Dari B Hotel saya ke hotel kedua iaitu Else Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Tun H S Lee. Hotel ini hanyalah 250 meter dari B Hotel dan ini merupakan kali kedua saya menginap di sini, kali pertama pada Oktober 2022 iaitu beberapa bulan selepas hotel ini dibuka. Saya tiba agak awal iaitu kira-kira pukul 12.15 tengahari dan terus sahaja ke kaunter untuk proses daftar masuk (check-in). Hotel ini tidak mempunyai lobi dan kaunter pendaftaran terletak di Tingkat 1. Terdapat 2 buah lif di hotel ini dan oleh kerana pengunjung hotel ini tidaklah ramai, masa menunggu lif sangat cepat. Hotel ini hanya mempunyai 49 bilik sahaja. Di Tingkat 1, disediakan beberapa sofa untuk pengunjung duduk sambil dilayan oleh kakitangan yang bertugas. Proses daftar masuk sangat cepat dan hotel ini mengenakan bayaran deposit sebanyak RM200. Oleh kerana bilik belum lagi sedia, saya terlebih dahulu makan tengahari di Pasar Seni yang terletak hanya 350 meter dari hotel ini.
Selepas makan tengahari saya kembali ke hotel dan mendapat kad akses pada pukul 2.10 petang (waktu masuk hotel ini ialah pada pukul 3 petang). Pada kali ini saya memilih bilik yang besar sedikit iaitu jenis Urban yang mempunyai keluasan 355 kaki persegi. Bilik ini berharga RM474.62 di aplikasi Trip.com. Harga ini termasuk cukai dan sarapan pagi untuk 2 orang. Pada kali pertama saya ke sini, saya menginap di bilik Mantra yang mempunyai keluasan 269 kaki persegi. Pada kali ini bilik yang saya inap juga terletak di Tingkat 1.
Sebaik memasuki bilik terdapat satu almari kecil di sebelah kanan pintu masuk yang mana pintunya adalah sepenuhnya cermin muka. Di dalam almari ini terdapat tempat untuk menyangkut baju dan juga peti simpanan keselamatan. Dua pasang jubah mandi digantung di dalam almari ini. Terdapat juga mesin penimbang berat badan serta dua pasang selipar. Di sebelah kiri pintu masuk terletaknya bilik air.
Di ruang katil selain satu katil king, terdapat satu sofa sederhana besar yang diletakkan di kaki katil serta 2 meja bulat yang kecil di hadapannya. Di dinding bertentangan dengan kaki katil terdapat satu kabinet yang menempatkan peti sejuk mini dan di dalamnya terdapat beberapa tin minuman yang bukanlah percuma. Di sini juga diletakkan perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh. TV pula digantung di dinding di atas kabinet ini dan saiznya mungkin 50 inci.
Bilik airnya pula agak luas ditutupi oleh cermin yang lut cahaya. Pintunya boleh dikunci tetapi jika dilihat dari luar, ianya agak jelas walaupun samar-samar. Terdapat singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Seperti juga biliknya, bilik airnya juga cantik. Tandasnya tidak mempunyai gelung paip, hanya paip kecil dari mangkuk tandas sahaja. Ruang pancurannya luas menempatkan pancuran jenis siling dan juga pegang. Peralatan mandian lengkap disediakan termasuklah berus gigi dan tuala tangan.
Kolam renang hotel ini letaknya di Tingkat 4 dan terletak di ruang terbuka mengadap ke Bangunan Dayabumi. Kolamnya tidaklah besar tetapi lanskapnya cantik. Selain kolam renang terdapat juga sebuah kafe di aras yang sama. Waktu kolam renang ini dibuka ialah pada pukul 7 pagi dan ditutup pada pukul 10 malam. Selain itu hotel ini ada juga menyediakan gimnasium dan juga perpustakaan (di sini pengunjung bolehlah melakukan kerja-kerja pejabat kerana di dalam bilik tidak disediakan meja kerja).
Hotel ini adalah salah satu hotel yang menyediakan wifi percuma yanag sangat laju di mana kelajuannya mencecah 192mbps (muat turun) dan 207mbps (muat naik). Untuk telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 524mbps dan Tune Talk pula 103mbps. Siaran TV pula agak banyak serta di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi juga kuat dan saya sangat suka mandi di pancurannya kerana ruangnya juga luas. Sarapan pula adalah di restoran yang terletak di tingkat bawah (Tingkat G) dan ianya adalah secara ala carte. Pengunjung diberi menu pilihan untuk minuman, satu menu permulaan (starter) dan satu menu utama (main). Makanan di hotel ini sedap bagi saya.
Hotel ini sememangnya menjadi salah satu hotel kegemaran saya kerana interiornya yang begitu cantik. Hotel ini hanya mempunyai 49 buah bilik oleh itu ianya tidaklah sibuk, sesuai untuk berehat dan bersantai di hotel. Selain dari bilik serta hotelnya yang cantik, lokasi hotel ini juga sangat strategik kerana terletak berhampiran dengan Jalan Petaling (Petaling Street) dan juga Pasar Seni (Central Market). Cuma jika membawa kenderaan, hotel ini tidak menyediakan parkir. Walau bagaimanapun terdapat parkir awam kira-kira 130 meter dari hotel. Saya pasti akan ke sini lagi kerana sangat menyukai suasananya yang sangat tenteram, sesuai untuk saya berehat dan bersantai di hotel.
Bilik
Bilik Air
Kolam Renang
Hotel
Sarapan
Comments