top of page
Search
hanuds

Dash Box Hotel Cyberjaya (30/4/23 – 1/5/23)

Dari Sama Sama Hotel saya ke Cyberjaya untuk menyambung staycation saya sempena cuti Hari Pekerja. Hotel ini sebenarnya bagi saya lebih sesuai dipanggil resort oleh kerana reka bentuknya yang bukanlah satu bangunan besar, tetapi unit-unit yang mempunyai reka bentuk yang agak unik. Satu unit mempunyai 2 tingkat di mana di tingkat bawah terdapat 2 bilik sementara di tingkat atas pula hanya mempunyai 1 bilik. Selain unit-unit ini, hotel ini juga mempunyai bilik-bilik tanpa tingkap diperbuat dari kontena-kontena yang diubahsuai untuk dijadikan bilik. Saya memilih bilik jenis studio king (garden view) menggunakan aplikasi Booking.com. Harga untuk bilik ini ialah RM262.03 (termasuk sarapan untuk 2 orang).


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 12.30 tengahari dan terus sahaja ke lobi yang terletak berdekatan dengan laluan masuk ke hotel. Lobinya kecil sahaja dan saya terus membuat pendaftaran masuk (check-in) dan prosesnya sekejap sahaja. Oleh kerana bilik masih belum siap, saya mengambil keputusan untuk ke IOI City Mall terlebih dahulu (jarak dari hotel ke mall ialah 15km). Saya menerima panggilan dari pihak hotel memberitahu bilik saya telahpun sedia kira-kira pada pukul 2.40 petang ketika saya masih lagi berada di mall).


Saya kembali semula ke hotel kira-kira pukul 4.45 petang dan terus sahaja ke lobi untuk mengambil kad akses. Saya mendapat bilik bernombor 317 yang mana bilik ini terletak di tingkat bawah. Di hotel ini pengunjung boleh meletakan kenderaan di hadapan bilik masing-masing. Bilik studio king ini mempunyai keluasan 355 kaki persegi (seperti di Booking.com) tetapi apabila memasuki bilik saya rasakan yang keluasannya lebih kecil dari itu. Di lorong masuk terdapat rak-rak besi untuk meletakan barang-barang serta tempat menyangkut baju. Di sini juga terdapat peti simpanan keselamatan. Di sebelah kanan pula adalah bilik air. Di ruang bilik selain satu katil king terdapat meja kerja bertentangan dengan kaki katil dan saiznya kecil sahaja. Di atas meja ini diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh. Di bahagian bawah meja ini terdapat satu ruang yang diletakan peti sejuk mini. TV pula dilekatkan di bahagian dinding di sebelah kanan kaki katil dan saiznya adalah sekitar 40 inci.


Bilik airnya pula kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancuran pula tertutup dengan pintu cermin. Terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang disediakan. Peralatan mandian pula lengkap termasuklah berus gigi. Lantai bilik mandi ini adalah diperbuat dari papan dan ianya agak licin. Bilik yang saya inap ini mempunyai pintu gelongsor ke bahagian taman (ke sebelah kanan adalah kolam renang).


Keistimewaan hotel ini adalah kolam renangnya yang terletak di tengah-tengah antara unit-unit bilik. Kolamnya cantik tetapi tidaklah besar. Terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak dan disediakan juga beberapa papan gelongsor. Bagi saya kolam renangnya tidak cukup besar untuk menampung pengunjung yang datang lebih-lebih lagi ketika kesemua biliknya habis ditempah. Oleh kerana kolam mandi adalah salah satu tarikan untuk ke hotel ini, pihak hotel sepatutnya menyediakan kolam yang lebih besar bagi menampung pengunjung terutamanya ketika cuti. Selain itu di waktu malam sekitar kolam renang ini tidak dihiasi dengan lampu-lampu yang cantik dan suasananya agak malap.


Hotel ini menyediakan wifi percuma yang agak laju di mana kelajuannya mencecah 20mbps. Celcom pula mempunyai kelajuan 98mbps sementara Tune Talk pula 58mbps. Untuk siaran TV pula, tidak banyak siaran yang disediakan dan siarannya pula bukanlah dalam bentuk HD, tetapi TV yang disediakan adalah Smart TV. Tekanan air di bilik mandi tidak begitu kuat tetapi saya masih lagi berpuas hati bila mandi di pancurannya.


Bagi sarapan pula, ianya adalah di restoran yang terletak bersebelahan dengan lobi. Tidak banyak menu yang disediakan tetapi bagi saya ianya sudah memadai kerana pengunjung hanya perlu menambah RM34 bagi sarapan untuk 2 orang. Antara menu yang ada adalah nasi lemak dan bubur nasi dan saya mencuba kedua-duanya dan bagi saya ianya sedap. Waktu untuk sarapan pagi adalah antara pukul 7.30 hingga ke 10.30 pagi.


Secara keseluruahannya saya rasa hotel ini agak mahal jika dibandingkan dengan biliknya yang kecil serta fasilitinya yang hanyalah kolam renang. Walaupun terdapat gimnasium tetapi saya tidak pasti samada ianya beroperasi ataupun tidak. Biliknya agak cantik dan saya suka dengan dekorasinya serta warna yang digunakan tetapi ianya agak kotor serta berhabuk. Ini mungkin disebabkan bilik yang saya inap ini terletak di tingkat bawah membuatkan biliknya agak berhabuk. Selain itu bilik di hotel ini mempunyai pintu gelongsor untuk ke bahagian taman, oleh itu ianya agak berpasir dan kurang bersih. Selain itu seperti yang saya tulis di atas, kolamnya agak kecil bagi menampung pengunjung terutama ketika kesemua biliknya habis ditempah. Dari segi lokasi pula, hotel ini letaknya di Cyberjaya, tidak ada apa yang istimewa untuk bersiar-siar di sini.


Bilik


Bilik Air


Kolam Renang


Sarapan Pagi


Hotel


134 views0 comments

Comentarios


Post: Blog2_Post
bottom of page