top of page
Search
hanuds

Hilton Garden Inn Puchong (24-25/12/22)

Ini merupakan kali ketiga saya ke hotel ini. Terletak di tengah-tengah kawasan perumahan di Desa Millennia Puchong. Saya menempah bilik jenis standard menerusi aplikasi Hilton Honors berharga RM307.40 dan ianya termasuk sarapan untuk 2 orang. Untuk bilik ini biasanya harganya hanyalah sekitar RM200 sahaja tetapi kali ini agak mahal disebabkan cuti umum sempena Krismas.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 3.45 petang dan terus sahaja ke lobi yang terletak di tingkat 6. Saiz lobinya kecil sahaja. Selain kaunter, terdapat juga restoran, kolam renang dan juga gimnasium di tingkat yang sama. Proses check-in tidaklah lama kerana saya telah pun membuat proses check-in secara online menggunakan aplikasi Hilton Honors. Sebaik membuat pembayaran saya diberi kad akses bilik yang terletak di tingkat 8.


Hotel ini mempunyai 3 lif dan ianya agak lambat. Sebaik memasuki bilik, interiornya adalah sama dengan bilik ketika mula-mula saya ke hotel ini (kali kedua ke sini saya memilih bilik deluxe). Terdapat almari di sebelah kiri pintu masuk dan bilik air pula di sebelah kanan. Di dalam almari ini selain penyangkut baju terdapat juga peti simpanan keselamatan, seterika dan juga papan seterika. Selepas itu di bahagian tepi almari ini terdapat kabinet kecil menempatkan peti ais mini dan di atasnya pula diletakan perkakas untuk membancuh kopi, termasuklah cerek letrik.


Ruang bilik selain menempatkan satu katil king, terdapat satu sofa single dan meja bulat kecil di sebelah kanan katil. Meja kerja pula terdapat di ruang kanan di penjuru bilik berserta satu kerusi bagi pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat. Di dinding bertentangan kaki katil pula terdapat TV bersaiz 45 atau 46 inci.


Bilik airnya pula kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan ruang untuk pancuran (shower). Ruang tandas dan juga pancuran adalah tertutup dengan cermin dan berkongsi pintu gelongsor. Terdapat gelung paip disediakan di sebelah mangkuk tandas dan di ruang shower pula hanya terdapat pancuran jenis pegang sahaja.


Untuk sarapan pula, ianya terletak di restoran di tingkat 6. Sarapan di hotel ini agak pelbagai dan makanan yang disediakan sedap bagi saya. Harganya juga agak murah di mana pengunjung hanya perlu menambah RM20 untuk seorang atau RM25 jika walk-in. Masa untuk sarapan adalah dari pukul 6.30 pagi hingga ke 10.30 pagi.


Di dalam bilik, wifi percuma tidaklah laju, hanya mempunyai kelajuan 4mbps sahaja. Tune Talk pula berkelajuan 120mbps tetapi Celcom agak perlahan di mana kelajuannya hanyalah sekitar 63mbps sahaja. Siaran TV pula tidak begitu banyak tetapi siarannya adalah dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik air pula kuat. Untuk yang membawa kereta, hotel ini mempunyai banyak parkir yang terletak di basement hotel.


Saya sebenarnya agak menggemari hotel ini kerana makanannya yang sedap dan harganya yang agak murah walaupun ianya agak jauh dari pusat bandar. Selain itu biliknya agak cantik serta bersih dan selesa. Hotel ini tidaklah sibuk dan sesuai untuk saya berehat sambil bersantai di hotel. Makanan kegemaran saya bila ke sini ialah nasi goreng kampung. Lokasi hotel ini sebenarnya terletak hanya kira-kira 900 meter dari stesen LRT Puchong Perdana. Untuk yang suka mencuba makanan di hotel-hotel, ini adalah salah satu hotel yang saya sarankan untuk pembaca mencubanya.


Bilik


Bilik Air


Kolam Renang


Hotel


Makanan


78 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page