top of page
Search
hanuds

DoubleTree by Hilton Kuala Lumpur (27-28/8/22)

Oleh kerana minggu ini saya ada hi-tea di DoubleTree Kuala Lumpur, maka staycation saya pada minggu ini adalah di hotel ini. Hotel ini terletak di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur dan bersambung pula dengan Bangunan Intermark Mall. Sebenarnya ini adalah kali kedua saya menginap di sini, kali pertama adalah pada 12 September 2020. Ketika itu saya menginap di bilik yang paling kecil berkeluasan 344 kaki persegi dan harganya hanyalah RM188 (saya menggunakan aplikasi booking.com pada masa itu).


Kali ini saya menggunakan keahlian saya di Hilton Honors dan memilih bilik yang sama tetapi harganya jauh lebih mahal iaitu RM343 (juga tanpa sarapan). Kemudian saya membuat keputusan untuk menaik taraf ke bilik jenis Deluxe Suite dan perlu menambah lagi RM154. Antara kelebihan memilih bilik ini ialah mendapat akses ke Executive Lounge dan juga sarapan percuma untuk dua orang. Jadi selepas termasuk tax harga untuk bilik ini ialah RM576.52.


Sebelum ke hotel saya terlebih dahulu membuat proses pendaftaran masuk (check-in) secara atas talian iaitu pada pukul 9.00 pagi. Oleh kerana saya terlebih dahulu ingin hi-tea di hotel ini, saya telah keluar awal dari rumah dan tiba di hotel kira2 pukul 12.40 tengahari. Sebaik tiba saya terus sahaja ke restoran Makan Kitchen yang terletak di tingkat 11 untuk hi-tea. Di masa yang sama saya telah menghantar pesanan melalui aplikasi Hilton Honors untuk mengingatkan hotel agar memberitahu saya apabila bilik telah siap. Hi-tea di hotel ini agak berbaloi bagi saya kerana makanan yang disediakan agak pelbagai dan sedap. Terdapat makanan Melayu, Cina dan juga India serta makanan Internasional disediakan (tetapi saya tidak pasti harganya kerana saya mendapat baucer percuma).


Semasa saya hi-tea, saya telah mendapat pesanan di aplikasi Hilton Honors pada pukul 1.30 petang memaklumkan bahawa bilik saya akan siap pada pukul 1.45 petang. Pada kira-kira pukul 2.00 petang saya terus sahaja ke lobi hotel yang terletak di Tingkat L dan membuat pendaftaran masuk. Prosesnya sekejap sahaja dan sebaik sahaja saya mendapat kad akses, saya pun terus ke tingkat 23 (ketika membuat pendaftaran atas talian, bilik saya adalah 2420 tetapi ditukar kepada 2320 kerana bilik 2420 masih belum siap). Terdapat 6 lif di hotel ini dan lifnya adalah laju.


Bilik Deluxe Suite ini berkeluasan 538 kaki persegi. Ianya mempunyai dua bahagian, bahagian pertama seperti ruang tamu dan bahagian kedua adalah bilik. Apabila memasuki biliknya, terdapat satu meja study yang besar di hadapan pintu masuk di mana di atasnya diletakkan satu lampu study. Di sebelah meja ini pula terdapat satu kabinet yang menempatkan peti ais mini serta perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh. Di hadapan meja study terdapat satu sofa yang agak besar di hujung ruangnya di mana di belakang sofa itu adalah tingkap bercermin. Tingkap ini mengadap ke Keramat. Di hadapan sofa pula terdapat satu meja kopi bujur yang sederhana besar dan TV bersaiz dalam 50 inci dilekatkan di dinding.


Di hadapan sofa (di tepi TV) adalah pintu untuk ke ruang bilik dan ianya boleh ditutup. Biliknya agak besar menempatkan satu katil king dan juga satu sofa yang agak kecil serta satu meja bulat kecil di tepi tingkap. Di belakang sofa ini adalah tingkap cermin yang mengadap ke Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak. Di dinding bertentangan katil terdapat TV yang juga berukuran dalam 50 inci. Di sebelah sofa terdapat satu lagi meja study tetapi saiznya lebih kecil dari yang di luar. Di atasnya juga terdapat satu lampu study yang sama. Di sebelah kanan pintu masuk ke bilik pula terdapat satu almari bertutup untuk pengunjung menyangkut dan menyimpan pakaian. Di sini juga terdapat seterika dan papan seterika serta peti simpanan keselamatan. Saiz kabinet ini agak besar dan mempunyai pintu gelongsor di mana ianya adalah cermin muka sepenuhnya.


Bilik air pula terletak di kiri katil dan ianya tidak mempunyai pintu. Bilik airnya agak besar dan mempunyai 3 bahagian. Bahagian pertama adalah sinki dan juga satu rak untuk menyimpan barang. Kemudian di kanannya pula adalah ruang untuk shower di mana terdapat juga bathtub di ruang ini. Saiz bathtubnya agak besar. Terdapat shower jenis pegang dan juga siling disediakan di sini. Di bahagian hujung pula adalah ruang tandas yang agak kecil menempatkan mangkuk tandas dan juga gelung paip. Ruang tandas dan ruang shower mempunyai pintu kaca bukan lutsinar yang tidak boleh dikunci.


Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di tingkat 10. Kolamnya sangat besar dan terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak. Kolam ini dibuka seawal jam 6.00 pagi dan ditutup pada pukul 10.00 malam. Gimnasium juga beroperasi pada waktu yang sama dan ianya juga terletak di tingkat 10. Selain itu terdapat juga sauna di tingkat yang sama tetapi waktu operasinya adalah pada pukul 8.00 pagi hingga 9.00 malam. Untuk sarapan pagi pula, ianya adalah secara buffet di Restoran Makan Kitchen. Menu yang disediakan tidak begitu banyak dan cara ianya disediakan tidak begitu menarik bagi saya. Saya hanya sempat mencuba beberapa makanan sahaja dan bagi saya rasanya biasa sahaja sementara nasi lemak pula kurang sedap bagi saya. Waktu untuk sarapan adalah dari pukul 6.00 pagi hingga 11.00 pagi.


Hotel ini juga ada menyediakan wifi percuma dan kelajuannya hanyalah sekitar 5mbps. Untuk Telco pula, Celcom mencapai kelajuan 103mbps sementara Tune Talk pula hanya 58mbps. Siaran TV adalah dalam bentuk HD tetapi tidak banyak siaran yang disediakan. Di bilik air pula, tekanan air adalah kuat dan sangat puas mandi di pancurannya. Hotel ini juga ada menyediakan servis in-room dining sehingga pukul 2.30 pagi dan saya sempat mencuba nasi goreng kampung yang berharga RM44 dan juga onion ring berharga RM22. Rasanya agak biasa bagi saya. Saya juga sempat ke Executive Lounge yang terletak di tingkat 34 hotel. Ruang yang disediakan agak terhad dan kecil serta tidak menampakkan ekslusif. Bagi yang membawa kereta pula, parkir adalah dikongsi dengan mall dan ianya adalah percuma (pengunjung perlu sahkan tiket parkir sebelum meninggalkan hotel). Bagi proses check-out pula, saya hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter.


Secara keseluruhannya saya rasa harga yang saya bayar adalah berbaloi dengan apa yang disediakan kerana jika menggunakan aplikasi booking.com atau trip.com harga bilik ini jauh lebih mahal. Bilik jenis Deluxe Suite ini besar dan juga bersih. Ianya sesuai untuk yang ingin berehat di bilik kerana saiz biliknya yang besar serta banyak fasiliti yang disediakan. Hotel ini adalah antara hotel 5 bintang yang agak murah jika dibandingkan dengan hotel 5 bintang yang lain. Lokasinya hanyalah 1.2km dari KLCC dan jika berjalan kaki ianya hanya mengambil masa kira-kira 15 minit. Untuk yang tidak membawa kenderaan sendiri, hotel ini terletak bertentangan dengan Stesen LRT Ampang Park dan terdapat laluan berbumbung untuk ke hotel ini.



Bilik


Bilik Air


Kolam Renang


Sarapan


Hi-Tea


View


188 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page