top of page
Search
hanuds

Hilton Petaling Jaya (29-30/1/22)

Updated: Feb 5, 2022

Minggu ini saya ke satu hotel yang sangat lama telah beroperasi di negara kita iaitu sejak tahun 1984 lagi. Pada ketika itu siapa yang tidak tahu bila orang menyebut PJ Hilton. Hotel ini terletak di Petaling Jaya Selangor iaitu di Jalan Barat.


Saya pergi ke hotel ini dengan menaiki LRT dan berhenti di stesen Taman Jaya. Kemudian saya berjalan kaki ke hotel yang hanya terletak kira2 500 meter dari stesen tersebut. Saya tiba di lobi agak awal iaitu kira2 pukul 1.00 tengahari. Saya terus ke kaunter yang terletak di lobi untuk proses check-in. Lobinya tidaklah luas tetapi terdapat restoran di tingkat yang sama.


Saya diberitahu bilik telah pun siap. Proses check-in hanya mengambil masa beberapa minit sahaja di mana saya hanya perlu menandatangani satu borang (bayaran sudah pun dibuat secara atas talian). Untuk hotel ini saya memilih bilik jenis King Guestroom Plus yang mempunyai keluasan 290 kaki persegi. Bilik ini berharga RM218.19 di aplikasi trip.com.


Saya menaiki lif ke tingkat 7 di East Wing bangunan. Lifnya cepat kerana tidak ramai pengunjung pada masa itu. Walaupun biliknya hanyalah 290 kaki persegi tetapi agak luas kerana bilik airnya yang kecil. Tidak seperti kebiasaan hotel, rekabentuk biliknya agak berlainan. Bertentangan dengan pintu masuk adalah bilik air (tidak seperti kebiasaan hotel di mana terdapat lorong di pintu masuk). Kemudian ke sebelah kanan adalah biliknya yang menempatkan satu katil king. Terdapat satu sofa dan satu meja kecil di sebelah kiri katil sementara meja study terletak di sebelah dinding di tepi tingkap. Di sebelah kanan katil pula terdapat almari yang menempatkan tempat menyangtut pakaian serta seterika dan juga peti simpanan keselamatan. Di sebelah almari pula terdapat satu rak menempatkan satu peti ais mini serta cerek letrik berserta cawan dan juga kopi. TV berukuran 43 inci dilekatkan di dinding.


Untuk bilik airnya pula, ianya kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk shower. Terdapat 2 jenis shower disediakan dan tekanan air di bilik mandi sangat kuat. Saya sangat berpuas hati mandi di showernya. Tandasnya mempunyai bidet untuk keselesaan pengunjung.


Bilik yang saya inap ini mengadap ke bangunan Celcom serta boleh juga kelihatan stesen LRT Taman Jaya. Saya tidak mengambil gambar dari bilik hotel kerana cermin hotelnya yang agak kotor. Selain itu cahaya di dalam bilik juga agak suram kerana biliknya tidak mempunyai lampu di siling kecuali di hadapan pintu masuk.


Hotel ini juga menyediakan wifi percuma tetapi tidaklah laju, hanya mempunyai kelajuan kira2 5mbps. Walau bagaimanapun hotel ini ada menyediakan wifi berkelajuan tinggi tetapi ianya perlu dibayar. Untuk telco pula, kelajuan Celcom mencapai hingga 170mbps sementara Tune Talk pula 98mbps.


Hotel ini mempunyai pool terbuka yang terletak di tingkat 2 bangunan. Saiz pool agak besar dengan kedalaman 1.5 meter. Tidak terdapat pool untuk kanak2 di hotel ini. Lanskap di pool agak mengecewakan saya, tidak dihias dengan cantik walaupun kawasannya agak besar. Waktu pool beroperasi ialah pada pukul 9.00 pagi hingga 7 petang.


Secara peribadi hotel ini agak biasa bagi saya tetapi memandangkan hotel ini sudah beroperasi sejak tahun 1984, penyelenggaraannya dijaga dengan baik. Hotel ini sangat bersih bagi saya. Selain itu servis dari pekerjanya sangat baik. Saya jarang mendapat panggilan selepas memasuki bilik ditanya keadaan bilik memuaskan hati atau pun tidak dan segala keperluan adalah lengkap. Satu lagi keistimewaannya ialah restorannya yang menyajikan makanan yang sedap (dari pengalaman kawan2). Ianya mungkin benar memandangkan semasa saya check-in terdapat ramai orang yang makan di restoran tersebut. Saya sebenarnya ingin mencuba makanan di hotel ini tetapi mengubah fikiran kerana harganya yang agak mahal. Untuk perbandingan nasi goreng kampung berharga RM54 sementara teh tarik pula berharga RM26.


Untuk proses check-out pula, ianya sangat cepat di mana saya hanya perlu memulangkan semula kad akses di kaunter.


Bilik



Bilik Air



Pool



135 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page