top of page
Search
hanuds

Four Points by Sheraton Kuala Lumpur, City Centre (22-23/11/24)

Pada minggu ini saya memilih satu hotel yang agak baru beroperasi selepas menjalani proses ubahsuai secara besar-besaran. Hotel yang terletak di persimpangan Jalan Ampang dan Jalan Sultan Ismail ini dahulunya dikenali sebagai New World. Lokasinya adalah bersebelahan dengan Hotel Renaissance dan kedua-dua hotel ini adalah di bawah rangkaian Marriott. Saya membuat tempahan melalui aplikasi Trip.com dan memilih bilik Deluxe berharga RM387 (harga ini tidak termasuk sarapan pagi tetapi telah termasuk cukai).


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 3.30 petang dan untuk ke hotel ini pengunjung perlu terlebih dahulu melalui Hotel Renaissance. Lobi hotel terletak di tingkat bawah dan ianya cantik dan agak luas. Proses daftar masuk hanya mengambil masa beberapa minit sahaja dan saya telah diberi bilik yang mengadap ke KLCC (free upgrade). Bilik saya letaknya di Tingkat 20 dan hotel ini mempunyai enam buah lif. Hotel ini adalah antara hotel yang hanya membenarkan pengunjung naik ke tingkat di mana biliknya berada (kecuali di tingkat yang mempunyai fasiliti seperti kolam renang).


Dengan keluasan 322 kaki persegi bilik Deluxe ini agak besar. Memasuki bilik terdapat almari di sebelah kanan pintu masuk dan saiznya kecil sahaja. Di dalam almari ini selain tempat untuk menyangkut baju, terdapat peti simpanan keselamatan, seterika  serta papan seterika. Bilik air pula terletak di sebelah kiri pintu masuk. Selepas pintu bilik air terdapat satu kabinet menempatkan peti sejuk mini serta perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh. Di ruang katil pula, selain satu katil king, terdapat satu sofa yang agak besar di sebelah kiri katil. Di sini juga terdapat satu meja bulat yang kecil. Di penjuru kiri kaki katil terdapat satu meja kerja yang kecil serta satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat. Di atas meja ini terdapat satu lampu bacaan. Hotel ini menyediakan Smart TV yang besar, mungkin bersaiz 60 ataupun 65 inci yang digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil.


Bilik air pula agak luas dan boleh ditutup menggunakan pintu gelongsor serta boleh dikunci dari dalam. Ianya menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancurannya ditutupi sepenuhnya oleh cermin yang 100 peratus lutsinar. Ruangnya agak luas menempatkan pancuran jenis siling dan juga pegang. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi, tuala tangan dan juga tuala muka.


Salah satu keistimewaan hotel ini ialah kolam renangnya yang besar tetapi ianya berkongsi dengan Hotel Renaissance. Terletak di Tingkat 4, ianya beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 7 petang. Kolam renangnya sangat sesuai untuk membawa anak-anak mandi kerana ianya luas dan cantik serta banyak permainan disediakan. Selain kolam renang, terdapat juga gimnasium di aras yang sama di mana ianya beroperasi selama 24 jam.


Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan 28mbps, CelcomDigi 363mbps sementara Tune Talk pula 73mbps. Hotel ini menyediakan Smart TV dengan siaran percuma yang agak banyak (termasuk Vision Four) serta di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan ini adalah salah satu hotel di mana saya sangat suka mandi di pancurannya. Hotel ini ada juga menyediakan servis in-room dining sehingga pukul 10 malam tetapi menunya tidak banyak serta harganya yang mahal. Sebagai contoh, nasi ayam berharga RM75 dan nasi lemak pula berharga RM65. Untuk yang membawa kenderaan pula, hotel ini ada menyediakan parkir tetapi ianya bukanlah percuma, pengunjung akan dikenakan bayaran sebanyak RM10 dan ianya adalah tanpa tunai (cashless) sepenuhnya.


Secara peribadi ini adalah salah satu hotel yang tersenarai sebagai salah satu hotel yang akan menjadi kegemaran saya. Saya lebih menyukai hotel ini jika dibandingkan dengan Hotel Renaissance. Hotel ini lebih cantik dan begitu juga biliknya. Biliknya menggunakan lampu-lampu yang cantik dan pencahayaan di dalam biliknya juga seimbang di setiap sudut. Hotel ini sememangnya sesuai untuk staycation membawa keluarga kerana kolam renangnya yang besar. Dari segi lokasi pula, ianya terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur dan hanya 900 meter untuk ke KLCC (12 minit jika berjalan kaki). Hotel ini juga tidak terlalu jauh untuk ke Bukit Bintang, hanya kira-kira 2.2km untuk ke Pavilion. Untuk makan pula, ianya terletak bersebelahan dengan Kampung Baru di mana banyak restoran di situ. Kepada yang menggunakan pengangkutan awam pula, Stesen Monorel Bukit Nenas terletak di seberang jalan sahaja dan Stesen LRT Dang Wangi hanyalah 650 meter dari hotel. Saya pastinya akan kembali lagi ke sini kerana hotel ini telah termasuk di dalam senarai hotel-hotel kegemaran saya.


Bilik



Bilik Air



Kolam Renang



Hotel



Pemandangan dari Bilik



10 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page