top of page
Search
hanuds

FOX Lite Hotel DPulze Cyberjaya (27-28/4/24)

Dari Bukit Bintang saya ke Cyberjaya untuk menginap di salah satu hotel di dalam rangkaian Ascott. Hotel ini terletak di DPulze Shopping Centre iaitu di Cyber 12. Dengan menggunakan aplikasi Discover ASR (Ascott Star Rewards), saya menempah bilik superior yang berharga RM131.25 dan harga ini tidak termasuk sarapan pagi.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.00 tengahari dan terus sahaja ke lobi yang terletak di tingkat bawah. Lobi hotel ini kecil sahaja dan agak ringkas di mana ianya bercantum dengan DPulze Shopping Centre. Hotel ini menggunakan proses pendaftaran atas talian (online) di mana pengunjung perlu mengimbas kod bar yang disediakan dan mengisi segala butiran yang diperlukan. Oleh kerana bilik telah pun sedia, saya terus diberi kad akses. Hotel ini mempunyai 2 buah lif dan oleh kerana pengunjung tidaklah ramai, masa untuk menunggu lif tidaklah lama.


Bilik superior ini hanya berkeluasan 204 kaki persegi tetapi ianya agak luas. Sebaik memasuki bilik, bilik air terletak di sebelah kanan pintu masuk sementara di sebelahnya pula terletak satu para untuk pengunjung meletakan beg dan barang-barang. Di dinding atas rak ini terdapat tempat untuk menyangkut baju yang terbuka. Di ruang katil selain satu katil queen terdapat satu meja kerja di sebelah kanan katil. Meja ini saiznya kecil sahaja dan di atasnya terdapat perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh. Di sebelah kiri katil pula terdapat satu meja kecil di mana di sini terdapat peti simpanan keselamatan. TV pula dilekatkan di dinding berhadapan dengan kaki katil dan saiznya sekitar 40 inci.


Bilik air hotel ini kecil sahaja tetapi agak selesa. Apabila memasuki bilik air, singki terdapat di sebelah kanan sementara tandas pula bertentangan dengan pintu. Hotel ini ada menyediakan gelung paip di sebelah mangkuk tandas. Ruang pancuran pula terletak di sebelah kiri dan ianya mempunyai pintu gelongsor yang seratus peratus lutsinar. Saiz ruang pancuran ini agak besar tetapi hanya terdapat satu jenis pancuran sahaja. Hotel ini hanya menyediakan tuala mandi tanpa peralatan mandian yang lain.


Di dalam bilik wifi yang disediakan mempunyai kelajuan sekitar 24mbps sementara TuneTalk pula 81mbps. Kelajuan CelcomDigi sedikit perlahan di mana kelajuannya hanyalah sekitar 72mbps (muat turun) dan 2mbps untuk muat naik. Hotel ini menyediakan siaran TV yang asas dan ianya di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi juga kuat. Hotel ini ada menyediakan parkir iaitu berkongsi dengan parkir shopping centre di sebelahnya.


Secara keseluruhannya hotel ini agak murah dan agak selesa untuk bermalam tetapi tidak begitu sesuai untuk bersantai dan berehat di hotel kerana tidak banyak fasiliti yang disediakan. Biliknya bersih cuma kebersihan singki dan tandasnya tidak begitu memuaskan bagi saya serta bunyi penghawa dingin yang agak kuat. Jika menginap di sini, tidak menjadi masalah untuk mencari kedai makan yang banyak terdapat di dalam DPluze Shopping Centre. Di hadapan hotel ini terdapat juga restoran mamak dan satu restoran makanan arab yang terkenal. Untuk yang menggunakan pengangkutan awam pula, stesen MRT dan ERL yang paling hampir letaknya kira-kira 7km dari hotel ini. Dari stesen tersebut pengunjung perlu menaiki grab.


Bilik



Bilik Air



Hotel



60 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page