top of page
Search

Ceria Hotel Kuala Lumpur (9-10/9/22)

Pada minggu ini saya telah memilih 2 buah hotel bajet yang terletak di Bukit Bintang Kuala Lumpur. Untuk hotel yang pertama saya telah memilih sebuah hotel yang terletak di Jalan Changkat Thambi Dollah. Hotel ini lokasinya ialah di belakang Berjaya Times Square (BTS) dan di depan Lalaport Mall. Saya memilih hotel ini disebabkan menghadiri aktiviti pejabat saya di Bangunan Berjaya Times Square tersebut.


Saya telah memilih bilik jenis Superior Single berharga RM108.42 dengan menggunakan aplikasi Booking.com. Saya tiba di hotel kira-kira pukul 8.15 malam sebaik sahaja aktiviti di Berjaya Times Square tamat. Saya hanya berjalan kaki sahaja dari BTS untuk ke hotel ini. Saya terus ke kaunter yang terletak di tingkat bawah hotel. Lobinya kecil sahaja tetapi cantik. Sebaik sahaja saya membayar wang deposit RM50, saya diberi kad akses untuk ke bilik saya yang telah dinaik taraf ke bilik superior double. Bilik saya terletak di bahagian bawah hotel dan di bahagian hujung sekali. Biliknya kecil sahaja berkeluasan 118 kaki persegi dan ianya tidak mempunyai tingkap.


Selain satu katil queen, terdapat satu meja kecil di sebelah katil untuk menempatkan peralatan untuk membancuh kopi dan teh. Tidak terdapat cerek letrik disediakan, hanya jag sahaja. Jika pengunjung inginkan air panas, terpaksalah ke bahagian lobi kerana di situ terdapat satu mesin pemanas air. Di hadapan katil terdapat TV berukuran 32 inci yang dilekatkan di dinding. Di bawahnya pula terdapat satu rak panjang untuk meletak barang2 serta satu bangku kecil. Di sebelah kanan TV terdapat satu kabinet kecil untuk meletakan barang2 serta satu besi dan juga penyangkut baju di atasnya untuk pengunjung menyangkut baju. Kemudian di hujung sudut bilik terdapat sinki dan paip air (sinkinya terletak di luar bilik air). Bilik airnya pula dipisahkan oleh cermin yang separa lut cahaya (di atasnya adalah cermin lut sinar). Bilik airnya adalah berpintu cermin dan terdapat 2 bahagian. Bahagian hadapan adalah tempat mandi yang mempunyai 2 jenis shower, jenis siling dan juga pegang sementara di bahagian belakangnya adalah tandas. Di bahagian tandas terdapat gelung paip bagi keselesaan pengunjung.


Hotel ini juga ada menyediakan wifi percuma dan kelajuannya hanyalah sekitar 9mbps sahaja. Bilik ini tidak mempunyai liputan Telco di mana kedua-dua Telco yang saya guna tidak mempunyai liputan langsung bila berada di dalam bilik. Ini mungkin disebabkan bilik yang saya inap ini terletak agak ke belakang serta tidak mempunyai tingkap. Sepanjang berada di dalam bilik saya hanya menggunakan wifi hotel sahaja. Untuk siaran TV pula, walaupun hanya menyiarkan siaran asas sahaja tetapi ianya adalah dalam bentuk HD.


Saya sebenarnya membuat perancangan untuk kembali lagi ke hotel ini dan cuba pula menginap di bilik junior suite yang berkeluasan 215 kaki persegi dan hanya sekitar RM250 sahaja tetapi akan memikirkannya semula memandangkan tekanan air di bilik air hotel ini sangat perlahan (ini adalah satu perkara yang saya amat pentingkan bila menginap di mana-mana hotel). Selain itu biliknya tidak mempunyai lampu tidur. Jika dipadamkan semua lampu, bilik ini akan gelap gelita. Semasa tidur, saya memasang satu lampu yang terletak di atas sinki tetapi cahayanya sangat terang bagi saya. Untuk yang tidak kisah dengan showernya yang perlahan serta liputan Telconya yang sedikit mengecewakan (bilik di tingkat atas mungkin tidak menghadapai masalah ini), hotel ini saya rasa agak berpatutan dengan harganya. Selain lokasinya yang strategik, hotel ini mempunyai interior yang agak cantik bagi saya, cuma kebersihannya tidak begitu memuaskan (atas katil saya sedikit berhabuk semasa saya sampai). Selain itu lobi hotel ini cantik walaupun saiznya kecil sahaja. Hotel ini sesuai bagi yang inginkan tempat tidur sahaja dan ianya tidak sesuai untuk yang ingin berehat di bilik hotel.



Bilik



Lobi




149 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page