top of page
Search
hanuds

Hilton Kuala Lumpur (12-13/2/22)

Dari hotel bajet saya ke hotel 5 bintang yang juga terletak berdekatan dengan KL Sentral. Hotel ini rasanya tidak perlu diperkenalkan lagi kerana memang sudah terkenal. Ini merupakan kali pertama saya menempah hotel menggunakan keahlian saya sebagai ahli Hilton Honors. Sebelum ini saya banyak menempah hotel menggunakan aplikasi booking.com ataupun trip.com. Untuk hotel ini saya membayar sebanyak RM354.96 untuk bilik jenis deluxe.


Saya tiba di lobi hotel agak awal kerana jarak dari Hotel Sentral ke hotel ini dekat sahaja dan saya hanya berjalan kaki untuk ke sini. Saya tiba kira2 pukul 12.15 tengahari dan terus sahaja ke kaunter untuk check-in. Saya diberitahu oleh staff bahawa bilik belum lagi siap dan saya menunggu di café hotel yang juga terletak di lobi. Sempatlah saya mencuba jus tembikai yang berharga RM32 (rupanya jus tembikai RM32 sama sahaja rasanya dengan jus tembikai RM2). Lobi hotel ini agak besar dan cantik dengan pemandangan ke arah bangunan Parlimen dan juga Tasik Perdana.


Kira2 pukul 1.30 tengahari saya diberitahu yang bilik saya sudahpun siap. Selepas mengambil kad akses saya terus menaiki lif ke tingkat 19. Hotel ini mempunyai 5 lif dan masa menunggu tidaklah menjadi masalah kerana orang pun tidaklah ramai. Bilik deluxe hotel ini mempunyai keluasan 473 kaki persegi, jadi biliknya agak besar. Memasuki bilik seperti hotel2 yang lain terdapat lorong dan hotel ini agak unik kerana dinding sebelah kanan lorong masuk dihiasi dengan lampu2 yang di sembunyikan di sebalik dinding menjadikan pencahayaan di ruang ini sangat cantik.


Di sebelah kiri lorong pula terdapat pintu gelongsor untuk ke bilik air dan juga satu rak untuk menempatkan pakaian yang juga berpintu gelongsor (rak pakaian ini boleh juga dibuka dari sebelah dalam bilik air). Selepas itu di sebelah kanan terdapat satu ruang yang agak tersembunyi menempatkan seterika, papan seterika, lampu suluh dan juga tempat untuk meletakkan beg (saya pada mulanya tidak perasan hinggalah saya ternampak satu lubang untuk membukanya).


Di ruang bilik pula selain satu katil king, terdapat satu sofa yang sederhana besar diletakkan berhampiran tingkap serta satu meja bulat kecil bersebelahannya. Di sebelah kiri katil pula terdapat satu rak kecil menempatkan satu peti ais mini dan air mineral di dalam botol kaca. Selain itu seperti biasa terdapat perkakas untuk membuat kopi, cerek letrik dan juga cawan. Di kaki katil pula terdapat satu kerusi panjang dan TV pula terletak di dinding bertentangan katil. Hotel ini menyediakan TV yang agak besar iaitu dalam 50 inci. Kemudian di bawah TV terdapat satu meja empat segi sama yang sederhana besar dan satu kerusi bagi pengunjung melakukan kerja2 pejabat. Di atas meja itu diletakkan satu lampu study (saya sebenarnya agak musykil kenapa meja ini diletakkan di sini kerana ianya mengganggu penglihatan semasa menonton TV terutamanya jika pengunjung duduk di sofa).


Di tepi katil sebelah kanan pula adalah bilik air yang dipisahkan oleh pintu gelongsor. Pintunya boleh dibuka luas hingga menampakkan yang bilik air hotel ini adalah terbuka. Di dalam bilik air terdapat bathtub yang agak kecil serta sinki dan juga ruang untuk shower. Ruang untuk shower dipisahkan oleh pintu kaca dari arah sinki tetapi terbuka di ruang bathtub. Tekanan air adalah kuat dan ini adalah antara hotel yang saya sangat suka dengan showernya. Untuk tandas pula, ianya terletak di belakang sinki dan ianya tertutup (mempunyai pintu kaca tetapi tidak boleh dikunci). Tidak terdapat bidet di tandas hotel ini. Untuk view bilik, bilik yang saya inap ini mengadap ke KL Sentral.


Hotel ini mempunyai executive lounge yang terletak di tingkat 33. Saya sempat mencuba makan dan minum di lounge tersebut. View dari lounge ini sangat cantik di mana pengunjung boleh melihat Kuala Lumpur dari arah dua2 belah bangunan. Untuk pool pula, ianya adalah terbuka dan terletak di tingkat 8 bangunan hotel. Poolnya adalah luas dan mempunyai lanskap yang cantik. Ianya juga bersambung dengan pool Hotel Le Meridien yang betul2 terletak di sebelah hotel ini. Di waktu malam pool hotel ini agak cantik (tetapi saya lebih menyukai pool Hotel Sofitel). Aras yang sama juga menempatkan gimnasium, spa dan satu restoran Jepun yang mempunyai lanskap yang cantik.


Seperti hotel2 yang lain, hotel ini juga menyediakan wifi percuma tetapi kelajuannya tidaklah laju hanya kira2 5mbps sahaja. Walau bagaimanapun bagi mendapatkan wifi dengan kelajuan tinggi, hotel ini ada menyediakan wifi berbayar. Untuk telco pula, Celcom mempunyai kelajuan 100mbps sementara Tune Talk pula mempunyai kelajuan 97mbps. Untuk TV, hotel ini menyediakan siaran yang agak banyak (Vision Four) tetapi siarannya bukannlah dalam bentuk HD. Untuk proses check-out pula, ianya adalah cepat di mana saya hanya perlu menyerahkan kad akses ke kaunter.


Sebagai hotel 5 bintang hotel ini sememangnya layak dengan reputasinya. Darilah servis staff hingga ke bilik dan juga fasilitinya, ianya memang bertepatan dengan namanya yang gah. Hotel ini sesuai untuk sesiapa sahaja termasuklah yang mempunyai anak2 kecil kerana poolnya yang besar dan cantik. Cuma yang menjadi sedikit masalah ialah bilik airnya yang mempunyai konsep terbuka kerana pintu gelongsornya boleh di buka dengan mudah. Harganya mungkin agak mahal tetapi berpadanan dengan apa yang disediakan kepada pengunjung (saya masih ingat bilik ini hanya berharga RM215++ semasa tempoh PKP pada tahun lepas, tetapi tidak berkesempatan pergi pada masa itu).



Bilik



Bilik Air



View dari bilik



Lounge



Restoran



Pool



179 views1 comment

1 Comment


suhaimi2302
Feb 17, 2022

Good reviews 👍

Like
Post: Blog2_Post
bottom of page