top of page
Search
hanuds

DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside (22-23/5/23)

Updated: May 24, 2023

Sekembalinya saya dari Krabi saya terus sahaja ke Putrajaya untuk ke satu hotel yang terletak di bawah rangkaian Hilton yang dahulunya merupakan Hotel Pullman. Saya sebenarnya pernah menginap di sini tetapi semasa itu ianya masih lagi dikenali sebagai Hotel Pullman Putrajaya. Saya telah menempah hotel ini menggunakan keahlian saya di Hilton Honors. Bilik King Guest ini berharga RM287.26 (tanpa sarapan) dan ianya merupakan bilik yang paling kecil antara bilik-bilik di hotel ini.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 6.15 petang dan terus sahaja ke lobi. Kawasan hotel ini sangat luas dan terdiri dari beberapa blok. Proses pendaftaran masuk sangat cepat dan seperti biasa saya diberi biskut selain dari kad akses bilik. Bilik yang saya inap ini terletak di Blok No 5 dan di tingkat 1. Bilik jenis King Guest ini mempunyai keluasan 333 kaki persegi.


Sebaik memasuki bilik, bilik air terletak di sebelah kanan sementara di sebelah kiri pula ialah almari bertutup yang besar. Di dalam almari selain penyangkut baju, terdapat seterika dan juga papan seterika. Terdapat juga penimbang berat di dalamnya tetapi sudah tidak mempunyai bateri. Di sebelahnya pula terdapat peti simpanan keselamatan dan juga lampu suluh. Di tepi kanan almari ini terdapat satu kabinet yang diletakan peti sejuk mini sementara di atasnya pula diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh, termasuklah cerek letrik.


Ruang bilik hotel ini agak besar, selain menempatkan satu katil king terdapat satu sofa besar di tepi tingkap di sebelah kanan katil. Di penjuru kanan katil pula terdapat satu sofa bujang dan satu meja bulat yang kecil di hadapannya. Di bahagian dinding bertentangan dengan kaki katil pula terdapat satu meja kerja yang sederhana besar di mana di atasnya terdapat satu lampu bacaan yang cantik. Antara meja kerja dan juga kabinet peti sejuk terdapat satu ruang untuk pengunjung meletakan barang-barang dan di dinding bahagian atasnya pula digantung TV yang besar berukuran 55 inci. Bilik yang saya inap ini tingkapnya mengadap ke kolam renang kanak-kanak (splash pool).


Bilik airnya pula luas menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Walaupun bilik airnya besar, tidak terdapat bathtub di bilik jenis ini. Gelung paip ada disediakan di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancurannya pula juga luas dan bertutup dengan cermin seratus peratus lutsinar. Terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang disediakan. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah tuala muka, tuala tangan dan juga berus gigi.


Salah satu keistimewaan hotel ini ialah kolam renangnya yang terdapat di 3 bahagian hotel. Kolam renang yang asal (semasa Hotel Pullman) letaknya di atas bangunan (rooftop). Saiz kolam renang ini sederhana besar dan mempunyai kedalaman 1.4 meter (dan ianya telah diubahsuai dari kolam yang asal) dan ianya hanya untuk orang dewasa. Kolam renang kedua pula dibina di bahagian hotel yang mengadap ke Tasik Putrajaya dan ianya agak luas dengan kedalaman 1.2 meter. Selain kolam untuk dewasa terdapat juga kolam untuk kanak-kanak di sebelahnya. Sementara itu kolam yang ketiga pula merupakan taman air mini untuk kanak-kanak (splash pool) dan ianya agak luas.


Untuk wifi percuma di dalam bilik pula, kelajuannya hanyalah sekitar 6mbps sahaja dan seperti hotel di rangkaian Hilton yang lain, pengunjung perlu membeli wifi jika mahukan kelajuan yang lebih tinggi. Untuk telco pula, Celcom hanya mencapai kelajuan 46mbps sementara Tune Talk pula lebih perlahan dengan kelajuan 39mbps. Untuk siaran TV, hotel ini menyediakan banyak siaran dan kebanyakannya di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula tidak begitu kuat, dan saya sedikit tidak berpuas hati dengan pancurannya. Hotel ini ada menyediakan servis in-room dining sehingga pukul 11.00 malam dan menu yang disediakan tidaklah banyak. Sebagai perbandingan harga, nasi goreng kampung di hotel ini berharga RM58 dan jus buah-buahannya pula RM18. Kali ini saya tidak mencuba makan di hotel ini. Untuk yang membawa kenderaan pula, parkir disediakan di ruang bawah hotel tetapi ianya bukanlah percuma. Pengunjung akan dikenakan bayaran RM3 untuk sekali masuk (perlu disahkan di kaunter untuk mendapat harga ini).


Secara peribadi saya berpendapat hotel ini sangat sesuai bagi yang ingin membawa keluarga untuk bersantai sambil mandi manda di kolamnya. Selain splash pool, hotel ini juga mempunyai Kids Club tetapi ianya hanyalah dibuka di hujung minggu dan juga cuti umum serta cuti sekolah. Kids Club ini dibuka dari jam 10 pagi hingga 7 petang dengan bayaran RM8. Biliknya bagi saya sangat cantik terutama pencahayaan di dalam biliknya yang begitu seimbang di segenap sudut bilik. Biliknya luas dan cukup selesa bagi yang membawa keluarga dan anak-anak dan ianya juga bersih. Cuma jika di hujung minggu, harga hotel ini sangat mahal sehingga mencecah RM700 untuk bilik yang paling murah. Selain itu lokasi hotel ini agak terasing dan jauh dari kedai-kedai. Jaraknya ke pusat membeli-belah Alamanda ialah kira-kira 12km dan untuk ke IOI City Mall pula sejauh 16 km. Untuk ke Masjid Putra di tengah-tengah Putrajaya, ianya memakan masa 12 minit (6.5 km) jika membawa kenderaan. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam pula, stesen ERL dan juga MRT Putrajaya adalah kira-kira 8.4 km dari hotel ini. Hotel ini agak sunyi jika bukan di hujung minggu. Saya bercadang untuk kembali ke sini lagi dan menginap di suitesnya pula.


Bilik


Bilik Air


Kolam Renang 1 (rooftop)


Kolam Renang 2


Kolam Renang 3 (Splash Pool)


Hotel


191 views0 comments

Bình luận


Post: Blog2_Post
bottom of page