top of page
Search
hanuds

Hilton Garden Inn Kuala Lumpur – North (23-24/1/23)

Updated: Feb 19, 2023

Selepas dua malam di hotel dalam rangkaian Ibis, saya ke sebuah hotel di dalam rangkaian Hilton pula. Ini merupakan kali kedua saya ke hotel ini, kali pertama ialah pada Ogos 2022 (ketika itu saya memilih bilik double dengan view KLCC). Pada kali ini saya telah memilih ‘single room’ dan ini merupakan kali pertama saya mengambil bilik jenis ini di mana-mana hotel sekalipun. Saya menempah bilik hotel ini melalui keahlian saya di Hilton Honors. Bilik ini berharga RM147.32 dan ianya tanpa sarapan pagi.


Saya tiba di hotel pada kira-kira pukul 1 petang dan terus sahaja ke kaunter untuk proses pendaftaran masuk (check-in). Lobinya agak kecil dan selain kaunter terdapat juga sebuah restoran di lobi ini tetapi ianya hanya dibuka untuk sarapan pagi. Semasa saya tiba tidak ada pengunjung lain dan proses untuk check-in tidaklah lama hanya beberapa minit sahaja kerana saya telahpun membuat proses check-in secara atas talian (online). Saya diberitahu bahawa bilik belum lagi sedia dan saya terlebih dahulu makan tengahari di sebuah restoran berhampiran hotel. Saya kembali semula ke hotel pada pukul 2.10 petang dan kakitangan hotel menyuruh saya duduk terlebih dahulu. Kira-kira 10 minit kemudian kakitangan tadi menghampiri saya dan memberi kad akses bilik yang terletak di tingkat 2.


Biliknya kecil sahaja bersaiz 280 kaki persegi tetapi disebabkan ia hanya menempatkan satu katil bujang (single bed), biliknya kelihatan agak luas. Bilik air terdapat di sebelah kanan pintu masuk dan di sebelah kiri katil terdapat kabinet terbuka untuk pengunjung meletakan beg dan juga menyangkut baju. Di sini juga terdapat peti simpanan keselamatan, seterika dan juga papan seterika. Di tepi tingkap pula terdapat pangkin panjang dan di hujungnya terdapat satu kabinet menempatkan peti sejuk mini. Di atas peti sejuk mini ini diletakan pula perkakas untuk membancuh kopi ataupun teh, termasuklah cerek letrik. Di hujung satu lagi terdapat satu meja bujur yang kecil serta sebuah bangku untuk pengunjung makan ataupun melakukan kerja-kerja pejabat. TV pula dilekatkan di dinding bertentangan dengan kaki katil dan saiznya hanyalah 32 inci. Bilik yang saya inap ini letaknya di tingkat 2 dan mengadap ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, betul-betul bertentangan dengan laluan monorel.


Bilik airnya pula kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang untuk pancuran adalah tertutup dengan cermin lutsinar. Terdapat hanya pancuran jenis pegang sahaja di hotel ini. Peralatan mandian lengkap disediakan termasuklah tuala tangan tetapi berus gigi tidak disediakan. Bilik airnya agak cantik berdindingkan batu bata berwarna putih.


Hotel ini mempunyai wifi percuma yang mempunyai kelajuan sekitar 10mbps. Untuk telco pula Tune Talk mencapai kelajuan 137mbps sementara Celcom pula lebih perlahan dengan kelajuan 112mbps. Siaran TV pula agak banyak termasuk siaran Vision Four dan siarannya pula dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik air sangat kuat cuma pancuran yang digunakan tidak begitu puas untuk mandi. Hotel ini hanya mempunyai gimnasium yang terletak di tingkat bawah berhampiran lobi tetapi tidak mempunyai kolam renang. Jika pengunjung ingin mandi di kolam renang mereka perlu ke bahagian selatan (south) kerana di bangunan ini terdapat kolam renang di bumbung (rooftop). Selain kolam renang di situ juga terdapat sebuah restoran dan di waktu malam pemandangan dari atas bangunan bahagian south ini sangat cantik (saya sertakan beberapa gambar yang telah saya ambil dari rooftop ini). Bangunan north dan south ini terletak berdekatan hanya dipisahkan oleh beberapa blok bangunan sahaja.


Sebagai sebuah hotel di dalam rangkaian Hilton, hotel ini bersih dan selesa. Bilik jenis ini sudah tentu untuk yang datang secara solo, tidak kiralah untuk bisnes ataupun untuk bercuti. Walaupun bilik saya di tingkat 2 dan mengadap ke Jalan TAR serta laluan monorel tetapi tidak kedengaran dengan jelas bunyi kenderaan. Lokasi hotel ini sangat strategik di mana ianya terletak bersebelahan dengan Pasar Chow Kit dan hanya kira-kira 850 meter ke World Trade Centre (WTC) dan juga Sunway Putra Mall. Selain itu ianya hanyalah 1.2km ke kompleks membeli-belah SOGO serta Pasar Malam Jalan Tuanku Abdul Rahman dan 2km ke Dataran Merdeka. Kepada yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini terletak hanyalah 350 meter dari Stesen Monorel Chow Kit. Untuk bilik double sila baca review saya sebelum ini.


Bilik


Bilik Air


Pemandangan dari Rooftop Bahagian North


120 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page