top of page
Search
hanuds

Grand Hyatt Kuala Lumpur (25-26/7/22)

Sempena ulangtahun kelahiran saya pada tahun ini, saya telah memilih satu hotel 5 bintang yang terletak berhampiran dengan KLCC. Lokasinya ialah di Jalan Pinang iaitu berhampiran dengan KL Convention Centre. Di hadapannya pula ialah hotel Impiana KLCC. Melalui trip.com saya telah memilih bilik Twin Towers View King yang berharga RM750.83 (tanpa sarapan). Seingat saya harga bilik semasa PKP di hotel ini di bawah RM500.


Saya tiba di hotel pada jam 12.45 tengahari. Memasuki bangunan hotel hanya terdapat restoran kerana lobi terletak di tingkat 39 (sky lobby yang dilabelkan sebagai tingkat L). Saya terus menaiki lif untuk ke lobi. Terdapat 4 lif untuk ke lobi dan saya tidak mengambil masa yang lama untuk mendapatkan lif. Sampai di Tingkat L saya terus sahaja ke kaunter untuk proses pendaftaran masuk. Masa yang diperlukan untuk pendaftaran sangat singkat kerana saya telah pun membuat pembayaran secara atas talian. Hotel ini mengenakan deposit sebanyak RM300. Selepas diberi kad akses, saya terus ke tingkat 20 (lif untuk ke bilik adalah lain dari lif untuk ke lobi dari bawah).


Bilik yang saya pilih ini besar mempunyai keluasan 505 kaki persegi. Memasuki bilik terdapat bilik air di sebelah kiri yang mempunyai pintu gelongsor yang tidak boleh dikunci. Di sebelah pintu bilik air terdapat kabinet yang mempunyai beberapa laci yang menempatkan perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh. Di atas kabinet ini diletakkan cerek letrik dan juga air mineral (4 botol). Di sini juga terdapat satu peti ais mini jenis berlaci.


Ruang bilik hotel ini besar menempatkan satu katil king di mana kaki katil diletakkan tepat ke arah tingkap sementara dinding belakang katil adalah bilik air yang berdinding cermin. Terdapat satu sofa besar di tepi tingkap di sebelah kiri katil serta satu meja bulat yang kecil ditepinya. Meja study pula terdapat di sebelah kanan dan ditepinya pula terdapat satu kabinet yang menempatkan TV yang bersaiz 49 atau 50 inci. Terdapat satu lampu study diletakkan di atas meja.


Di sebelah kiri kepala katil terdapat satu ruang terbuka untuk ke tandas atau pun ruang untuk shower. Di ruang ini terdapat sinki serta satu ruang bercermin seakan meja solek serta satu bangku di sebelah kanannya. Kemudian ke kiri sedikit akan terdapat ruang untuk shower di mana selain shower, di ruang ini juga terdapat bathtub yang sederhana besar. Ruang shower ini dipisahkan oleh cermin berpintu yang tidak boleh dikunci dan ianya 100% lutsinar termasuk dari arah ruang katil. Terdapat 2 jenis shower iaitu jenis pegang dan juga siling. Di hadapan ruang shower terdapat tandas yang berpintu dan ianya boleh dikunci. Ruang ini kecil sahaja. Terdapat gelung paip disediakan untuk keselesaan pengunjung.


Di sebelah tandas terdapat satu ruang tertutup berpintu gelongsor menempatkan rak baju serta kabinet berlaci untuk pengunjung menyimpan dan menyangkut pakaian. Di sini juga diletakkan seterika dan papan seterika serta peti simpanan keselamatan. Di sebelahnya pula adalah pintu gelongsor dari pintu masuk tadi. Oleh itu walaupun bilik airnya boleh ditutup dari arah pintu masuk, tetapi ianya terbuka dari arah ruang kiri katil (saya sebenarnya agak pelik kenapa ia dibuat sebegitu rupa).


Hotel ini mempunyai pool terbuka yang terletak di tingkat 2 hotel. Kawasan pool adalah luas tetapi saiz poolnya tidaklah begitu besar. Saya tidak begitu suka dengan lanskap dan lampu2 yang terdapat di pool hotel ini. Bagi saya ianya tidak menggambarkan sebuah pool di hotel 5 bintang. Yang menjadi keistimewaannya hanyalah viewnya yang mengadap ke KLCC. Hotel ini juga mempunyai restoran yang terletak di tingkat 38 (boleh dilihat dari ruang lobi). Saya sempat makan di restoran hotel ini dan makanannya agak sedap bagi saya (walaupun saya makan makanan yang pelik2). Bilik yang saya inap selain mengadap KLCC, ianya juga mengadap ke arah pool.


Wifi percuma di hotel ini tidaklah laju, hanya kira2 15mbps sahaja. Telco juga perlahan di hotel ini di mana Tune Talk hanya mencapai kelajuan 24mbps sementara Celcom pula lebih perlahan hanya berkelajuan 10mbps. Sepanjang berada di bilik saya terpaksa menggunakan wifi bagi kedua2 talipon saya. TV pula besar dan mempunyai siaran dalam bentuk HD tetapi siarannya tidaklah begitu banyak. Tekanan air di bilik air pula sangat kuat dan saya sangat puas mandi di hotel ini (saya rasa ini adalah hotel yang showernya paling saya suka). Untuk proses check-out pula, saya hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter.


Secara keseluruhannya saya rasa hotel ini tidaklah terlalu istimewa walaupun bertaraf 5 bintang. Walaupun saiz biliknya besar, ianya tidak disusun dengan baik. TV diletakkan di tepi dinding di mana jika dilihat dari atas katil, sudutnya tidaklah tepat, hanya sipi sahaja. Jika dilihat dari atas sofa, ianya turut diganggu oleh orang yang sedang duduk di meja study. Bilik airnya pula adalah terbuka walaupun cermin menghala ke arah katil boleh dikaburkan (on atau off suis privacy). Jika terdapat kanak2, ianya agak sukar dikawal kerana mereka boleh sahaja pergi ke ruang shower. Selain itu cahaya di dalam bilik malap dan saya tidak begitu menyukainya. Jika diberi pilihan dengan harga yang sama, saya pasti akan memilih hotel yang lain. Masih terdapat banyak hotel di mana harganya lebih murah tetapi biliknya jika tidak lebih baik, adalah sama dengan apa yang terdapat di sini.


Bilik



Bilik Air



View dari Bilik



Pool



Lobi



Makanan



164 views0 comments

Comentarios


Post: Blog2_Post
bottom of page