top of page
Search
hanuds

Furama Bukit Bintang, Kuala Lumpur (9-10/9/23)

Mengikut carian di internet hotel yang terletak di Bukit Bintang ini dibina pada tahun 2011. Ianya terletak di Jalan Changkat Thambi Dollah iaitu di belakang Berjaya Time Square dan di seberangnya pula ialah Bukit Bintang City Centre yang menempatkan pusat membeli-belah Lalaport. Menerusi aplikasi Trip.com saya telah menempah bilik jenis eksekutif (Executive Room) berharga RM195.94 dan harga ini adalah tanpa sarapan pagi.


Hotel ini menggunakan proses pendaftaran masuk secara atas talian (online) di mana pengunjung perlu mengisi butiran peribadi dan selepas itu pihak hotel akan menghantar satu kod bar (barcode). Kod bar ini akan digunakan di kiosk yang disediakan semasa proses pendaftaran masuk. Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.15 petang dan terus sahaja ke kiosk yang terletak di lobi hotel. Hotel ini menyediakan 2 buah kiosk dan proses pendaftarannya agak mudah dan cepat. Selain kiosk dan kaunter, terdapat sebuah kafe di lobi hotel serta sebuah mesin membancuh kopi Starbucks.


Sebaik menerima kad akses, saya terus sahaja ke bilik saya yang terletak di tingkat 13. Terdapat 4 buah lif di hotel ini dan masa menunggu lif tidaklah lama. Bilik eksekutif ini sangat besar, berkeluasan 60 meter persegi (646 kaki persegi) dan ianya mempunyai 3 bahagian, ruang tamu, bilik tidur dan juga bilik mandi. Sebaik memasuki bilik, ianya akan memasuki ruang tamu yang luas. Di sebelah kanan pintu masuk terdapat satu rak menempatkan peti sejuk mini dan juga perkakas untuk membancuh kopi dan teh. Di bahagian tengah terdapat 2 buah sofa dan meja kopi yang sederhana besar. Di sebelah kiri dan kanan sofa panjang terdapat pula 2 buah meja kecil. Di hadapan sofa ini digantung TV di dinding di mana saiz TV ini hanyalah 32 inci.


Di tepi tingkap cermin terdapat satu meja kerja yang agak besar berbentuk L dan di atasnya diletakan satu lampu tidur. Satu kerusi disediakan untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat dan ianya agak selesa. Di tepi dinding di sebelah kanan meja terdapat satu almari besar untuk pengunjung menyimpan barang-barang dan menyangkut baju. Di dalam almari ini juga terdapat peti simpanan keselamatan serta dua pasang jubah mandi (bathrobe) dan dua pasang selipar. Apa yang menarik perhatian saya di dalam almari ini terdapat penimbang berat badan analog (seingat saya ini adalah satu-satunya hotel yang tidak menyediakan penimbang digital). Di sebelah almari ini pula iaitu di bahagian tengah bilik, terdapat pintu untuk ke bilik tidur. Bilik tidurnya kecil sahaja menempatkan satu katil king dan di bahagian dinding bertentangan kaki katil terdapat satu rak kayu serta digantung TV yang juga berukuran 32 inci.


Bilik airnya pula terletak di dalam bilik tidur dan saiznya tidaklah besar tetapi tidak pula terlalu kecil. Ianya menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Tandasnya ada menyediakan gelung paip dan di ruang pancuran terdapat pancuran jenis pegang dan juga siling. Walau bagaimanapun saiz ruang pancuran ini agak sempit. Di dalam bilik mandi terdapat kelengkapan mandian termasuklah berus gigi dan saya menyukai warna bungkusan yang digunakan iaitu hitam bertulisan emas, menjadikan ianya nampak elegan.


Kolam renang hotel ini terletak di tingkat 3 dan ianya adalah di kawasan terbuka. Kolam renangnya betul-betul mengadap ke Lalaport dan juga Berjaya Time Square. Saiz kolam renang untuk dewasa sederhana besar dan terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak di sebelahnya. Lanskap dan susunatur di kolam renang ini agak cantik, tetapi di malam hari pencahayaan yang digunakan tidak begitu menarik. Kolam renang ini beroperasi pada pukul 7 pagi hingga 8 malam. Selain kolam renang, di aras yang sama terdapat juga gimnasium yang beroperasi pada pukul 6 pagi hingg 10 malam. Selain itu di tepi kolam terdapat satu restoran yang agak besar (saya agak di sini sarapan disediakan).


Di dalam bilik, hotel ini menyediakan wifi percuma dengan kelajuan 17mbps. Bagi telco pula, Tune Talk mempunyai kelajuan 70mbps sementara Celcom pula 48mbps. Siaran TV hotel ini bukan di dalam bentuk HD dan siarannya pula tidaklah banyak. Untuk tekanan air di dalam bilik mandi pula, ianya kuat dan saya sangat puas mandi di pancurannya. Untuk proses check-out pula, pengunjung hanya perlu meletakan kad akses di dalam kotak yang disediakan di lobi hotel.


Secara keseluruhan saya berpendapat harga yang saya bayar untuk bilik ini sangat berbaloi serta murah jika dibandingkan dengan keluasan biliknya. Dengan harga di bawah RM200, saya mendapat satu bilik yang sangat besar dan selesa. Walaupun lama, hotel ini bersih dan diselenggara dengan agak baik. Dari segi lokasi, hotel ini terletak di belakang Berjaya Time Square dan di seberang Lalaport. Untuk ke Lalaport terdapat jejantas dan ianya hanya mengambil masa kurang 5 minit jika berjalan kaki. Untuk yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini terletak 700 meter ke stesen monorel Jalan Imbi (berhadapan dengan Berjaya Time Square) dan 800 meter ke stesen monorel Hang Tuah (bersebelahan dengan Lalaport). Jika pembaca tidak kisah dengan keadaan hotelnya yang ‘old school’, hotel ini boleh dijadikan pilihan jika ingin bersiar-siar di sekitar Bukit Bintang terutamanya jika ingin ke Lalaport. Cuma hotel ini bagi saya agak sunyi kerana ianya agak besar, mempunyai 27 tingkat serta 433 buah bilik.


Ruang Tamu


Bilik Tidur


Bilik Mandi


Kolam Renang


Hotel


Pemandangan dari Hotel


Lalaport


173 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page