Pada minggu ini saya ke satu hotel yang terletak di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. Hotel ini betul2 berhadapan dengan Menara Boustead serta Hotel Istana yang telah pun ditutup. Lokasi hotel ini memang strategik, hanya kira2 10 minit dengan berjalan kaki ke Pavilion Bukit Bintang. Ianya juga berhampiran dengan Menara Kuala Lumpur (kira2 15 minit berjalan kaki) serta 1.5 km ke KLCC.
Menggunakan aplikasi booking.com, saya menempah bilik yang paling kecil iaitu bilik jenis standard queen dengan harga RM178.52. Saya mendapat sarapan percuma (free upgrade) dari booking.com. Biliknya kecil sahaja, hanya berkeluasan 172 kaki persegi.
Saya tiba di hotel kira2 pukul 12.30 tengahari. Saya terus menaiki lif ke tingkat 1 kerana lobinya yang terletak di situ. Lifnya banyak tetapi agak lambat (mungkin sistem yang digunakan sudah lama). Semasa saya sampai di lobi, pengunjung tidaklah ramai. Saya terus membuat pendaftaran serta pembayaran. Proses check-in adalah cepat dan selepas mendapat kad akses saya terus menaiki lif untuk ke tingkat 17.
Memasuki bilik seperti hotel yang lain, terdapat bilik air di sebelah kiri pintu masuk. Selepas bilik air terdapat satu ruang terbuka untuk meletakkan barang2 dan juga untuk menyangkut pakaian. Biliknya kecil sahaja, selain menempatkan satu katil queen, terdapat juga satu meja kecil serta kerusi untuk pengunjung melakukan kerja2 pejabat. Di sebelah meja tersebut terdapat kabinet yang menempatkan satu peti ais mini dan di atasnya terdapat perkakas untuk membancuh kopi, termasuklah cerek letrik. Juga terdapat peti simpanan keselamatan di ruang ini.
TV pula seperti biasa terletak di dinding bertentangan dengan katil. Saiz TV tidaklah begitu besar, saya menjangkakan yang saiznya hanyalah 40 inci sahaja. Selain siarannya yang tidak banyak, ianya juga bukanlah dalam bentuk HD dan bagi saya kualti gambarnya agak teruk. Wifi percuma pula tidaklah laju, di bawah 5mbps. Saya menguji Tune Talk dan kelajuannya mencapai 162mbps sementara Celcom pula berkelajuan 92mbps.
Bilik airnya pula kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk mandi (shower). Terdapat salur paip di tandasnya dan ruang untuk mandi juga agak sempit. Hanya terdapat satu jenis shower sahaja (tiada shower di siling). Pintu bilik airnya berkongsi dengan pintu ruang untuk mandi. Ini bermakna bila pengunjung ingin menutup pintu bilik air, ruang untuk mandi akan terbuka. Begitu juga bila ingin menutup ruang untuk mandi, pintu ke bilik air akan terbuka. Pintu ini juga tidak boleh dikunci. Tekanan air di bilik mandi sangat kuat dan saya sangat puas mandi di hotel ini. Hotel ini tidak menyediakan berus gigi, perlu diambil di kaunter jika diminta.
Saya sebenarnya jarang sekali mengambil sarapan bila menginap di hotel memandangkan saya hanya mengambil sarapan yang ringan sahaja (lite breakfast). Oleh kerana saya mendapat upgrade percuma, saya turun juga untuk mencuba sarapan di hotel ini. Sarapan adalah dari pukul 6.30 pagi hingga ke pukul 10.30 pagi di restoran yang terletak di sebelah lobi di tingkat 1. Saya turun kira2 pukul 8.00 pagi dan semasa saya tiba orang sudah pun ramai. Meja dan kerusi adalah banyak tetapi ruang untuk diletakkan makanan adalah sempit, jadi agak berebut juga untuk mengambil makanan. Semasa saya tiba banyak makanan yang telah pun habis tetapi tidak di isi semula. Air juga begitu, banyak yang sudah pun habis. Menunya pula tidaklah banyak dan antara menu yang ada ialah nasi lemak, roti canai serta beberapa jenis roti dan buah2an. Saya hanya sempat merasa mee goreng dan rasanya agak sedap bagi saya. Bagi saya hotel ini gagal menyediakan sarapan seperti sepatutnya. Cuma saya agak terkilan dengan sesetengah orang kita bila terdapat meja di mana di atasnya ada makanan yang ditinggalkan tanpa menghabiskannya. Saya sebenarnya kurang faham kenapa mereka mengambil makanan kemudian meninggalkannya begitu sahaja tanpa menghabiskannya.
Secara keseluruhanannya hotel ini bagi saya tidak begitu sesuai untuk staycation. Selain biliknya yang kecil (merujuk kepada bilik yang saya inap), hotel ini juga tidak mempunyai pool untuk pengunjung bersantai. Hotel ini mungkin sesuai bagi yang ingin menginap untuk tujuan berkerja. Hotel ini perlu memperbaiki mutu sarapannya jika ingin mendapat rating yang baik. Hanya lokasi sahaja yang menjadi faktor kenapa orang akan menginap di sini.
Bilik
Bilik Air
Hotel
コメント