu masuk. Di bahagian katil selain satu katil king terdapat sebuah sofa yang sederhana besar di sebelah kanan katil. Di sebelah kanan kaki katil pula terdapat kabinet yang merupakan meja kerja serta sebuah kerusi untuk pengunjung membuat kerja pejabat di sini. Di sebelah kanan kabinet ini terdapat peti sejuk mini serta perkakas untuk membancuh minuman. Di atas meja ini pula terdapat sebuah mesin air panas (hot water dispenser). Hotel ini tidak menyediakan air minuman seperti kebiasaan hotel. Di kiri dan kanan katil terdapat meja sisi di mana meja sebelah kanan diletakkan peti simpanan keselamatan. TV pula digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil dan saiznya mungkin 45 inci.


Bilik airnya pula dipisahkan oleh dinding dengan bahagian katil di mana dinding ini boleh dibuka (gelongsor). Bilik airnya juga boleh ditutup dengan pintu gelongsor dan boleh dikunci. Di bahagian bilik air ini terdapat singki di sebelah kiri sementara ruang pancuran (shower) pula di sebelah kanan. Di sebelah ruang pancuran pula letaknya ruang tandas dan di bahagian paling hujung terdapat tempat untuk meletakkan barang-barang serta tempat untuk menyangkut baju yang terbuka. Di sini juga terdapat seterika dan papan seterika. Di ruang tandas terdapat gelung paip sementara di ruang pancuran pula hanya terdapat pancuran jenis pegang sahaja.


Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di Tingkat 8 dan saiznya agak besar. Ianya dibuka pada pukul 7 pagi sehingga 8 malam. Di aras yang sama terdapat juga sebuah gimnasium yang beroperasi 24 jam. Hotel ini ada menyediakan servis in-room dining dan menunya agak banyak. Harga makanannya juga tidaklah terlalu mahal. Sebagai contoh Nasi Goreng Kampung berharga RM40 dan Laksa kari pula RM25. Hotel ini ada menyediakan parkir yang terletak di ruang bawah tanah (basement) dan ianya adalah percuma.


Untuk sarapan pula, ianya bermula dari pukul 6.30 hingga 10.30 pagi di restoran yang terletak di Tingkat 1. Menu yang disediakan banyak dan seperti biasa saya hanya mencuba beberapa menu sahaja. Bagi saya ini adalah antara hotel yang menyediakan nasi lemak yang sedap, cuma sambalnya agak pedas.


Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan sekitar 30mbps. Untuk telco pula, CelcomDigi mencapai kelajuan 226mbps sementara Tune Talk pula 105mbps. Hotel ini tidak menyediakan siaran TV yang banyak, hanya terdapat siaran asas berserta beberapa siaran berita dan sukan sahaja. Tekanan air di bilik mandi pula kuat tetapi saya tidak begitu gemar mandi di pancurannya kerana tidak terdapat pancuran jenis siling serta ruang pancurannya yang agak sempit.


Sebagai sebuah hotel yang baru sahaja dibuka, segala kelengkapannya masih lagi baharu. Lokasi hotel ini terletak agak jauh dari pusat bandaraya iaitu kira-kira 10 km. Walau bagaimanapun hotel ini agak dekat dengan Pusat Membeli-belah Mid Valley, hanya kira-kira 3.8 km. Stesen LRT yang paling hampir ialah Stesen LRT Bangsar yang terletak 1 km dari hotel.


Bilik



Bilik Air


Kolam Renang



Sarapan Pagi



Hotel



Bangunan Hotel



Pemandangan



 
 
 

Comments


Post: Blog2_Post
  • Facebook
  • Twitter
  • LinkedIn

©2020 by Bumi dipijak langit dijunjung. Proudly created with Wix.com

bottom of page