top of page
Search

Courtyard by Marriott Setia Alam (30-31/1/25)

hanuds

Dari Bukit Bintang saya ke Setia Alam untuk ke satu hotel di bawah rangkaian Marriott. Hotel ini memulakan operasinya pada December 2022. Saya membuat tempahan menggunakan aplikasi Trip.com dan memilih bilik King yang berharga RM279. Harga ini sudah termasuk cukai tetapi saya tidak mengambil sarapan pagi.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 12.40 tengahari dan terus sahaja ke lobi hotel yang terletak di tingkat bawah. Lobinya luas tetapi agak ringkas (simple), cuma terdapat beberapa sofa untuk pengunjung duduk. Selain kaunter terdapat Restoran Starbucks dan juga sebuah kedai serbaneka layan diri yang beroperasi 24 jam. Proses daftar masuk (check-in) sangat cepat dan saya terus menerima kad akses kerana bilik telahpun sedia. Dari bilik King saya diberi bilik Deluxe, tetapi saya tidak begitu pasti apakah perbezaan antara dua jenis bilik ini kerana di Trip.com harga bilik Deluxe ini lebih mahal dari bilik King. Hotel ini tidak mengenakan bayaran deposit. Saya menaiki lif untuk ke bilik saya yang terletak di Tingkat 21 dan terdapat lima buah lif di hotel ini.


Bilik Deluxe hotel ini mempunyai keluasan 312 kaki persegi (sama seperti bilik King) dan ianya agak luas. Sebaik memasuki bilik terdapat almari di sebelah kanan pintu masuk sementara bilik air pula di sebelah kiri. Almarinya agak besar mempunyai pintu gelongsor. Di dalamnya selain tempat untuk menyangkut baju terdapat juga peti simpanan keselamatan, seterika dan papan seterika. Dua pasang jubah mandi (bathrobe) digantung di dalamnya. Di sebelah almari ini terdapat satu kabinet kecil yang menempatkan peti sejuk mini serta perkakas untuk membancuh minuman. Di sebelah kabinet ini pula terdapat satu para untuk pengunjung meletakkan beg dan barang-barang mereka.


Di ruang katil selain satu katil king terdapat sebuah sofa yang besar di sebelah kiri iaitu berhampiran dengan tingkap. Di hujung sofa ini terdapat satu meja kecil. Di bahagian penjuru kiri kaki katil pula terdapat sebuah meja bulat yang sederhana besar serta sebuah kerusi yang boleh dijadikan tempat untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat. Di atas meja ini terdapat sebuah lampu bacaan. Seperti hotel yang lain TV digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil dan hotel ini menyediakan TV yang besar, mungkin 55 ataupun 60 inci.


Bilik airnya pula agak kecil menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Hotel ini tidak menyediakan gelung paip di sebelah mangkuk tandas tetapi menggunakan mangkuk tandas yang terdapat paip kecil di dalamnya. Ruang pancuran pula agak luas dengan dua jenis pancuran. Dinding ruang pancuran yang mengadap ke bahagian katil terdapat cermin yang seratus peratus lutsinar tetapi ianya mempunyai bidai yang boleh ditutup atau dibuka dari dalam dan ianya dikawal dengan menggunakan magnet. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi, tuala tangan serta tuala muka.


Kolam renang hotel ini letaknya di Tingkat 12 dan saiznya sederhana besar. Lanskapnya tidak begitu menarik bagi saya dan ianya adalah di ruang yang terbuka. Selain kolam renang di aras yang sama terdapat juga sebuah gimnasium dan sauna. Waktu operasi kolam renang dan sauna ialah pada pukul 8 pagi hingga 7 malam sementara gimnasium pula dibuka 24 jam. Di tepi kolam renang juga terdapat sebuah kafe yang dibuka sehingga pukul 12 tengah malam.


Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan agak laju di mana kelajuannya mencecah 62mbps untuk muat naik dan muat turun, tetapi telco mempunyai masalah di kawasan ini di mana CelcomDigi hanya mempunyai kelajuan 12mbps sementara Tune Talk pula hanya 5mbps. Untuk siaran TV pula hotel ini hanya menyediakan siaran asas sahaja berserta beberapa siaran berita dan sukan tetapi kebanyakkan siarannya di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya suka mandi di pancurannya. Hotel ini juga ada menyediakan servis in-room dining dan harganya tidaklah terlalu mahal. Sebagai contoh nasi gorengnya berharga RM32, laksa kari RM32 dan jus buah-buahan pula RM18. Untuk yang membawa kenderaan, hotel ini ada menyediakan parkir dan ianya adalah percuma kepada pengunjung hotel.


Hotel ini letaknya di Setia Alam di mana ianya jauh dari Bandaraya Kuala Lumpur iaitu sekitar 40km. Berdekatan dengan hotel terdapat sebuah pusat konvensyen iaitu Setia City Convention Centre dan juga sebuah pusat membeli-belah iaitu Setia City Mall. Terdapat jejantas yang menghubungkan hotel dan juga Setia City Mall yang berada di Tingkat 1. Hotel ini mungkin sibuk di hujung minggu ataupun ketika terdapat acara di pusat konvensyen tersebut tetapi ketika saya menginap ianya agak sunyi, tidak ramai pengunjung yang menginap di sini. Dengan harga yang telah saya bayar iaitu di bawah RM300, ianya agak berbaloi kerana hotel ini bersih dan selesa serta masih lagi kelihatan baharu. Saya bercadang untuk kembali ke sini lagi dan menginap di suitenya pula.


Bilik



Bilik Air



Kolam Renang



Hotel



Pemandangan



 
 
 

Comments


Post: Blog2_Post
  • Facebook
  • Twitter
  • LinkedIn

©2020 by Bumi dipijak langit dijunjung. Proudly created with Wix.com

bottom of page