top of page
Search
hanuds

Hilton Petaling Jaya (5-6/10/24)

Minggu ini staycation saya masih lagi di Petaling Jaya untuk ke satu hotel yang telah lama beroperasi. Mengikut carian di internet, hotel ini telah dibuka pada 1982 sebelum diambil alih oleh Hilton pada 1984 hinggalah kini. Ini merupakan kali kedua saya ke hotel ini, kali pertama pada Januari 2022 tetapi sebelum ianya diperbaharui (refurbished). Saya menempah bilik hotel ini hanya beberapa jam sebelum daftar masuk (check-in) melalui aplikasi Trip.com. Saya memilih bilik premium dengan harga RM381.06 (harga ini telahpun termasuk cukai tetapi tanpa sarapan pagi).


Saya tiba di hotel pada pukul 2 petang dan terus sahaja ke lobi yang serba serbinya baru. Lobinya besar, cantik dan kelihatan mewah. Proses daftar masuk hanya mengambil masa beberapa minit sahaja dan oleh kerana bilik telahpun sedia, saya terus diberi kad akses bilik. Hotel ini tidak mengenakan sebarang deposit. Saya menaiki lif untuk ke Tingkat 13 dan hotel ini mempunyai 4 buah lif di mana dua buah lifnya masih lagi dalam proses pengubahsuaian.


Bilik premium ini mempunyai keluasan 344 kaki persegi dan ianya agak luas. Sebaik memasuki bilik saya merasakan seolah-olah memasuki hotel yang baru sahaja dibuka, kerana segala perabut dan kelengkapannya masih lagi baharu. Di sebelah kiri pintu masuk terdapat dua almari yang agak besar. Almari pertama menempatkan tempat untuk menyangkut baju dan juga peti simpanan keselamatan. Almari kedua pula selain menempatkan tempat untuk menyangkut baju, terdapat seterika dan juga papan seterika di dalamnya. Di sini juga digantung dua pasang jubah mandi (bathrobe). Di sebelah tepi almari ini terdapat satu kabinet menempatkan peti sejuk mini dan di atasnya pula diletakkan perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh. Di bahagian ini juga terdapat dua botol air minuman yang diletakkan di dalam botol kaca. Di tepi kabinet ini terdapat satu rak untuk meletakkan barang-barang.


Di bahagian katil, selain satu katil king terdapat satu kerusi bujang dan meja bulat di sebelah kanan katil. Meja kerja pula diletakkan di penjuru kanan bilik dan saiznya sederhana besar. Seperti hotel yang lain, Smart TV berukuran 55 inci digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil. Bilik yang saya inap ini betul-betul mengadap ke Bangunan Celcom.


Bilik airnya pula terletak di sebelah kanan pintu masuk. Saiznya agak luas menempatkan singki, tandas, ruang pancuran (shower) dan juga tub mandi (bathtub). Bilik airnya mempunyai dinding yang lutsinar tetapi mempunyai bidai yang boleh dinaikkan atau diturunkan dari dalam. Tandasnya mempunyai gelung paip dan di ruang pancuarn pula terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang. Ruang pancurannya agak sempit dan saiz tub mandinya agak besar. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap dan saiz tuala mandinya sangat besar.


Salah satu kelainan hotel ini selepas diperbaharui ialah kolam renangnya di Tingkat 2 yang ditambah dengan kolam renang kanak-kanak. Saiz kolam renangnya sederhana besar dan lanskapnya selepas diperbaharui lebih cantik jika dibandingkan yang dahulu. Waktu kolam renang dibuka ialah pada pukul 6 pagi dan ditutup pada pukul 10 malam. Selain kolam renang hotel ini juga menyediakan gimnasium dan sauna yang terletak di Tingkat G. Gimnasium beroperasi 24 jam tetapi saya tidak pasti waktu sauna beroperasi.


Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan 20mbs, CelcomDigi 423mbps sementara Tune Talk pula 100mbps. Hotel ini menyediakan siaran TV yang agak banyak dan kesemuanya di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya sangat suka mandi di pancurannya. Hotel ini juga menyediakan servis in-room dining tetapi harganya mahal. Sebagai perbandingan, Nasi Goreng Kampung berharga RM60, Fish & Chips RM70 dan jus buah-buahan pula berharga RM25. Bagi yang membawa kenderaan, hotel ini ada menyediakan parkir dengan bayaran RM3 untuk sekali masuk.


Secara peribadi saya sememangnya suka dengan suasana hotel ini tambahan pula ianya baru sahaja diperbaharui tetapi proses ubahsuai masih lagi berjalan. Segala kelengkapannya serba serbi baru dan saya merasakan berada di hotel yang baru sahaja dibuka. Hotel ini sangat sesuai untuk berehat dan bersantai di hotel kerana mempunyai fasiliti yang lengkap, tambahan pula harganya yang tidak begitu mahal. Hotel ini memang terkenal dengan makanannya yang sedap. Sepanjang saya berada di hotel, ramai pengujung makan tengahari dan makan malam di sini. Lokasi hotel ini pula terletak di tengah-tengah Petaling Jaya, hanya 16km untuk ke KLCC. Jika menggunakan pengangkutan awam, hotel ini terletak hanya 400 meter dari Stesen LRT Asia Jaya.


Bilik



Bilik Air



Kolam Renang



Hotel



Pemandangan dari Bilik



52 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page