top of page
Search
hanuds

Geo Resort & Hotel Genting Highlands (3-4/12/22)

Pada minggu ini saya ke Genting Highlands dan menginap di salah satu hotel yang terletak di situ. Hotel ini letaknya di Genting Permai Avenue iaitu kira-kira 4.8km sebelum Genting Highlands Premium Outlets (GHPO). Melalui aplikasi Booking.com saya telah memilih bilik jenis superior berharga RM364.20 dan harga ini adalah tanpa sarapan (saya hanya menempah hotel ini beberapa hari sahaja sebelum check-in).


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 11.40 pagi dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi di tingkat bawah hotel. Lobinya besar dan agak cantik. Saya membuat pendaftaran masuk terlebih dahulu dan hotel mengenakan deposit sebanyak RM100. Oleh kerana bilik belum lagi sedia, saya hanya meletakan beg saya dan pergi ke GHPO terlebih dahulu.


Saya kembali ke hotel kira-kira pukul 2.40 petang dan Ketika itu bilik telah pun sedia. Sebaik menerima kad akses saya terus menaiki lif ke tingkat 5. Terdapat 4 lif di hotel ini dan oleh kerana orang tidaklah ramai, masa menunggu lif tidaklah lama. Bilik superior hotel ini berkeluasan 349 kaki persegi dan ini adalah jenis bilik yang paling kecil.


Memasuki bilik terdapat satu ruang kosong dan juga almari di sebelah kanan dan bilik air pula terletak di sebelah kiri pintu masuk. Saiz almari agak besar. Selain menempatkan tempat menyangkut baju, terdapat juga seterika dan juga papan seterika serta peti simpanan keselamatan. Di sebelah almari ini terletak kabinet menempatkan peti sejuk mini dan di atasnya pula diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan teh termasuklah mesin untuk membancuh kopi. Hotel ini mempunyai bilik di mana lantainya beralaskan tikar getah dan bukannya lantai kayu ataupun karpet sebagaimana kebiasaan hotel.


Ruang bilik pula selain satu katil king, terdapat meja kerja di sudut kiri kaki katil. Saiz meja kerja ini agak kecil dan di dinding terdapat satu lampu belajar. Di sepanjang dinding bertentangan kaki katil terdapat rak berlaci untuk meletak barang-barang. Dinding bahagian atasnya pula terdapat TV yang besar bersaiz 55 atau 60 inci. Hotel ini mempunyai balkoni yang bersaiz kecil yang mengadap ke bangunan-bangunan kedai.


Bilik air hotel ini pula agak besar menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang untuk pancuran pula luas dan mempunyai pangkin untuk pengunjung mandi sambil duduk (saya suka ini). Terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang. Kelengkapan mandian pula lengkap termasuklah berus gigi, pencukur dan juga tuala muka. Juga terdapat pengering rambut di dalam bilik air.


Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di tingkat 1 dan saiznya agak besar dengan kedalaman 1.2 meter. Juga terdapat kolam renang untuk kanak-kanak di sebelah kolam dewasa. Di sebelah kolam renang ini terdapat pula restoran di mana sarapan akan disediakan di sini (harga sarapan adalah RM70 untuk seorang). Selain kolam renang, gimnasium juga terdapat di aras yang sama.


Wifi percuma di hotel ini sangat perlahan di mana kelajuannya hanyalah sekitar 2mbps sahaja. Telco pula laju di mana Celcom mempunyai kelajuan 109mbps sementara Tune Talk pula 64mbps. Untuk siaran TV pula, tidak banyak siaran yang ada tetapi siarannya adalah dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula sangat kuat dan saya sangat berpuas hati. Hotel ini ada menyediakan servis in-room dining dan harganya agak berpatutan. Sebagai perbandingan nasi goreng berharga RM35 dan fish & chips pula berharga RM37. Jika pengunjung membawa kenderaan sendiri, hotel ini menyediakan banyak parkir di basement hotel dan ianya adalah percuma. Untuk proses check-out pula, pengunjung hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter dan mengambil semula wang deposit RM100.


Secara keseluruhannya saya sangat suka dengan hotel ini. Harga yang saya bayar adalah berbaloi dengan keadaan hotel yang cantik dan bersih. Selain itu hotel ini juga tidak begitu sibuk dan sangat sesuai untuk berehat dan bersantai. Lokasinya pula sangat strategik di mana terdapat banyak kedai serbaneka dan juga restoran di sekitarnya. Selain itu terdapat banyak gerai-gerai makan di sekitar hotel. Hotel ini pula hanyalah 4.8km ke GHPO dan stesen kereta kabel serta kira-kira 11km ke puncak Genting Highlands.


Bilik


Bilik Air


Pemandangan dari Bilik


Kolam Renang


Lobi


Hotel


119 views0 comments

Comentários


Post: Blog2_Post
bottom of page