top of page
Search
hanuds

Crowne Plaza Kuala Lumpur City Centre (3-4/2/24)

Updated: Feb 5

Selepas staycation di Hotel Indigo, minggu ini saya memilih satu lagi hotel di bawah rangkaian IHG. Hotel ini terletak di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur dan baru sahaja memulakan operasinya pada 15 Disember 2023. Melalui aplikasi IHG saya telah menempah bilik standard yang berharga RM434.61 dan harga ini tidak termasuk yuran (fees) sebanyak RM43.46 dan juga cukai RM28.68 serta sarapan pagi. Jika dicampur yuran dan cukai, harga bilik hotel ini menjadi RM506.75. Hotel ini sebenarnya terletak di belakang Hotel Ibis dan di hadapannya pula letaknya Scarletz Suites (kedua-duanya telah saya ulas sebelum ini).


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi di tingkat bawah hotel. Lobi hotel ini agak besar dan cantik. Selain kaunter terdapat juga kafe di lobinya. Saya terus sahaja membuat proses daftar masuk (check-in) dan masa yang diambil untuk proses ini sekejap sahaja. Hotel ini mengambil deposit sebanyak RM200 dan saya hanya menggunakan kad kredit untuk bayaran deposit. Oleh kerana bilik saya telah pun sedia, saya terus diberi kad akses bilik yang terletak di Tingkat 17. Hotel ini mempunyai 38 tingkat dan 320 bilik tetapi saya difahamkan buat masa ini hotel ini tidak membuka kesemua biliknya.


Terdapat 5 buah lif di hotel ini dan oleh kerana tiada pengunjung lain pada masa saya tiba, masa untuk mendapatkan lif tidaklah menjadi masalah. Bilik standard hotel ini mempunyai keluasan 387 kaki persegi dan ianya agak luas. Memasuki bilik terdapat bilik air di sebelah kanan pintu masuk dan di sebelah pintu bilik air pula terdapat satu ruang terbuka untuk pengunjung meletakan beg dan menyangkut baju. Terdapat 2 pasang jubah mandi (bathrobe) digantung di ruang ini. Di sebelahnya pula terdapat satu rak tertutup di mana di dalamnya terdapat peti simpanan keselamatan dan juga seterika serta papan seterika.


Di ruang katil selain satu katil king, terdapat satu sofa berbentuk L yang agak besar di sebelah kanan katil iaitu di tepi tingkap. Di hadapan sofa ini diletakan satu meja bulat yang kecil. Di sebalah kanan kaki katil pula terdapat satu meja dan kerusi untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat di bahagian ini. Di sebelah kanan meja kerja ini terdapat satu rak menempatkan peti sejuk mini dan juga perkakas untuk membancuh kopi dan teh, termasuklah cerek letrik. Hotel ini menyediakan TV yang besar, mungkin bersaiz 65 inci yang dilekatkan di dinding bertentangan dengan kaki katil. Walau bagaimanapun ianya bukanlah Smart TV. Di atas meja sisi di kiri katil, terdapat jam digital yang boleh dijadikan alat pengecas tanpa wayar untuk talipon bimbit. Bilik yang saya inap ini mempunyai pemandangan mengadap ke Hotel Ibis.


Bilik air hotel ini menggunakan pintu gelongsor yang boleh dikunci dari dalam. Saiznya sederhana besar menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Hotel ini ada menyediakan gelung paip di sebelah mangkuk tandas. Ruang pancuran pula agak besar yang ditutupi sepenuhnya dengan cermin seratus peratus lut cahaya. Di dalam ruang pancuran ini terdapat tub mandi yang saiznya sederhana besar. Terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang disediakan di hotel ini. Dinding ruang pancuran yang mengadap katil mempunyai cermin seratus peratus lutsinar tetapi ianya boleh ditutup dengan bidai yang dikawal dengan suis. Hotel ini menyediakan perkakas mandian yang lengkap termasuklah tuala tangan, tuala muka serta berus gigi.


Kolam renang hotel ini terletak di atas bangunan (rooftop) iaitu di Tingkat 33. Kolamnya agak besar tetapi kawasannya agak sempit. Ianya dibuka dari pukul 7 pagi hingga 7 malam. Di aras yang sama terdapat juga gimnasium yang beroperasi 24 jam. Hotel ini juga menyediakan servis in-room dining tetapi saya tidak pasti waktu ianya beroperasi. Antara menu yang ada ialah nasi goreng yang berharga RM45, mee goreng mamak berharga RM40 dan jus buah-buahan pula berharga RM22. Untuk wifi percuma, kelajuannya hanyalah sekitar 10mbps dan telco mempunyai sedikit masalah di hotel ini mungkin disebabkan bangunannya yang terlindung. Untuk muat turun (download), Celcom dan Tune Talk hanya mencapai kelajuan 16mbps dan untuk muat naik (upload) pula kelajuan kedua-duanya menghampiri 0mbps. Siaran TV agak banyak dan kebanyakan siarannya adalah di dalam bentuk HD. Untuk tekanan air di bilik air, saya berpuas hati mandi di pancurannya. Sebagai ahli IHG, saya dibenarkan untuk daftar keluar (check-out) pada pukul 2 petang. Hotel ini menyediakan 4 tingkat parkir (2 di bawah dan 2 di atas lobi) dan ianya adalah percuma.


Hotel ini bagi saya agak mahal, mungkin disebabkan lokasinya yang terletak berhampiran dengan KLCC tetapi jika pembaca tidak kisah dengan harganya, hotel ini boleh dijadikan pilihan jika ingin bersiar-siar di KLCC kerana jaraknya hanyalah 800 meter sahaja. Hotel ini masih lagi baru dan segala peralatannya juga masih baru, bersih dan selesa. Kepada yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini terletak 500 meter dari Stesen MRT Ampang Park dan 800 meter dari Stesen LRT KLCC. Kepada penggemar patin tempoyak, hotel ini terletak hanya 280 meter dari restoran yang terkenal, House of Patin Lipis.


Bilik



Bilik Air



Kolam Renang



Hotel



82 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page