top of page
Search
hanuds

Hilton Garden Inn Kuala Lumpur – South (31/1/23 – 1/2/23)

Jika pada 2 minggu yang lepas saya telah ke Hilton Garden Inn di bahagian north, pada kali ini saya cuba pula bermalam di single room di bahagian south pula. Hotel yang terletak di Chow Kit ini mempunyai dua bahagian iaitu north dan south dan ianya hanya dipisahkan oleh beberapa deretan kedai sahaja. Sebenarnya ini adalah kali ketiga saya ke bahagian south ini tetapi sebelum ini saya memilih bilik jenis double bed. Saya telah menempah bilik di hotel ini melalui keahlian saya di Hilton Honors yang mana bilik jenis single ini berharga RM139.20 (tanpa sarapan).


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.45 petang dan terus sahaja ke kaunter. Saya bertanyakan kepada kakitangan yang bertugas samada bilik saya telah pun siap kerana sebelum datang saya telahpun membuat proses check-in secara atas talian (online). Selepas membuat pembayaran saya diberi kad akses bilik saya yang terletak di tingkat 7. Hotel ini mempunyai 3 lif dan lifnya agak lambat (salah satu lifnya tidak berfungsi).


Bilik single di bahagian south ini lebih kecil jika dibandingkan dengan bilik single di bahagian north di mana keluasannya hanyalah 205 kaki persegi (dibandingkan single room di bahagian north yang berkeluasan 280 kaki persegi). Rekabentuk biliknya agak berlainan dari kebanyakan hotel di mana di pintu masuk tidak terdapat bilik air tetapi tingkap yang menghala ke bahagian dalam hotel (dan ini menjadikan bilik jenis ini seperti tidak mempunyai tingkap). Di tengah-tengah ruang bilik terdapat katil single dan di sebelah kirinya pula terdapat satu ruang terbuka untuk pengunjung menyimpan beg dan menyangkut baju. Di sini juga terdapat peti simpanan keselamatan. Di sebelah kanan katil pula terdapat satu meja berbentuk bujur yang kecil dan juga kerusi untuk pengunjung makan ataupun melakukan kerja-kerja pejabat. Di bahagian kaki katil di sebelah kiri pula terdapat satu lagi ruang terbuka menempatkan peti sejuk mini dan di atasnya diletakan perkakas untuk membancuh kopi ataupun teh. Di bahagian ini juga terdapat seterika dan papan seterika. TV bersaiz 45 inci pula dilekatkan di dinding di sebelah kanan katil dan kedudukannya tidaklah betul-betul tepat.


Bilik air pula terletak di bahagian hujung kaki katil dan saiznya kecil sahaja. Terdapat sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran. Gelung paip terdapat di sebelah mangkuk tandas dan ruang untuk pancuran pula separa tertutup dengan cermin lutsinar (tidak mempunyai pintu). Hanya terdapat satu jenis pancuran sahaja iaitu jenis siling. Kelengkapan mandian pula lengkap disediakan termasuklah tuala tangan dan juga berus gigi.


Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan tidaklah laju, hanya sekitar 10mbps sahaja. Telco pula agak perlahan mungkin disebabkan biliknya yang terkurung di mana Celcom hanya mencapai kelajuan 30mbps sementara Tune Talk pula 21mbps. Siaran TV pula agak banyak (terdapat 8 siaran Vision Four) dan ianya adalah dalam bentuk HD. Tekanan air pula sangat kuat cuma saya tidak begitu menggemari jenis pancuran yang digunakan.


Hotel di bahagian south ini mempunyai kolam renang yang terletak di atas bumbung bangunan (rooftop) tetapi saiznya tidaklah besar. Selain kolam renang di atas rooftop ini juga terdapat sebuah restoran dan saya sempat mencuba fish & chips dan juga jus mangga yang berharga RM54. Apa yang menarik dan menjadi tarikan pengunjung ke sini adalah pemandangannya yang cantik dari rooftop bangunan bahagian south ini. Dari atas ini pemandangan Bandaraya Kuala Lumpur sangat cantik terutamanya di waktu malam.


Hotel ini bagi saya agak berbaloi dangan harga yang dibayar. Sebagai sebuah hotel di bawah rangkaian Hilton, ianya bersih dan selesa. Lokasi hotel ini memang betul-betul terletak di Chow Kit dan hanya 1.1km ke SOGO dan juga Pasar Malam Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR). Ianya juga berhampiran dengan World Trade Centre (WTC) dan juga Sunway Putra Mall (hanya kira-kira 950 meter). Selain itu bagi yang menggunakan pengangkutan awam hotel ini terletak 450 meter dari Stesen Monorel Chow Kit. Untuk bilik jenis single ini ianya sesuai yang datang secara solo untuk kerja mahupun jika ingin bersiar-siar di sekitar Chow Kit.


Bilik


Bilik Air


Kolam Renang


Pemandangan dari Rooftop


Fish & chips dan jus mangga


Hotel


116 views0 comments

Kommentare


Post: Blog2_Post
bottom of page