Dari Jalan Tuanku Abdul Rahman saya ke Petaling Jaya untuk ke satu hotel yang menurut informasi yang saya jumpa di internet, hotel ini telah dibina pada tahun 1998. Pada tahun 2011 ianya telah menjalani proses ubahsuai (renovation). Jadi ini adalah antara hotel yang telah lama dibuka di Lembah Klang. Secara tepatnya lokasi hotel ini terletak di Jalan 16/11, Seksyen 16, Petaling Jaya (saya agak keliru kenapa dinamakan Eastin Hotel Kuala Lumpur sedangkan lokasinya terletak di Petaling Jaya).
Saya telah menempah bilik di hotel ini hanya beberapa jam sebelum check-in menggunakan aplikasi booking.com. Bilik deluxe yang saya pilih ini berharga RM223.56 tanpa sarapan. Saya tiba di hotel dari Hotel WP dengan menaiki grab pada kira2 pukul 12.40 tengahari. Saya terus sahaja ke kaunter untuk proses pendaftaran masuk tetapi diberitahu tempahan saya masih lagi belum dikemaskini di aplikasi hotel (aplikasi hotel masih lagi belum menerima tempahan bilik dari booking.com, disebabkan sistem berada di luar talian). Saya diminta untuk duduk terlebih dahulu sementara sistem berjaya dikemaskini. Setelah lebih kurang 20 minit menunggu, staff tadi menghampiri saya untuk proses check-in kerana tempahan saya telah pun ada di dalam sistem hotel.
Saya diberitahu bahawa bilik masih lagi belum siap dan staff meminta saya supaya menunggu hingga ke pukul 2.30 petang. Saya hanya menunggu di lobi hotel sahaja. Lobinya agak besar dan cantik. Selain kaunter pendaftaran terdapat juga restoran di lobi ini. Kira2 pukul 2 petang staff hotel menghampiri saya untuk memberi kad akses. Untuk makluman pembaca waktu rasmi check-in di hotel ini ialah pada pukul 3 petang. Layanan staff hotel ini bagi saya sangat memuaskan.
Saya terus menaiki lif untuk ke bilik yang terletak di tingkat 7. Terdapat 4 lif di hotel ini yang mempunyai 18 tingkat semuanya. Lif sangat cepat dan saya tidak memerlukan masa yang lama untuk mendapatkan lif. Apabila memasuki bilik saya dapat melihat bahawa hotel ini sememangnya telah lama. Dari karpet hinggalah perabut, ianya memang barang2 yang telah lama tetapi diselenggarakan dengan agak baik. Biliknya besar berkeluasan 398 kaki persegi. Di sebelah kiri pintu masuk ialah bilik air yang mempunyai pintu yang boleh dikunci. Di ruang bilik pula selain satu katil king, terdapat kabinet di sebelah kanan katil untuk menyimpan pakaian. Di sini juga terdapat peti simpanan keselamatan dan juga seterika serta papan seterika. Di sebelahnya pula ialah satu ruang menempatkan peti ais mini dan di atasnya diletakkan peralatan untuk membancuh kopi termasuklah cerek letrik (dan saya suka mugnya yang cantik).
Di sebelah kiri katil pula terdapat satu sofa single dan juga satu meja bulat kecil di tepinya. Bertentangan dengan katil terdapat satu kabinet berlaci yang mana di atasnya diletakkan TV LCD yang kecil, hanya bersaiz 32 inci. Antara kabinet ini dan tingkap terdapat satu meja study yang bersaiz agak besar serta kerusi untuk pengunjung melakukan kerja2 pejabat. Kerusinya sangat selesa bagi saya. Terdapat satu lampu study di atas meja ini. Bilik yang saya inap ini mengadap ke bukit di mana terdapat banyak rumah banglo di situ. Memandang ke bawah akan kelihatan pool dari bilik yang saya inap ini.
Bilik air pula sederhana besar menempatkan sinki, tandas, ruang untuk shower dan juga bathtub. Saiz bathtubnya agak besar tetapi ruang untuk shower kecil sahaja. Terdapat hanya satu jenis shower sahaja iaitu yang dilekatkan di dinding (jenis lama). Tandasnya tidak mempunyai saluran paip kerana menggunakan mangkuk tandas yang mempunyai pancuran air dari dari dalam. Peralatan mandian adalah lengkap termasuklah berus gigi serta tuala untuk mengelap tangan. Tekanan air di bilik air sangat kuat.
Hotel ini mempunyai pool yang terletak di tingakt 2. Kawasan poolnya agak besar dan lanskapnya cantik. Poolnya tidak bersegi seperti biasa dan mempunyai kedalaman 4 kaki. Terdapat 2 pool untuk kanak2 di sini. Pool dibuka dari jam 7 pagi hinggalah ke 8 malam. Di dalam bilik pula, wifi percuma ada disediakan dan ianya tidaklah laju hanya berkelajuan 10mbps. Telco pula sangat laju di mana Celcom mencapai kelajuan 251mbps sementara Tune Talk pula 161mbps.
Hotel ini juga ada menyediakan servis untuk in-room dining sehingga jam 10.30 malam. Menu yang disediakan agak banyak dan harganya tidaklah terlalu mahal bagi saya. Saya sempat mencuba nasi gorengnya serta jus tembikai yang masing2 berharga RM34 dan RM20. Rasanya hanyalah biasa saja bagi saya. Di sebelah malamnya pula saya sempat makan malam di restoran yang terletak di lobi dan mencuba mee rebus dan jus oren yang masing2 berharga RM29 dan RM20. Bagi saya mee rebusnya boleh dikatakan sedap. Untuk proses check-out pula, saya hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter.
Hotel ini bagi saya sesuai untuk yang ingin berehat di hotel jika tidak kisah dengan keadaannya yang sudah lama. Bagi saya lama itu tidaklah begitu penting asalkan bersih dan diselenggara dengan baik. Selain biliknya yang besar dan harganya yang agak murah, ianya juga mempunyai pool yang mempunyai lanskap yang cantik bersaiz agak besar. Lokasinya yang agak jauh dari pusat bandaraya menjadikan ianya sesuai untuk berehat di hotel sahaja. Walaupun begitu, jika pembaca suka menggunakan pengangkutan awam, hotel ini sebenarnya hanyalah kira2 500 meter sahaja dari stesen MRT Phileo Damansara (kira2 5 minit berjalan kaki).
Bilik
Bilik Air
View dari Bilik
Pool
Makanan
Hotel
Comentarios