top of page
Search
hanuds

Fairfield by Marriot Kuala Lumpur (2-3/2/22)

Dari Impiana KLCC saya terus sahaja ke satu lagi hotel yang baru sahaja beroperasi iaitu pada tarikh 21/12/21 yang lepas. Hotel ini terletak di Jalan Pahang, betul2 di sebelah Hotel Grand Season yang telah pun berhenti beroperasi. Lokasi hotel ini juga bertentangan dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL).


Saya menempah bilik hotel ini menerusi aplikasi booking.com. Saya telah memilih bilik yang paling kecil (juga paling murah) iaitu jenis Standard King Room yang hanya berkeluasan 204 kaki persegi. Bilik ini berharga RM169.60 untuk satu malam.


Saya tiba di hotel kira2 pukul 12.15 tengahari dan terus sahaja ke kaunter untuk proses pendaftaran masuk. Tiada pengunjung lain pada masa itu dan staff adalah seramai 2 orang. Proses check-in adalah cepat dan saya diberi kad akses untuk bilik saya yang berada di tingkat 12. Terdapat 3 lif di hotel ini dan lif adalah cepat (kerana saya seorang sahaja).


Bilik standard ini adalah kecil sahaja. Memasuki bilik terdapat rak untuk menyangkut baju di sebelah kanan serta satu peti ais mini dan juga peralatan untuk membancuh kopi. Di sebelah kiri pula terletaknya bilik air yang kecil. Selain katil king, terdapat sofa di sepanjang tingkap (ini sebenarnya menjadikan bilik ini bertambah sempit). Di hujung sofa diletakkan satu meja bulat kecil dan TV pula dilekatkan di dinding yang saya rasa bersaiz 50 inci. Tidak banyak siaran yang disediakan tetapi siarannya adalah dalam bentuk HD.


Bilik airnya pula juga kecil menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk shower. Bidet juga ada disediakan untuk keselesaan pengunjung. Pintu bilik air adalah jenis gelongsor, cuma hujungnya (untuk mengunci) dihalang oleh sinki. Bagi kanak2 ini akan mendatangkan sedikit masalah. Paip di sinki pula terletak di tepi (di sebelah kiri) dan bukannya di hadapan seperti kebiasaan sinki. Jadi cara susunan di bilik airnya agak pelik bagi saya. Satu yang unik berkenaan hotel ini adalah keseluruhan lantainya diperbuat dari kayu termasuk juga di bilik air. Ruang untuk shower juga kecil tetapi tekanan air adalah kuat dan saya sangat berpuas hati.


Hotel ini tidak mempunyai pool, walau bagaimanapun terdapat gimnasium yang terletak di tingkat 1 hotel. Juga terdapat bilik dobi untuk kegunaan pengunjung (ini saya rasa jarang ada di mana2 hotel). Selain itu terdapat restoran di tingkat 2 dan restorannya agak besar. Restoran dibuka dari jam 7 pagi hingga jam 10 malam. Saya sempat makan tengahari dan makan malam di sini dan makanannya agak sedap bagi saya. Selain itu harganya juga tidaklah terlalu mahal di mana fish & chip hanya berharga RM32.


Seperti hotel2 yang lain, hotel ini ada menyediakan wifi percuma dan kelajuannya sederhana iaitu 19mbps. Celcom mempunyai kelajuan 46mbps sementara Tune Talk pula mempunyai kelajuan 38mbps. Bilik yang saya dapat viewnya betul2 mengadap Hotel Grand Season. Untuk proses check-out pula, saya hanya perlu memulangkan semula kad akses ke kaunter.


Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan hotel ini walaupun biliknya kecil dan rekabentuk biliknya yang saya tidak berapa berkenan. Seeloknya bagi bilik yang kecil, rekabentuknya haruslah bersesuaian dengan keluasannya. Suatu yang pasti segala kelengkapan yang disediakan masih lagi baru kerana hotel ini baru sahaja beroperasi. Saya akan kembali ke hotel ini dan mencuba bilik deluxe yang lebih besar (harganya RM280++).


Bagi yang ingin ke Chow Kit atau pun ada urusan di HKL, hotel ini mungkin sesuai untuk saudara/i. Selain itu lokasinya juga berhampiran dengan stesen monorel Chow Kit memudahkan saudara/i bersiar2 sekitar Kuala Lumpur menggunakan pengangkutan awam.


Bilik



Bilik Air



View dari bilik



Restoran



Hotel



292 views0 comments

コメント


Post: Blog2_Post
bottom of page