top of page
Search
hanuds

Hilton Garden Inn Puchong (3-4/9/22)

Pada minggu ini staycation saya agak jauh dari pusat Bandaraya Kuala Lumpur iaitu di Puchong Selangor. Hotel ini agak baru juga beroperasi dan ianya terletak di Desa Millennia Puchong. Dari maklumat yang saya perolehi di internet, hotel ini memulakan operasinya pada penghujung 2018. Melalui aplikasi Hilton Honors, saya telah menempah King Guest Room dengan harga RM171.00 (tanpa sarapan).


Oleh kerana lokasi hotel ini hanya terletak kira-kira 500 meter dari Stesen LRT Puchong Perdana, saya hanya menaiki LRT untuk ke sini. Untuk ke hotel ini pengunjung perlu menaiki LRT laluan Sri Petaling dan mengambil keretapi ke arah Putra Height (dan bukannya Ampang). Dari Stesen LRT Masjid Jamek ianya memakan masa kira-kira 50 minit untuk sampai ke Stesen Puchong Perdana. Dari Stesen LRT Puchong Perdana saya hanya berjalan kaki untuk ke hotel dan tiba di hotel kira-kira pukul 1.30 tengahari.


Bangunan hotel ini sebenarnya bercantum dengan M Square Mall dan ianya terletak di tengah-tengah kawasan perumahan (tetapi kebanyakan kedai telah pun ditutup akibat kurang mendapat sambutan). Saya terus ke tingkat 8 hotel kerana lobinya terletak di situ. Sampai di lobi saya terus sahaja ke kaunter bertanyakan samada bilik saya sudah sedia ataupun belum memandangkan saya telahpun membuat pendaftaran masuk (check-in) secara atas talian (online). Oleh kerana bilik yang diperuntukkan kepada saya belum lagi siap, saya diberi bilik di tingkat 9 hotel (asalnya di tingkat 8). Selepas diberi kad akses, saya terus sahaja ke tingkat 9 dengan menaiki lif. Terdapat 3 lif di hotel ini dan oleh kerana pengunjung tidaklah ramai, saya tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan lif.


Memasuki biliknya saya dapati biliknya seakan masih baru (ini mungkin disebabkan ianya telah dibuka pada penghujung tahun 2018 dan selepas itu tidak beroperasi sepenuhnya disebabkan pandemik). Interior biliknya nampak simple tetapi cantik. Saiz biliknya tidaklah besar tetapi tidak pula terlalu kecil. Ianya mempunyai keluasan 301 kaki persegi. Memasuki biliknya terdapat almari baju di sebelah kiri sementara bilik air pula di sebelah kanan. Almari bajunya agak besar dan di dalamnya juga terdapat seterika, papan seterika, peti simpanan keselamatan serta pengering rambut. Kemudian di sebelah almari baju ini terdapat satu kabinet kecil yang menempatkan peti ais mini di mana di atasnya diletakkan perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh, termasuklah cerek letrik. Juga terdapat 2 botol air mineral.


Ruang biliknya pula selain satu katil king, terdapat juga satu kerusi kecil di sebelah katil. Di hadapan kerusi ini terdapat satu meja bulat yang kecil. Di sudut kaki katil di tepi tingkap terdapat meja study yang sederhana besar serta kerusi untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat. Di atas meja ini pula terdapat satu lampu study. Seperti kebanyakkan hotel, TV bersaiz 50 inci dilekatkan di dinding bertentangan dengan katil.


Bilik airnya pula kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk shower. Ianya mempunyai pintu gelongsor yang boleh dikunci. Ruang tandas dan juga shower dipisahkan dengan cermin kaca seratus peratus lutsinar dan berkongsi pintu. Di ruang tandas pula terdapat gelung paip untuk kemudahan pengunjung tetapi hotel ini hanya menyediakan shower jenis pegang sahaja (tidak terdapat shower jenis siling). Berus gigi dan juga pencukur tidak disediakan dan hanya akan diberi jika diminta. Tekanan air di bilik mandi pula adalah kuat. Pemandangan dari bilik saya adalah mengadap ke Stesen LRT Puchong Perdana dan juga tasik.


Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di tingkat 8. Kolamnya sederhana besar dan selain kolam mandi terdapat juga jakuzi di sebelahnya. Ianya dibuka pada pukul 7.00 pagi sehingga ke 8.00 malam. Gimnasium pula terletak di tepi kolam dan ianya dibuka 24 jam. Selain kolam renang, di tingkat 8 ini juga terdapat restoran. Di sini pengunjung akan bersarapan pagi jika membayar harga bilik berserta sarapan.


Untuk wifi percuma pula, ianya tidaklah laju hanya sekitar 5mbps sahaja. Telco juga tidak laju di mana Tune Talk mempunyai kelajuan 18mbps sementara Celcom lebih perlahan hanya 15mbps. Tidak banyak siaran TV yang disediakan walaupun siarannya adalah dalam bentuk HD. Hotel ini ada menyediakan servis in-room dining dari pukul 1.00 tengahari hingga 9.00 malam. Agak banyak menu yang disediakan dan harganya pula tidaklah terlalu mahal. Saya sempat mencuba nasi goreng kampung (RM30) dan juga sup cendawan (RM24) dan kedua-duanya sangat sedap bagi saya. Sekarang hotel ini sedang membuat promosi hi-tea dan harganya hanyalah RM88 bagi 2 orang dewasa. Untuk yang membawa kenderaan pula, parkir ada disediakan di basement hotel (berkongsi dengan parking mall) dan ianya adalah percuma. Untuk proses check-out pula, pengunjung hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter.


Kesimpulannya saya sangat berpuas hati dengan hotel ini. Biliknya agak baru dan harganya di bawah RM200 untuk satu malam. Walaupun biliknya kelihatan agak simple tetapi ianya bersih dan cantik. Hotel ini sesuai bagi yang ingin berehat di hotel atau yang mempunyai urusan di sekitar Puchong. Bagi yang ingin bersiar-siar di Kuala Lumpur, hotel ini tidaklah sesuai kerana lokasinya yang jauh dari pusat bandaraya. Walau bagaimanapun jika pengunjung tidak keberatan untuk menaiki pengangkutan awam, hotel ini hanyalah 500 meter sahaja dari Stesen LRT Puchong Perdana. Saya merancang untuk kembali lagi ke hotel ini bagi mencuba hi-teanya pula.



Bilik



Bilik Air



View dari Bilik



Pool



Hotel



131 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page