Staycation minggu ini saya memilih satu hotel di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Hotel yang terletak di Jalan Imbi ini memulakan operasinya pada Disember 2021. Hotel ini terletak berhampiran Hotel Dorsett dan juga Ritz-Carlton. Saya telah menempah bilik jenis Studio Executive King menerusi aplikasi booking.com yang berharga RM351.39 (termasuk sarapan untuk 2 orang).
Saya tiba di hotel kira2 pukul 12.15 tengahari dan terus sahaja ke lobi hotel yang terletak di tingkat 40. Saiz lobinya tidak begitu besar dan selain lobi terdapat juga restoran di tingkat yang sama. Saya terus sahaja membuat pendaftaran masuk dan diberitahu bahawa bilik belum lagi sedia. Saya diminta untuk menunggu di restoran kerana hotel ada menyediakan ‘welcome drink’ serta sandwich. Saya pun ke restoran dan hanya menunggu di situ sementara menunggu bilik saya disiapkan. Sepanjang saya berada di restoran, saya beberapa kali disapa oleh staff hotel untuk memaklumkan bahawa bilik saya belum sedia. Harga makanan di restoran ini bagi saya agak mahal di mana nasi gorengnya berharga RM42. Pada malamnya saya sempat mencuba sup cendawan dan milo ais yang masing2 berharga RM28 dan RM18. Bagi saya sup cendawannya sangat sedap.
Kira2 pukul 1.20 tengahari, staff hotel mendatangi saya untuk memberi kad akses bilik saya. Saya terus menaiki lif untuk ke tingkat 26. Terdapat 5 lif disediakan di hotel ini. Lifnya agak cepat dan saya tidak perlu menunggu lama. Sebaik sahaja saya memasuki bilik, saya dapat rasakan yang bilik hotel ini sememangnya masih baru. Di sebelah kanan pintu masuk terdapat bilik air yang dipisahkan oleh pintu gelongsor yang boleh dikunci. Kemudian di sebelahnya pula terdapat almari untuk meletakkan barang2 dan juga menyangkut pakaian. Di sini juga terdapat peti simpanan keselamatan, payung, seterika dan juga papan seterika.
Kemudian di kiri pintu masuk terdapat satu kabinet kecil yang menempatkan sinki serta satu gelombang ketuhar. Di bawahnya terdapat satu ruang tertutup yang menempatkan satu peti ais mini yang agak besar, tidak seperti kebiasaan hotel. Di sini juga terdapat laci2 yang diletakkan perkakas untuk membancuh kopi ataupun teh, juga pinggan dan mangkuk untuk kegunaan pengunjung.
Dengan keluasan 387 kaki persegi, bilik jenis ini agak besar di mana selain satu katil queen, terdapat satu sofa sederhana besar yang diletakkan di sudut bilik di kaki katil. Di sebelah sofa terdapat satu meja bulat sederhana besar. Hotel ini tidak mempunyai meja study seperti kebanyakkan hotel, jadi meja bulat ini boleh digunakan oleh pengunjung untuk membuat kerja2 pejabat. Seperti hotel2 yang lain juga, terdapat TV yang dilekatkan di dinding mengadap ke kaki katil dan hotel ini menyediakan TV yang besar, mungkin bersaiz 55 inci. Apa yang menariknya terdapat pembesar suara (speaker) di bawah TV.
Bilik air hotel ini mempunyai 2 pintu. Selain pintu berdekatan dengan pintu masuk, terdapat pintu kedua yang terletak di sebelah kiri katil. Pintu ini juga boleh ditutup dengan pintu gelongsor dan ianya juga boleh dikunci. Bilik air hotel ini agak kecil menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk shower. Tidak terdapat bathtub di bilik jenis ini. Tandasnya juga tidak menyediakan gelung paip (bidet) dan hanya menggunakan mangkuk tandas jenis pancuran dari dalam. Kelengkapan bilik mandi adalah lengkap termasuklah berus gigi. Hotel ini juga menyediakan 2 pasang jubah mandi (bathrobe) untuk kegunaan pengunjung.
Hotel ini mempunyai infiniti pool yang terletak di tingkat 41 (rooftop) dan saiznya tidaklah besar tetapi mempunyai view yang cantik. Terdapat juga pool untuk kanak2 di sini. Waktu operasi pool adalah pada pukul 7 pagi hingga 9 malam. Di samping pool, gimnasium juga terdapat di tingkat yang sama. Hotel ini juga ada menyediakan bilik permainan dan juga bilik untuk menonton TV di tingkat 41. Selain itu, terdapat juga dobi dan juga sauna di tingkat yang sama.
Untuk wifi percuma pula, kelajuannya tidaklah laju hanya kira2 10mbps sahaja. Telco pula laju di mana Celcom mencapai kelajuan 80mbps sementara Tune Talk pula 65mbps. Siaran TV pula tidaklah banyak (hanya siaran asas yang ada) tetapi hotel ini ada menyediakan movie percuma yang agak banyak. Semua siaran TVnya adalah dalam bentuk HD. Bagi tekanan air di bilik air pula, ianya adalah kuat dan sangat puas mandi di showernya. Kepada yang membawa kereta, hotel ini menyediakan parkir bertingkat yang sepenuhnya auto, di mana pengunjung hanya perlu meletakkan kereta di ruang yang disediakan, dan ianya secara automatik akan dibawa ke parkir. Untuk 24 jam, harga parkir adalah sebanyak RM12.
Saya sebenarnya jarang sekali mengambil sarapan bila staycation di hotel kerana habit saya yang hanya mengambil sarapan ringan. Memandangkan harga hotel yang saya bayar adalah termasuk sarapan pagi, saya pun mencuba sarapan di hotel ini. Sarapan adalah di restoran yang terletak di tingkat 40 bersebelahan lobi. Selain itu restoran ini juga terdapat di tingkat 40M (ada tangga antara tingkat 40 dan 40M). Makanan yang disediakan tidaklah pelbagai dan agak mengecewakan saya. Antara menu yang disediakan ialah nasi lemak, mee hon goreng, bubur nasi, roti nan serta pelbagai jenis roti serta buah. Saya hanya mencuba nasi lemak serta roti nan, dan rasanya biasa sahaja bagi saya. Untuk proses check-out pula, saya hanya perlu memulangkan semula kad akses ke kaunter.
Secara keseluruhannya untuk hotel bertaraf 4 bintang, harga RM351.39 itu adalah berpatutan bagi saya memandangkan hotel ini masih lagi baru dan harga itu termasuk sarapan untuk 2 orang. Selain itu lokasi hotel ini juga strategik di mana ianya terletak hanya kira2 450 meter dari Pavilion serta 950 meter dari Jalan Alor. Jika dibandingkan dengan hotel2 5 bintang yang berada di sekitarnya, seperti the Ritz-Carlton, JW Marriott dan The Westin, harga hotel ini jauh lebih murah. Cuma bagi saya hotel ini agak biasa kecuali poolnya yang terletak di rooftop. Kepada yang ingin menikmati sarapan pagi yang pelbagai serta enak, hotel ini bukanlah pilihan yang sesuai.
Bilik
Bilik Air
Lobi
Restoran
Hotel
Parkir
View
تعليقات