top of page
Search
hanuds

Else Kuala Lumpur (29-30/10/22)

Untuk staycation saya pada minggu ini, saya masih lagi memilih sebuah hotel yang baru sahaja dibuka. Ianya telah memulakan operasinya pada 9 September yang lalu. Terletak di Jalan Tun HS Lee, bangunan ini asalnya adalah Bangunan Lee Rubber yang telah diubahsuai untuk dijadikan hotel. Ianya telah dibina pada tahun 1930. Sebelum dijadikan hotel, bangunan ini pernah dijadikan Kedai Buku Popular. Menerusi aplikasi Trip.com saya telah memilih bilik standard yang mempunyai keluasan 355 kaki persegi. Ianya berharga RM356.90 dan ini adalah merupakan bilik yang paling murah di hotel ini dan harga tersebut adalah termasuk sarapan untuk 2 orang. Saya sebenarnya menempah hotel ini sudah agak lama, iaitu pada 18 September dan ketika itu harganya masih lagi agak murah.


Saya tiba di hotel pada kira-kira pukul 1.00 tengahari dan sebaik memasuki hotel saya disambut oleh seorang kakitangan yang bertanyakan samada saya ingin membuat proses pendaftaran masuk. Di bahagian bawah bangunan hotel ini terletaknya sebuah restoran, dan lobi adalah di tingkat 1 bangunan. Kakitangan tadi membawa saya ke tingkat 1 dengan menaiki lif sambil memberi penerangan tentang hotel ini. Terdapat 2 lif sahaja di hotel ini dan masa menunggu tidaklah lama kerana orang tidaklah ramai.


Sebaik sahaja sampai di lobi di tingkat 1, saya di minta duduk terlebih dahulu. Kemudian seorang kakitangan yang lain memberi saya ‘welcome drink’. Selepas beberapa minit menunggu seorang kakitangan menghampiri saya dengan membawa sebuah tablet. Saya diberi penerangan tentang hotel dan juga tempahan bilik saya dan kemudian saya diminta untuk menandatangani di tablet tersebut. Selepas itu saya diberi kad akses dan bilik saya terletak di paras yang sama dengan lobi, iaitu di tingkat 1.


Sebaik memasuki bilik saya memang sangat teruja dengan hiasan dalaman (interior) biliknya yang cantik. Bukan sahaja baru dan bersih, dekorasi biliknya sangat cantik dan nampak kontemporari. Lantai bilik diperbuat dari kayu dan hanya kawasan katil sahaja ditutupi karpet yang nipis. Di sebelah kanan pintu masuk terdapat sebuah almari berpintu cermin yang kecil. Di dalam almari ini diletakan beberapa penyangkut baju dan 2 helai jubah mandi (bathrobe). Selain itu terdapat juga penimbang dan juga selipar untuk kegunaan pengunjung. Di dalam almari ini juga terdapat laci di mana didalamnya adalah peti simpanan keselamatan.


Selain satu katil king, terdapat satu bangku panjang di kaki katil yang cantik diperbuat daripada kayu dan rotan. Di bahagian dinding mengadap ke kaki katil pula terdapat satu kabinet di mana terdapat laci yang menempatkan satu peti ais mini (di dalamnya terdapat beberapa minuman, dan ianya bukanlah percuma). Di sebelah peti ais mini ini terdapat laci yang diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh, termasuklah cerek letrik. Di atas kabinet ini terdapat air minuman yang diletakan di dalam 2 botol kaca serta 2 paket bangkit kelapa dan juga 2 cawan kaca yang cantik. Kabinet ini boleh dijadikan meja untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat, oleh itu di bahagian kiri kabinet ini disediakan satu kerusi bulat kecil. Di kiri meja ini terdapat bakul sampah yang diletakan di dalam raga rotan yang cantik sementara di sebelah kanan pula terdapat tempat meletak beg yang dilipat. Di dinding bahagian atas meja ini terdapat TV di mana saiznya mungkin 55 ke 60 inci. Di sebelah kanan kepala katil pula terdapat sebuah meja bulat dan di atasnya terdapat satu tablet untuk kegunaan pengunjung bagi membaca perihal hotel.


Bilik air hotel ini kecil sahaja mempunyai pintu gelongsor yang boleh dikunci. Sebahagian pintunya adalah cermin yang walaupun tidak lustinar sepenuhnya, masih dapat dilihat ke bahagian dalam bilik air. Tidak terdapat langsir untuk menutupi cermin pintu bilik air. Terdapat sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran di dalam bilik air. Ruang pancuran adalah tertutup sepenuhnya dengan cermin yang seratus peratus lutsinar (termasuklah pintu). Tandas pula tidak menyediakan gelung paip, hotel ini menggunakan mangkuk tandas yang mempunyai pancuran dari dalam. Peralatan mandian adalah lengkap disediakan termasuklah berus gigi yang diletakan di dalam bekas kain yang cantik. Tuala muka dan tuala tangan juga ada disediakan.


Kolam renang hotel ini terletak di tingkat 4 dan saiznya kecil sahaja tetapi lanskapnya agak cantik kerana ianya adalah terbuka dan mengadap ke bangunan-bangunan sekitarnya. Walau bagaimanapun tidak terdapat kolam renang untuk kanak-kanak di hotel ini. Waktu kolam dibuka adalah pada pukul 7 pagi dan ditutup pada pukul 10 malam. Semasa di kolam renang pengunjung akan diberikan minuman dan kanape dengan percuma. Di tingkat yang sama juga terdapat sebuah bar dan tempat untuk bersantai. Gimnasium pula terletak di tingkat 3 sementara perpustakaan pula berada di tingkat 2 bangunan hotel.


Hotel ini menyediakan wifi percuma yang sangat laju di mana kelajuannya mencapai 100mbps (muat turun) dan 151mbps (muat naik). Telco pula mempunyai kelajuan yang sangat laju di mana Celcom mencapai kelajuan 230mbps sementara Tune Talk pula 172mbps. Siaran TV di hotel ini agak banyak di mana kebanyakannya adalah dalam bentuk HD. Sementara itu tekanan air di bilik mandi adalah kuat dan saya sangat berpuas hati. Cuma yang menjadi masalah ialah bagi yang membawa kenderaan kerana hotel ini tidak menyediakan parkir, pengunjung perlu meletakan kenderaan mereka di parkir-parkir awam sekitar hotel.


Untuk sarapan pula, ianya adalah di restoran yang terletak di tingkat bawah hotel (Tingkat G). Waktu sarapan adalah pada pukul 6.30 pagi sehingga 11.00 pagi dan ianya adalah secara ala-carte dan bukannya buffet. Terdapat 3 set menu iaitu menu permulaan (starter), menu utama dan juga air minuman dan pengunjung diminta untuk memilih satu dari setiap set menu. Selain 3 set menu ini pengunjung juga diberikan buah-buahan. Bagi saya makanan yang saya cuba sedap terutama roti kayanya yang sangat sedap. Untuk proses check-out pula, pengunjung hanya perlu memulangkan kad akses ke kaunter.


Secara peribadi saya sangat menyukai hotel ini kerana interiornya yang sangat cantik. Hotel ini mungkin sesuai bagi yang solo atau pun berpasangan. Bagi yang berkeluarga pula ianya agak tidak sesuai kerana bilik air hotel ini mempunyai pintu yang separa lutsinar. Walaupun pintu ditutup ianya masih boleh dilihat dengan agak jelas dari luar. Dari segi lokasi pula, hotel ini yang terletak berhampiran Jalan Petaling (Petaling Street) memudahkan pengunjung untuk bersiar-siar di sekitarnya dan ianya juga terletak berhampiran dengan Pasar Seni (Central Market). Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, Stesen LRT dan juga MRT Pasar Seni terletak hanya beberapa meter sahaja dari hotel ini. Selain itu hotel ini tidaklah sibuk kerana mempunyai bilik yang sedikit, hanya 49 buah bilik sahaja. Jika pun kesemua biliknya habis ditempah, hanya 98 sahaja pengunjung dalam satu-satu masa, itupun jika kesemua biliknya diinap oleh 2 orang. Layanan kakitangan juga sangat peramah dan saya sangat berpuas hati. Jika pembaca inginkan hotel yang cantik serta agak tidak sibuk serta mendapat layanan bertaraf 5 bintang, ini adalah salah satu hotel yang saya syorkan itupun jika pembaca tidak kisah dengan harganya sekitar RM500. Cuma satu perkara yang saya tidak begitu gemar ialah biliknya yang tidak kedap bunyi. Saya dapat mendengar bunyi LRT dan percakapan orang ramai di luar bilik dengan agak jelas. Jika saya mendapat harga yang sama sekitar RM350, saya pasti akan kembali lagi ke hotel ini.


Bilik


Bilik Air


Kolam Renang


Hotel


Sarapan


180 views0 comments

Commentaires


Post: Blog2_Post
bottom of page