top of page
Search
hanuds

Best Western i-City Shah Alam (4-5/2/23)

Untuk staycation pada minggu ini saya memilih 2 hotel yang terletak di i-City Shah Alam. Untuk malam pertama saya memilih Hotel Best Western yang letaknya betul-betul di dalam kawasan i-City. Saya telah menempah hotel ini melalui aplikasi Booking.com dan memilih bilik superior yang berharga RM175.41 (harga ini termasuk sarapan dan tiket taman air).


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 2.15 petang dan terus sahaja ke kaunter untuk proses pendaftaran masuk. Lobi hotel terletak di tingkat bawah dan saiznya kecil sahaja. Pada masa saya tiba pengunjung agak ramai tetapi proses pendaftaran agak cepat. Selepas mendapat kad akses saya terus ke bilik saya di tingkat 15. Terdapat 3 lif di hotel ini dan lifnya agak laju.


Bilik superior hotel ini kecil sahaja, hanya berkeluasan 204 kaki persegi. Memasuki bilik terdapat bilik mandi di sebelah kanan pintu masuk sementara di ruang bilik terdapat satu katil queen. Di sebelah kiri katil terdapat satu almari yang bertutup bersaiz agak kecil dan di dalamnya terdapat penyangkut baju dan juga peti simpanan keselamatan. Terdapat juga laci di dalam almari ini. Di sebelah almari pula terdapat para yang diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan teh, serta cerek letrik. Di bawahnya pula terdapat sebuah peti sejuk mini. Bertentangan kaki katil pula terdapat para di mana di atasnya diletakan TV bersaiz 32 inci dan di sebelahnya pula terdapat meja kerja yang kecil serta satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat.


Bilik airnya pula kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Di sebelah mangkuk tandas terdapat gelung paip dan ruang pancuran pula adalah tertutup sepenuhnya dengan cermin seratus peratus lutsinar. Terdapat hanya satu jenis pancuran sahaja iaitu jenis pegang. Peralatan mandian pula lengkap termasuklah berus gigi dan juga pencukur tetapi hanya tuala mandi sahaja disediakan.


Wifi percuma di dalam bilik pula mempunyai kelajuan 12mbps sementara telco pula 51mbps bagi Celcom dan Tune Talk pula mempunyai kelajuan 37mbps. Untuk siaran TV pula, tidak banyak siaran yang ada tetapi siarannya adalah dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya sangat berpuas hati. Pemandangan dari bilik yang saya inap ini mengadap ke kawasan i-City dan agak cantik terutamanya pada waktu malam. Hotel ini tidak mempunyai kolam renang dan kepada yang membawa kenderaan pula, parkir banyak disediakan dan ianya adalah percuma.


Sarapan hotel ini adalah di restoran yang terdapat di tingkat 5. Sarapan di hotel ini agak biasa bagi saya. Tidak banyak menu yang ada dan rasanya biasa sahaja. Saya sempat mencuba beberapa menu seperti nasi lemak, mee goreng dan bubur nasi. Hanya bubur nasi bagi saya agak sedap. Selain itu pastrinya sejuk dan keras (langsung saya teringatkan pastri di Hotel Grand Signature yang sangat sedap).


Secara peribadi hotel ini bagi saya hanyalah sesuai bagi yang ingin bercuti di i-City kerana lokasinya yang betul-betul terletak di dalam kawasan i-City. Tiada apa tarikan lain berdekatan dengan hotel ini. Servisnya baik dan hotel ini bersih dan selesa walaupun biliknya agak kecil. Jika pembaca ingin bersiar-siar di kawasan selain dari i-City, saya sarankan agar menginap di hotel yang lain dan jika ingin bersarapan dengan makanan yang sedap dan pelbagai, hotel ini bukanlah pilihan yang sesuai.


Bilik


Bilik Air


Pemandangan dari Bilik


Sarapan


Hotel


i-City


87 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page