top of page
Search
hanuds

Hilton Garden Inn Kuala Lumpur – North (20-21/8/22)

Setelah saya dua kali ke Hilton Garden Inn – South, minggu ini saya berpeluang untuk staycation di Hilton Garden Inn – North pula. Sebenarnya South dan North adalah dua bangunan yang berbeza tetapi berdekatan antara satu sama lain. Di masa PKP, hotel ini hanya membuka operasinya di bahagian South sahaja sementara North pula ditutup buat sementara dan barulah sekarang dibuka semula untuk kembali beroperasi.


Hotel ini terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman berhampiran dengan Pasar Chow Kit di Jalan Raja Alang, Kampung Baru. Melalui aplikasi Hilton Honor, saya telah memilih bilik jenis ‘Deluxe Queen with Twin Tower View’ yang berharga RM153.12 (tanpa sarapan). Biliknya agak besar berkeluasan 355 kaki persegi.


Saya tiba di hotel kira2 pukul 1.10 petang dan terus sahaja ke kaunter untuk pendaftaran masuk. Lobinya terletak di bahagian bawah bangunan hotel dan selain kaunter terdapat juga restoran di tingkat yang sama. Lobinya agak besar dan mungkin telah diubahsuai kerana dilihat seakan masih baru. Untuk proses pendaftaran, ianya adalah pantas dan oleh kerana bilik saya telah pun sedia, saya terus sahaja diberi kad akses (saya sebenarnya telah membuat proses check-in secara online semasa masih lagi berada di rumah).


Setelah selesai proses pendaftaran masuk, saya terus sahaja ke lif untuk ke bilik saya yang terletak di tingkat 11. Untuk ke lif pengunjung perlu menaiki tangga di mana terdapat juga gimnasium di hadapan tangga tersebut. Terdapat 3 lif di hotel ini dan memandangkan pengunjung lain tidak ada pada masa itu, saya tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan lif.


Bilik yang saya pilih ini agak besar di mana biliknya agak memanjang. Apabila masuk, terdapat satu sofa yang sederhana besar di hadapan pintu dan satu meja kopi dihadapannya serta satu katil queen di sebelah kiri. Di dinding bertentangan dengan kaki katil diletakkan TV yang agak besar di dalam bingkai kayu (saiznya dalam 45 inci). Selepas itu di dinding sebelah kiri katil terdapat satu rak yang terbuka untuk pengunjung menyangkut baju serta menyimpan pakaian. Di kirinya terdapat ruang untuk menyimpan seterika dan papan seterika serta peti simpanan keselamatan. Sementara di kanannya pula terdapat ruang yang diletakkan peti ais mini serta perkakas untuk membancuh kopi dan teh, termasuklah cerek letrik serta 2 botol air mineral.


Pintu bilik air pula terletak di antara katil dan juga rak pakaian. Bilik airnya agak besar menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk shower. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang untuk shower agak luas, ditutupi cermin seratus peratus lutsinar dan mempunyai pintu. Dinding bilik air hotel ini dihiasi dengan batu bata berwarna putih dan nampak sangat cantik. Tidak terdapat bathtub di bilik airnya dan di ruang shower pula hanya terdapat satu jenis shower sahaja, iaitu jenis pegang (tiada shower jenis siling). Tekanan air di bilik air adalah kuat.


Untuk wifi percuma, kelajuannya tidak laju hanya sekitar 5mbps sahaja. Walau bagaimanapun seperti hotel di bawah rangkaian Hilton Honor yang lain, terdapat juga wifi berkelajuan tinggi yang perlu dibayar dengan harga RM19 untuk 24 jam. Bagi telco pula, ianya juga tidak laju di mana Tune Talk hanya mencapai kelajuan 25mbps sementara Celcom pula lebih perlahan iaitu 24mbps. Di siang hari kelajuan Telco bertambah teruk di bawah 5mbps. Untuk siaran TV, hanya siaran asas sahaja yang ada tetapi disediakan juga siaran Vision Four (8 kesemuanya). Kebanyakkan siarannya adalah dalam bentuk HD. Seperti mana nama biliknya, pemandangan dari bilik adalah ke arah KLCC iaitu mengadap ke Jalan Raja Alang serta Tamu Hotel.


Hotel ini tidak mempunyai pool tetapi jika pengunjung ingin mandi di kolam renang, pengunjung perlulah pergi ke pool yang terletak di rooftop di bahagian South. Selain pool, terdapat juga restoran di atasnya. View dari rooftop di bahagian South sangat cantik terutamanya di waktu malam di mana pengunjung boleh menikmati pemandangan Kuala Lumpur dari atas. Hotel ini juga ada menyediakan servis in-room dining tetapi pilihan makanan tidaklah banyak. Harganya agak mahal di mana sebagai perbandingan fish & chips berharga RM39. Untuk proses check-out pula, saya hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter.


Saya secara peribadi sangat berpuas hati dengan hotel ini memandangkan biliknya agak besar dan harganya hanyalah sekitar RM150 sahaja. Lokasi hotel pula memang strategik di mana ianya terletak berhampiran dengan Pasar Chow Kit di Jalan Raja Alang. Hotel ini baru dibuka kembali setelah lama ditutup akibat pandemik tetapi ianya diselenggarakan dengan baik. Terdapat bahagian yang diubahsuai (refurbished) menjadikan ianya seakan baru. Di dalam bilik hanya karpet sahaja yang kelihatan agak lama tetapi yang lainnya seolah-olah masih lagi baru. Jika mendapat harga yang sama, saya pasti akan kembali lagi ke hotel ini.


Bilik


Bilik Air


View dari bilik


Hotel


View dari rooftop bahagisn south


134 views0 comments

Commenti


Post: Blog2_Post
bottom of page