top of page
Search
hanuds

Courtyard by Marriott Kuala Lumpur South (23-24/6/24)

Updated: Jun 25

Dari pusat bandaraya saya ke Jalan Puchong untuk ke satu lagi hotel di bawah rangkaian Marriott. Hotel yang mempunyai 278 bilik ini baru saja memulakan operasinya lima hari yang lepas iaitu pada 20/6/24. Sekali lagi saya menggunakan aplikasi Trip.com untuk membuat tempahan bilik. Saya memilih bilik standard yang berharga RM333 dan ianya tanpa sarapan pagi.


Saya tiba agak awal kira-kira pukul 12.40 tengahari dan terus sahaja ke kaunter untuk proses daftar masuk (check-in). Lobi hotel ini agak luas dan selain kaunter terdapat sebuah kafe di aras yang sama. Proses daftar masuk sangat cepat dan saya terus diberi kad akses bilik kerana bilik saya telah pun sedia. Hotel ini mengenakan bayaran deposit sebanyak RM200. Saya menaiki lif untuk ke bilik saya yang berada di Tingkat 15. Terdapat 4 buah lif di hotel ini dan oleh kerana ini merupakan hotel baharu, lifnya sangat cepat.


Bilik standard hotel ini mempunyai keluasan 312 kaki persegi dan ianya agak luas dan cukup selesa. Sebaik masuk ke bilik terdapat satu rak terbuka di sebelah kanan untuk meletakan barang-barang dan di sebelahnya pula terdapat almari yang bersaiz agak besar. Di dalam almari ini terdapat peti simpanan keselamatan, seterika dan juga papan seterika selain tempat untuk menyangkut baju. Terdapat dua pasang jubah mandi (bathrobe) digantung di dalamnya dan hotel ini menyediakan jubah mandi yang sangat selesa. Di sebelah almari ini pula terdapat satu kabinet menempatkan peti sejuk mini dan juga laci yang mana di dalamnya terdapat perkakas untuk membancuh kopi dan teh. Di atas kabinet ini terdapat satu cerek letrik.


Di ruang katil pula, selain satu katil king terdapat satu sofa yang besar di kiri katil di mana di hujungnya terdapat satu meja kecil. Di penjuru kiri bilik terdapat satu meja bulat sederhana besar dan satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja pejabat di sini. Di atas meja ini diletakan satu lampu bacaan. Hotel ini menyediakan TV yang besar, mungkin bersaiz 55 ataupun 60 inci yang digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil.


Bilik airnya pula agak luas menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Hotel ini tidak menyediakan gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan menggunakan mangkuk tandas yang mempunyai paip kecil di dalamnya. Ruang pancuran pula ditutupi oleh cermin seratus peratus lutsinar dan ianya sederhana luas. Terdapat pancuran jenis pegang dan juga siling disediakan. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi, tuala tangan dan juga tuala muka. Hotel ini menyediakan air minuman di dalam botol kaca yang diletakan di tepi singki.


Kolam renang hotel ini terletak di Tingkat 11 dan saiznya agak besar. Kawasan di sekitar kolam renang ini sangat luas dan sangat sesuai untuk pengunjung berehat sambil bersantai. Terdapat banyak sofa disediakan di sini dan kawasan ini juga cantik terutamanya di waktu malam. Selain kolam renang untuk dewasa terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak tetapi saiznya kecil sahaja. Waktu kolam renang ini beroperasi ialah dari pukul 7 pagi sehingga 8 malam. Di aras yang sama juga terdapat sebuah gimnasium yang beroperasi 24 jam serta sebuah sauna tetapi saya tidak begitu pasti waktu ianya beroperasi.


Restoran hotel pula terletak di Tingkat 3 dan ianya agak besar dan cantik. Terdapat pelbagai menu dan bagi saya harganya agak murah. Saya sempat makan malam di restoran ini dan mencuba nasi goreng cina berharga RM28, lasagna RM38 serta sup cendawan yang berharga RM26. Ketiga-tiganya sangat sedap bagi saya. Hotel ini juga ada menyediakan servis in-room dining sehingga pukul 10.30 malam.


Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan maksima 29mbps (untuk muat naik dan juga muat turun). CelcomDigi pula mempunyai kelajuan 106mbps sementara Tune Talk pula 52mbps. Walaupun hotel ini menyediakan TV yang besar tetapi tidak banyak siaran yang disediakan dan terdapat siaran yang tidak dapat diakses (mungkin disebabkan hotel ini masih baru). Walau bagaimanapun hotel ini menyediakan siaran TV di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya agak berpuas hati apabila mandi di pancurannya.


Hotel ini masih lagi baru dan segala kelangkapannya juga masih baru. Ianya bukan sahaja sangat bersih tetapi juga masih lagi segar (fresh). Selain jubah mandinya yang sangat selesa, hotel ini juga menyediakan tilam dan bantal yang sangat empuk, antara hotel yang saya suka tidur di atas tilamnya. Hotel ini mempunyai dua lapisan langsir di mana kedua-duanya menggunakan suis sepenuhnya untuk membuka ataupun menutupnya, tetapi salah satunya tidak berfungsi. Saya tidak boleh menutup langsir yang tebal ketika hendak tidur tetapi ianya tidak menjadi masalah bagi saya kerana bilik yang saya inap ini mengadap ke kawasan yang gelap.


Secara peribadi saya suka dengan hotel ini dan akan kembali lagi ke sini. Hotel ini sesuai untuk berehat sambil bersantai di kolam renangnya. Selain itu hotel ini terletak bersebelahan dengan pusat membeli belah Bloomsvale tetapi buat masa sekarang ianya belum lagi seratus peratus beroperasi. Masih banyak kedai yang belum lagi dibuka. Cuma lokasi hotel ini agak jauh dari pusat bandaraya Kuala Lumpur serta laluan LRT mahupun MRT. Stesen yang paling hampir untuk ke hotel ini letaknya kira-kira 2.9km iaitu Stesen LRT Muhibbah. Dari stesen tersebut pengunjung bolehlah menaiki e-hailing. Untuk yang membawa kenderaan pula, hotel ini ada menyediakan parkir yang berkongsi dengan mall di sebelahnya dan ianya adalah percuma untuk pengunjung hotel. Buat masa sekarang hotel ini hanya membuka beberapa biliknya sahaja (iaitu bilik standard) dan hanya akan dibuka secara rasmi pada Ogos depan. Saya bercadang untuk ke sini lagi dan menginap di bilik deluxe pula apabila ianya dibuka kelak.


Bilik



Bilik Air



Kolam Renang



Restoran



Hotel



Pemandangan dari Bilik



77 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page