Minggu ini staycation saya ialah di satu hotel yang baru sahaja memulakan operasinya pada lima bulan yang lepas. Hotel ini terletak di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Melalui aplikasi Trip.com saya memilih bilik jenis Klasik yang berharga RM257.59 (harga ini sudah termasuk cukai tetapi tanpa sarapan pagi). Setelah ditolak Trip Coins saya hanya perlu membayar RM108.59 sahaja.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.30 petang dan terus sahaja menaiki lif untuk ke lobinya yang terletak di Tingkat 2. Terdapat dua buah lif di hotel ini dan masa untuk menunggu lif sekejap sahaja. Lobinya kecil tetapi agak cantik. Proses daftar masuk hanya beberapa minit sahaja dan saya mendapat layanan yang sangat baik dari kakitangan hotel yang bertugas. Oleh kerana bilik saya telahpun sedia, saya terus sahaja diberi kod laluan (passcode) melalui email. Hotel ini tidak menggunakan kad akses sebaliknya hanya menggunakan kod laluan untuk membuka pintu bilik.
Bilik jenis Klasik ini mempunyai keluasan 226 kaki persegi tetapi kelihatan agak luas kerana ruang bilik airnya yang kecil. Sebaik memasuki bilik, terdapat satu rak terbuka di sebelah kanan yang menempatkan tempat untuk menyangkut baju. Di sebelahnya pula terdapat satu ruang tertutup yang menempatkan peti simpanan keselamatan. Di ruang terbuka terdapat dua pasang jubah mandi (bathrobe) yang digantung. Di tepinya pula terdapat satu rak kecil untuk meletakkan beg dan barang-barang.
Di ruang katil pula selain satu katil king, terdapat ruang singki di sebelah kanan katil. Di sini juga diletakkan peti sejuk mini serta perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh. Di sepanjang dinding di sebelah kiri katil terdapat para yang boleh dijadikan tempat duduk. Di hujung para ini pula diletakkan kusyen dan satu meja bulat kecil untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat. Seperti hotel yang lain TV pula digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil. Hotel ini menyediakan Smart TV yang berukuran 45 inci.
Bilik air hotel ini pula kecil sahaja, hanya menempatkan tandas dan juga ruang pancuran (shower). Pintu bilik airnya adalah pintu gelongsor yang tidak boleh dikunci. Hotel ini menggunakan mangkuk tandas yang terdapat paip kecil di dalamnya dan tidak menyediakan gelung paip. Ruang pancuran pula adalah separa terbuka dan ianya agak luas. Terdapat pancuran jenis pegang dan juga siling disediakan.
Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan 10mbps sementara untuk telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 420mbps sementara Tune Talk pula 109mbps. Hotel ini menyediakan Smart TV tanpa siaran TV percuma. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya sangat berpuas hati mandi di pancurannya.
Secara peribadi saya sangat suka dengan hotel ini terutama interiornya. Pencahayaannya juga cantik mengingatkan saya kepada The Ruma kerana warna dan cahaya yang digunakan. Hotel ini tidak mempunyai fasiliti, oleh itu ianya tidak begitu sesuai untuk staycation atau untuk bersantai di hotel. Ianya sangat sesuai untuk dijadikan tempat bermalam kepada pengunjung yang ingin bersiar-siar di sekitar Bukit Bintang. Untuk ke Pavilion, ianya hanya memakan masa 10 minit dengan berjalan kaki. Di belakang hotel ini pula letaknya Jalan Alor yang terkenal dengan street foodnya. Di bawah hotel ini juga terdapat dua buah restoran iaitu Donkai and juga Abang Adek. Hotel ini tidak mempunyai parkir tetapi terdapat parkir awam yang berhampiran (350 meter) dengan bayaran RM13 untuk sekali masuk.
Untuk yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini hanyalah kira-kira 120 meter dari Stesen MRT dan 260 meter untuk ke Stesen Monorel Bukit Bintang. Cuma hotel ini tidak begitu sesuai bagi yang mempunyai anak kerana bilik airnya yang menggunakan pintu gelongsor yang tidak boleh dikunci dan walaupun ianya ditutup masih terdapat ruang yang boleh dilihat ke dalam bilik air. Cerminnya juga adalah lutsinar dan tidak disalut sepenuhnya. Seperkara lagi di malam hari ianya sangat bising dengan bunyi muzik yang dimainkan oleh pemuzik jalanan yang banyak di sekitar Jalan Bukit Bintang, tetapi saya tidak pasti adakah ianya hanya di malam minggu ataupun mereka menjalankan aktiviti mereka pada setiap malam. Secara jujurnya saya tidak begitu selesa dengan bunyi muziknya yang kuat.
Bilik
Bilik Air
Hotel Interior
Hotel
Comments