top of page
Search
hanuds

East Riverine Boutique Kuala Lumpur (30-31/7/22)

Pada minggu ini saya telah memilih satu hotel 3 bintang yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Ianya terletak hanya kira2 170 meter dari Pasar Chow Kit, Jalan Raja Alang. Hotel ini sebenarnya baru sahaja beroperasi, oleh itu ianya masih lagi kelihatan baru. Melalui aplikasi booking.com, saya telah memilih bilik jenis Deluxe Queen yang berkeluasan 204 kaki persegi. Harga tanpa sarapan pagi untuk bilik jenis ini ialah RM126.


Saya tiba di hotel kira2 pukul 1.00 tengahari dan terus sahaja ke kaunter untuk proses pendaftaran masuk. Lobinya kecil sahaja terletak di tingkat bawah hotel. Proses check-in adalah cepat dan oleh kerana bilik telahpun sedia, saya terus diberi kad akses. Hotel ini mengenakan deposit sebanyak RM50. Bilik yang saya inap terletak di tingkat 3 hotel. Hanya satu lif disediakan di hotel ini tetapi oleh kerana tiada pengunjung yang lain, saya tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan lif.


Biliknya kecil sahaja. Memasuki bilik terdapat bilik air di sebelah kanan yang berdinding kaca. Selain satu katil queen, terdapat satu meja study kecil di kiri katil serta satu kerusi kecil untuk pengunjung melakukan kerja2 pejabat. Di atas meja ini terdapat satu dulang kayu yang diletakkan bahan2 untuk membancuh kopi termasuklah cerek letrik. Dulang ini tidak boleh dialihkan, oleh itu agak sempit untuk diletakkan komputer riba di atas meja ini. Di atas lantai di kanan meja pula diletakkan peti simpanan keselamatan dan juga tempat untuk meletakkan beg. Di atasnya terdapat satu palang besi untuk menyangkut baju (dan malangnya hanya satu penyangkut sahaja disediakan). Kemudian terdapat pula satu kabinet kecil berlaci diletakkan di tepi dinding di mana di atasnya diletakkan remote TV dan juga remote untuk penghawa dingin. TV pula dilekatkan di dinding bertentangan katil dan saiznya 43 ke 45 inci. Hanya siaran percuma (asas) sahaja disediakan tetapi siarannya adalah dalam bentuk HD. Walaupun saiz biliknya kecil, masih terdapat ruang untuk pengunjung mengerjakan solat.


Bilik air hotel ini juga kecil menempatkan sinki, tandas dan juga shower. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas. Hotel ini hanya menyediakan tuala dan juga sabun serta syampu. Tidak ada berus gigi disediakan. Terdapat pemanas di dalam bilik mandi tetapi tekanan air tidak begitu kuat terutamanya bila menggunakan shower jenis siling. Saya hanya menggunakan shower jenis pegang kerana airnya lebih laju.


Lampu di dalam bilik pula tidak seimbang di mana kawasan kepala katil agak gelap kerana hanya terdapat satu lampu di tengah2 katil, satu di pintu masuk serta lampu untuk meja study yang dilekatkan di dinding. Apabila tidur, jika dipadamkan ketiga2 lampu, bilik akan menjadi terlalu gelap tetapi bila dipasang lampu bilik air, ianya terlalu cerah kerana dinding bilik air diperbuat dari cermin. Wifi percuma pula tidaklah laju, hanya mencapai 10mbps sahaja. Telco pula agak laju di mana Tune Talk mempunyai kelajuan 56mbps sementara Celcom pula sedikit perlahan berkelajuan 50mbps. Tidak terdapat kolam renang di hotel ini tetapi terdapat lounge di tingakt 1 bangunan hotel. Di sebelah hotel pula terdapat restoran SugarBun di mana pengunjung boleh mendapatkan 10% diskaun jika menginap di hotel ini. Bagi yang membawa kereta, terdapat parkir disediakan berdekatan hotel dan ianya adalah percuma (tetapi saya tidak pasti kapisiti kereta dalam satu2 masa). Untuk proses check-out pula, saya hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter dan mengambil semula wang deposit RM50.


Secara peribadi saya agak berpuas hati dengan hotel ini. Harga RM126 yang saya keluarkan adalah berbaloi dengan apa yang disediakan. Memandangkan hotel ini masih baru, kebersihannya adalah memuaskan cuma ketika saya masuk lantai bilik air masih basah dan tidak dikeringkan serta terdapat beberapa kertas di dalam laci tinggalan pengunjung sebelumnya yang tidak dibuang. Ketika saya ingin menggunakan cerek letrik, masih terdapat air di dalamnya. Hotel ini juga tidak mempunyai peti ais mini seperti mana kebanyakkan hotel yang lain. Untuk bermalam, hotel ini adalah sesuai dan selesa dan lokasinya pula terletak berhampiran Chow Kit dan hanya 1 km untuk ke SOGO dan Pasar Malam Jalan TAR.


Bilik



Bilik Air



Lobi



Lounge



Hotel



119 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page