Pada minggu ini saya memilih satu hotel yang terletak di Daerah Sepang, Selangor. Hotel yang baru sahaja setahun beroperasi ini terletak di Jalan KLIA Avenue. Saya menempah bilik hotel secara terus dari website hotel kerana hotel ini sedang mengadakan promosi sempena setahun pembukaannya. Saya memilih bilk jenis Loft yang berharga RM188 (harga ini tidak termasuk cukai 8% dan juga sarapan pagi).
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 12.40 tengahari dan terus saja membuat proses daftar masuk (check-in). Lobi hotel ini letaknya di tingkat paling bawah dan agak luas. Selain kaunter terdapat juga kedai serbaneka dan sebuah restoran yang kecil di aras yang sama serta beberapa buah kerusi untuk pengunjung duduk di lobinya. Proses daftar masuk sekejap sahaja dan hotel ini tidak mengenakan sebarang deposit. Oleh kerana bilik saya telahpun sedia, saya terus sahaja diberi kad akses.
Hotel ini hanya mempunyai empat tingkat dan menyediakan dua buah lif. Bilik yang saya inap ini letaknya di Tingkat 2. Masa menunggu lif sekejap sahaja dan bilik jenis Loft ini mempunyai keluasan 172 kaki persegi. Sebaik memasuki bilik terdapat bilik air di sebelah kiri pintu masuk. Di bahagian katil pula hanya terdapat sebuah katil queen dan di sebelah kanan katil terdapat kabinet yang menempatkan peti sejuk mini dan juga peti simpanan keselamatan serta tempat menyangkut pakaian yang terbuka. Di atas kabinet ini diletakkan perkakas untuk membancuh minuman tetapi tidak disediakan cerek letrik. Hotel ini juga tidak menyediakan air minuman sebaliknya hanya menyediakan mesin air panas dan sejuk di luar bilik. Di bahagian kaki katil pula terdapat satu meja panjang serta sebuah kerusi untuk pengunjung membuat kerja-kerja pejabat di sini. TV pula digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil dan saiznya mungkin 45 inci. Di sebelah meja terdapat seterika dan papan seterika yang digantung di dinding. Bilik hotel ini mempunyai tingkap dan ianya agak unik kerana tirainya dikawal dengan magnet untuk menaikkan ataupun menurunkannya.
Bilik airnya pula kecil sahaja menempatkan singki, tandas dan juga ruang pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancurannya pula hanya dipisahkan dengan langsir. Hanya terdapat satu jenis pancuran sahaja di ruang pancurannya. Hotel ini tidak menyediakan perkakas mandian yang lengkap, hanya menyediakan tuala mandi, tuala tangan serta gel mandi sahaja.
Antara fasiliti yang disediakan di hotel ini ialah mini gimnasium yang terdapat di Tingkat M. Selain gimnasium terdapat juga bilik permainan serta set dapur untuk pengunjung memasak. Hotel ini juga ada menyediakan surau dan dobi. Hotel ini menyediakan wifi yang laju di mana kelajuannya mencecah 111mbps sementara untuk telco pula, Tune Talk mempunyai kelajuan 452mbps dan CelcomDigi 427mbps. Untuk tontonan pengunjung, hotel ini hanya menyediakan siaran asas sahaja tetapi ianya di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula agak kuat tetapi saya tidak begitu gemar dengan jenis pancuran yang digunakan.
Hotel ini bagi saya agak mahal jika diambil kira keluasan biliknya serta statusnya yang hanyalah 2 bintang. Harga di sekitar RM300 itu bagi saya tidak sepadan dengan keluasan biliknya yang kecil dan tiada pula menyediakan perkakas mandian yang lengkap. Mungkin ianya agak mahal kerana hotel ini dijadikan penginapan untuk krew Syarikat Penerbangan Batik Air dan juga Firefly. Selain itu bilik hotel ini tidak kedap bunyi dan pengunjung akan mendengar bunyi bising kenderaan dengan jelas. Pencahayaan biliknya juga tidak seimbang di mana bahagian kepala katil tidak mempunyai lampu menjadikan bahagian ini agak gelap. Walau bagaimanapun hotel ini sangat bersih dan selesa walaupun biliknya kecil. Jika pembaca tidak kisah dengan harganya, hotel ini boleh dijadikan transit untuk ke KLIA kerana jaraknya hanyalah 10km. Hotel ada menyediakan bas ulang-alik untuk ke KLIA tetapi ianya bukanlah percuma. Pengunjung juga boleh membeli-belah di Mitsui Outlet Park KLIA yang jaraknya hanyalah 5km. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini terletak 4km sahaja dari Stesen ERL Salak Tinggi.
Bilik
Bilik Air
Hotel
Comments