Oleh kerana saya akan ke KLIA2 pada pagi Sabtu, maka saya telah memilih satu hotel bajet yang terletak di KL Sentral. Hotel ini lokasinya betul2 bertentangan dengan NU Sentral dan di bawah jejambat stesen monorail. Hotel ini terletak di penghujung deretan kedai di hadapan NU Sentral.
Saya menempah hotel ini menerusi aplikasi booking.com agak lewat iaitu kira2 2 hari sebelum menginap. Bilik yang saya pilih ini adalah jenis deluxe queen yang berkeluasan 120 kaki persegi. Saya tiba di hotel agak lewat iaitu pada pukul 5.30 petang selepas pulang dari pejabat. Lobi hotel terletak di tingkat bawah dan saiznya kecil sahaja. Saya terus mendaftar untuk masuk dan masa yang diperlukan hanyalah beberapa minit sahaja. Selepas mendapat kad akses saya terus menaiki lif untuk ke tingkat 1 (saya cuba menaiki tangga tetapi tangga tidak dibuka). Lif hanyalah satu dan sangat kecil (hanya boleh memuatkan seramai 4 orang di satu2 masa). Untuk pengetahuan pembaca, hotel ini mempunyai 5 tingkat.
Bilik yang saya inap ini kecil sahaja memuatkan 1 katil queen. Terdapat satu rak baju di kaki katil dan di sebelah kanan katil pula terdapat satu meja bercermin dan di atasnya diletakkan perkakas untuk membancuh kopi, termasuklah cerek letrik dan juga air mineral. Di kiri katil pula terdapat satu meja kecil yang saya rasa untuk pengunjung melakukan kerja2 pejabat ataupun untuk diletakkan barang2. Saya meletakkan laptop saya di atas meja ini dan terpaksa duduk di atas katil kerana kerusi tidak disediakan. Di bawah meja ini terdapat satu peti ais mini. TV pula hanya bersaiz 32 inci dilekatkan di dinding. Tidak banyak siaran yang boleh ditonton dan siarannya pula bukanlah dalam bentuk HD.
Bilik air hotel ini juga kecil menempatkan sinki, tandas dan juga shower. Terdapat saluran paip di tandasnya dan showernya juga mempunyai pemanas. Tekanan air di bilik mandi agak perlahan dan hotel ini ada menyediakan sabun dan shampu tetapi berus gigi tidak disediakan.
Hotel ini juga menyediakan wifi percuma dan kelajuannya bagi saya agak laju di mana boleh mencapai 20mbps. Untuk telco pula ianya agak perlahan kerana bilik hotel ini tertutup dan tidak mempunyai tingkap. Tune Talk mempunyai kelajuan 68mbps sementara Celcom pula sedikit perlahan hanya mencapai kelajuan 53mbps. Untuk proses check-out pula, ianya sangat mudah, saya hanya perlu memulangkan semula kad akses ke kaunter.
Hotel ini adalah hotel bajet tetapi bagi saya ianya agak overpriced. Bilik yang saya inap ini berharga RM128.89 (tanpa sarapan). Dengan keluasan hanyalah 120 kaki persegi, ianya agak mahal bagi saya (mujur terdapat sedikit ruang untuk mengerjakan solat). Mungkin yang menjadikan harganya sebegitu ialah kerana lokasinya yang terletak berhampiran dengan KL Sentral dan juga stesen monorail. Selain itu kebersihan hotel ini sangat memuaskan dan kelihatan begitu bersih. Dengan RM130 untuk satu malam pengguna sebenarnya mempunyai pilihan lain untuk mendapatkan hotel yang mempunyai bilik yang lebih besar dan lebih selesa, melainkan pembaca tidak kisah dengan saiz biliknya yang kecil kerana kebersihan hotel ini sangat memuaskan.
Bilik
Bilik Air
Hotel
Comments