top of page
Search
hanuds

Crystal Crown Hotel Kuala Lumpur (14-15/12/24)

Updated: Dec 15

Minggu ini saya ke satu hotel yang telah memulakan operasinya pada tahun 2007. Hotel ini terletak di Jinjang Selatan iaitu di Jalan Jambu Mawar. Saya membuat tempahan menggunakan aplikasi Trip.com dan memilih bilik Ruby yang berharga RM211.11. Harga ini tanpa sarapan pagi tetapi telah termasuk cukai. Bilik jenis Ruby ini sebenarnya ialah bilik yang baru diperbaharui (refurbished). Hotel ini mempunyai 200 bilik.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.15 tengahari dan terus sahaja mendaftar masuk. Lobi hotel ini agak luas. Selain lobi terdapat restoran di aras yang sama. Proses daftar masuk (check-in) sekejap sahaja dan hotel ini mengenakan deposit sebanyak RM200. Oleh kerana bilik telah pun sedia, saya terus diberi kad akses bilik. Terdapat hanya dua buah lif di hotel ini dan oleh kerana pengunjung tidak ada pada masa itu, masa untuk menunggu lif tidaklah lama. Bilik saya terletak di Tingkat 9 dan hotel ini mempunyai 10 tingkat.


Dengan keluasan 279 kaki persegi bilik jenis Ruby ini agak luas. Biliknya serba serbi baru kerana baru sahaja diperbaharui. Sebaik memasuki bilik di sebelah kiri terdapat ruang untuk menyangkut baju yang terbuka. Di sini juga terdapat peti sejuk mini dan perkakas untuk membancuh kopi dan teh. Di sebelah kanan pula letaknya bilik air. Hotel ini tidak menyediakan peti simpanan keselamatan dan seterika.


Ruang katilnya agak kosong kerana selain katil king terdapat hanya satu sofa bujang di sebelah kanan katil. Di sudut kanan kaki katil pula terdapat satu meja yang kecil serta satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja pejabat di sini. Hotel ini hanya menyediakan TV berukuran 32 inci yang digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil.


Bilik airnya kecil sahaja dan mempunyai pintu gelongsor tetapi tidak boleh dikunci. Selain singki, terdapat tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancurannya ditutupi separa dengan cermin lutsinar. Terdapat dua jenis pancuran di hotel ini. Hotel ini juga menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi serta tuala muka.


Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan maksima 27mbps. CelcomDigi pula 641mbps sementara Tune Talk 100mbps. Tekanan air di bilik mandi kuat dan saya suka mandi di pancurannya. Hanya beberapa siaran TV asas disediakan di hotel ini dan ianya bukanlah di dalam bentuk HD. Hotel ini ada menyediakan servis in-room dining sehingga pukul 9.30 malam dan harga menunya murah. Sebagai contoh Nasi Goreng Kampung berharga RM18.90, Fish & Chip RM24.90 dan jus buah-buahan pula RM15. Hotel ini adalah antara hotel yang mempunyai sijil halal dari JAKIM. Bagi yang membawa kenderaan pula, hotel ini ada menyediakan parkir dan ianya adalah percuma bagi pengunjung hotel. Untuk proses daftar keluar pengunjung perlu memulangkan kad akses bilik dan menunggu bilik diperiksa terlebih dahulu sebelum dibenarkan meninggalkan hotel (saya sebenarnya sudah lama tidak berjumpa dengan hotel yang sebegini).


Secara peribadi hotel ini agak berbaloi dengan harganya kerana ianya bersih dan juga selesa, cuma lokasinya agak jauh dari pusat bandaraya Kuala Lumpur. Terdapat Brem Mall betul-betul di sebelah hotel ini tetapi mall tersebut ibarat hidup segan mati tak mahu. Hotel ini terletak 10 km dari KLCC dan juga Pavilion Bukit Bintang. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini terletak berhampiran dengan Stesen MRT Sri Delima (laluan Putrajaya) iaitu hanyalah kira-kira 700 meter sahaja.


Bilik



Bilik Air



Hotel



Pemandangan dari Bilik



39 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page