Ini merupakan kali kedua saya ke hotel yang letaknya di Desa Millennia Puchong ini, kali pertama ialah pada 3 September yang lepas. Jika kunjungan saya yang lepas memilih bilik standard, tapi pada kali ini saya telah memilih bilik jenis deluxe. Selain lebih besar, bilik jenis deluxe di hotel ini terdapat tab mandi (bathtub). Saya membuat tempahan bilik menggunakan keahlian Hilton Honor. Harga bilik ini ialah RM227 (tidak termasuk sarapan).
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.30 tengahari dan terus sahaja ke lobi yang terletak di tingkat 6. Saya bertanyakan kepada kakitangan yang bertugas samada bilik yang saya tempah telah pun sedia (saya membuat proses check-in secara online semasa masih lagi di rumah dan di berikan bilik bernombor 1501). Kakitangan tadi memberitahu bilik 1501 masih lagi belum sedia dan beliau cuba menukar bilik lain yang telah pun sedia tetapi malangnya kesemua bilik jenis deluxe masih lagi belum siap dikemas. Saya pun hanya menunggu di lobi hotel sehingga bilik saya itu sedia.
Saya hanya mendapat bilik kira-kira pukul 3 petang (waktu check-in hotel ini ialah pada pukul 3 petang). Selepas diberi kad akses saya terus menaiki lif untuk ke tingkat 15. Terdapat 3 lif di hotel ini, dan lifnya agak lambat. Sebaik memasuki bilik saya dapat merasakan perbezaan bilik jenis deluxe ini dengan bilik jenis standard.
Bilik deluxe hotel ini mempunyai keluasan 387 kaki persegi dan ianya agak besar jika dibandingkan dengan bilik standard yang berkeluasan hanya 301 kaki persegi. Memasuki bilik terdapat almari baju di sebelah kanan pintu masuk dan saiznya agak besar. Di dalam almari ini selain terdapat tempat menyangkut baju, terdapat juga peti simpanan keselamatan, seterika dan juga papan seterika. Lampu suluh dan selipar juga diletakan di dalam almari ini. Di sebelah almari ini terdapat satu kabinet kecil menempatkan peti sejuk mini dan di atasnya terdapat kelengkapan untuk membancuh kopi, termasuklah cerek letrik. Di sebelah kabinet ini pula diletakan tempak meletak beg (luggage).
Ruang biliknya agak besar menempatkan satu katil king. Selain itu terdapat satu sofa bujang di sebelah kiri katil berserta satu meja bulat yang kecil. Meja kerja berserta kerusi pula terletak di penjuru hujung kaki katil bersebelahan dengan tingkap. Di atas meja ini terdapat satu lampu belajar. TV pula digantung di dinding mengadap ke kaki katil dan saiznya besar, mungkin 55 inci. Pemandangan dari bilik yang saya inap ini ialah mengadap ke kawasan perumahan dan juga Stesen LRT Puchong Perdana.
Bilik air pula terletak di sebelah kiri pintu masuk dan ianya mempunyai pintu gelongsor yang boleh dikunci. Saiz bilik airnya sederhana besar menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk mandi. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang mandi selain menempatkan pancuran (shower), tab mandi (bathtub) juga terdapat di ruang ini. Ianya dipisahkan oleh cermin seratus peratus lutsinar, dan mempunyai pintu. Hotel ini hanya menyediakan pancuran jenis pegang sahaja (tidak terdapat jenis siling).
Hotel ini mempunyai kolam renang yang terdapat di tingkat 6 (sama paras dengan lobi hotel). Saiz kolam tidaklah begitu besar, tidak pula begitu kecil. Selain kolam dewasa terdapat juga kolam untuk kanak-kanak di sebelahnya. Waktu operasi kolam di hotel ini ialah pada pukul 7 pagi hingga 8 malam. Di sebelah kolam renang terdapat gimnasium yang beroperasi 24 jam. Selain itu di paras yang sama terdapat juga restoran dan saya sempat makan di sini. Saya telah memilih nasi goreng kampung yang berharga RM26, dan nasi goreng kampung di hotel ini sangat sedap bagi saya (bolehlah saya katakan ini adalah nasi goreng kampung yang paling sedap pernah saya makan di mana-mana hotel yang pernah saya pergi). Untuk pengunjung hotel, diskaun sebanyak 10% akan diberikan jika makan di restoran ini. Hotel ini ada juga menyediakan servis in-room dining dan harganya tidak begitu mahal bagi saya. Selain itu hotel ini juga ada menyediakan tempat dobi yang terletak di tingkat 8 hotel.
Di dalam bilik, untuk wifi percuma ianya tidaklah laju hanya berkelajuan 6mbps sahaja. Telco pula sangat laju di mana Celcom mencapai kelajuan 113mbps sementara Tune Talk pula 95mbps. Siaran TV pula tidaklah banyak tetapi siarannya adalah dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi juga kuat dan saya agak berpuas hati cuma tidak terdapat pancuran jenis siling (saya lebih suka mandi menggunakan pancuran jenis ini). Untuk proses check-out pula, pengunjung hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter.
Secara peribadi saya agak suka dengan hotel ini. Selain harganya yang agak murah, ianya selesa dan harga makanannya juga tidak begitu mahal dan yang paling penting tentulah rasanya yang sangat sedap (nasi goreng kampung). Hotel ini letaknya agak terasing, oleh itu ianya sesuai jika hanya ingin berehat di hotel dan tidak ingin ke mana-mana. Hotel ini sesuai juga untuk keluarga kerana terdapat kolam renang yang bersaiz agak besar. Kepada yang membawa kenderaan, parkir tidak mempunyai masalah kerana terdapat banyak parkir di basement dan ianya adalah percuma. Kepada yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini hanya terletak kira-kira 600 meter dari Stesen LRT Puchong Perdana (7 minit jika berjalan kaki).
Bilik
Bilik Air
Pemandangan dari Bilik
Kolam Renang
Makanan
Hotel
ความคิดเห็น