top of page
Search
hanuds

DoubleTree by Hilton Shah Alam i-City (5-6/2/23)

Dari Best Western saya ke hotel kedua untuk minggu ini iaitu ke satu hotel yang terletak bersebelahan dengan i-City. Hotel yang mempunyai 300 bilik ini memulakan operasinya pada bulan Ogos tahun lepas. Jarak hotel ini dari Hotel Best Western hanyalah 500 meter sahaja. Saya menempah bilik jenis King Guest melalui aplikasi Hilton Honors dan harganya adalah RM248.04 (tidak termasuk sarapan). Bilik ini mempunyai keluasan 322 kaki persegi.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 12.15 tengahari dan ketika itu orang agak ramai. Lobi hotel ini terletak di tingkat bawah dan ianya luas serta cantik. Saya terus sahaja ke kaunter bertanyakan kakitangan yang bertugas samada bilik saya telah pun sedia memandangkan saya telah pun membuat proses pendaftaran masuk secara atas talian (online). Kakitangan hotel memberitahu bahawa bilik saya belum lagi sedia dan beliau memberitahu saya untuk menunggu dan berjanji akan memberitahu saya jika bilik sudah sedia. Saya terlebih dahulu pergi ke pusat membeli-belah Central i-City yang hanya terletak bersebelahan dengan hotel ini.


Kakitangan hotel memberitahu saya yang bilik saya telah pun siap pada pukul 1.30 petang (waktu rasmi untuk check-in ialah pada pukul 3.00 petang). Saya hanya kembali ke hotel pada pukul 3.30 petang dan terus ke kaunter untuk mendapatkan kad akses. Selepas mengambil kad akses saya pun terus menaiki lif ke tingkat 20. Terdapat 5 buah lif di hotel ini dan ianya sangat cepat.


Memasuki bilik terdapat almari di sebelah kanan sementara bilik air pula di sebelah kiri pintu masuk. Almarinya agak besar dan pintunya adalah cermin muka sepenuhnya. Di dalam almari ini juga terdapat peti simpanan keselematan, seterika dan juga papan seterika. Terdapat 2 pasang jubah mandi (bathrobe) yang digantung di dalam almari ini. Selain itu terdapat juga lampu suluh dan juga 2 pasang selipar. Kemudian di sebelah almari ini terdapat kabinet berlaci untuk pengunjung meletakan beg dan juga barang-barang. Bertentangan dengan kabinet ini iaitu di sebelah kiri terdapat satu lagi kabinet yang mempunyai laci. Terdapat peti sejuk mini di sini serta perkakas untuk membancuh kopi dan teh yang diletakan di dalam laci. Di atas kabinet ini pula diletakan 6 botol kaca air minuman.


Dengan saiz 322 kaki persegi bilik jenis King Guest ini agak luas. Selain satu katil king terdapat satu kerusi diletakan di sebelah kiri katil dan bentuknya agak pelik (dan saya tidak begitu selesa duduk di kerus ini). Di kaki katil pula terdapat satu meja bulat sederhana besar dan satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja-kerka pejabat ataupun makan di sini. Di atas meja terdapat satu lampu study serta talipon. TV pula dilekatkan di dinding bertentangan dengan katil dan saiznya besar iaitu antara 55 ke 60 inci. Hotel ini adalah salah satu hotel di mana langsirnya menggunakan suiz jika mahu membuka atau menutupnya. Bilik yang saya inap ini mengadap ke i-City.


Bilik air pula berpintu gelongsor yang boleh dikunci. Saiz bilik air sederhana besar menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower) dan tidak terdapat bathtub di bilik jenis ini. Tandasnya tidak mempunyai gelung paip (menggunakan mangkuk tandas yang mempunyai paip dari dalam). Ruang untuk pancuran pula tidaklah besar di mana ianya bertutup dengan cermin yang seratus peratus lutsinar. Terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang di bilik airnya. Peralatan mandian adalah lengkap disediakan termasuklah tuala muka dan juga tangan (dan hotel ini menyediakan tuala mandi bersaiz sangat besar). Apa yang menariknya dinding ruang pancuran ini juga adalah seratus peratus lutsinar di bahagian mengadap ke katil tetapi ada disediakan bidai yang menggunakan suiz untuk membuka dan menutupnya.


Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di tingkat 5 dan ianya dibuka pada pukul 6 pagi sehingga 8 malam. Selain kolam renang terdapat juga bilik permainan di tingkat yang sama. Di sebelah kolam renang terdapat satu restoran masakan Itali yang diberi nama Tosca. Gimnasium pula terdapat di tingkat 5M dan ianya beroperasi 24 jam.


Hotel ini juga ada menyediakan in-room dining yang beroperasi 24 jam. Menunya sangat banyak dan sebagai perbandingan harga nasi goreng kampung berharga RM44, mee mamak berharga RM35 dan fish & chips pula berharga RM66. Untuk wifi percuma pula, di dalam bilik kelajuannya sekitar 10mbps sementara untuk telco pula Celcom mempunyai kelajuan 69mbps sementara Tune Talk pula 44mbps. Siaran TV pula agak banyak dan kebanyakannya adalah dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula agak kuat dan saya sangat berpuas hati. Untuk yang membawa kenderaan pula, parkir ada disediakan di basement hotel dan ianya bukanlah percuma. Bayaran RM5 akan dikenakan setiap kali masuk.


Secara peribadi saya menggemari hotel ini kerana interiornya yang cantik dan masih lagi baru. Biliknya agak luas dan selesa dan mempunyai rekabentuk yang cantik. Pencahayaan di dalam bilik juga cantik dan seimbang. Selain itu harga yang saya bayar hanyalah RM248 dan ianya sangat berbaloi dengan hotel yang bertaraf 5 bintang. Hotel ini sesuai bagi yang berkeluarga ataupun berpasangan mahupun solo jika ingin berehat dan bersantai di hotel ataupun ingin bersiar-siar di i-City kerana terletak hanya bersebelahan sahaja. Selain itu hotel ini juga terletak di sebelah Central i-City Mall membolehkan pengunjung bersiar-siar sambil membeli-belah di mall berkenaan. Hotel ini juga mempunyai banyak fasiliti yang boleh digunakan oleh pengunjung semasa menginap di sini. Bagi saya, saya pasti akan kembali lagi ke hotel ini pada satu hari nanti.


Bilik


Bilik Air


View from Room


Pool


Tosca


Hotel


159 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page