top of page
Search
hanuds

Bangkok (13-16/1/24)

Ini merupakan kali pertama saya ke Bangkok. Saya membeli tiket Airasia pada bulan Ogos tahun lepas dengan harga RM324 (pergi dan balik). Saya pergi berdua dengan seorang kawan.


Hari Pertama


Penerbangan kami ke Bangkok ialah pada pukul 8.15 malam dan ianya berlepas seperti yang dijadualkan. Di dalam penerbangan saya telah makan nasi lemak Pak Nasser sementara kawan saya pula makan roasted chicken. Menu ini telah dibeli secara atas talian kerana harganya sedikit murah jika dibandingkan jika dibeli di dalam penerbangan. Waktu dijadualkan tiba ialah pada pukul 9.35 malam waktu Bangkok tetapi penerbangan tiba awal selama 26 minit.


Semasa di lapangan terbang kami telah membeli kad sim untuk data selama 8 hari dan harganya ialah THB299. Selepas membeli kad sim saya menempah grab dan untuk ke hotel bayaran yang dikenakan ialah THB295. Dari Don Mueang Airport ianya mengambil masa kira-kira 40 minit. Untuk 2 malam yang pertama, saya telah memilih satu hotel yang terletak di kawasan Pratunam, iaitu Hotel Amari.


Kami tiba di hotel kira-kira pukul 10.30 malam dan terus sahaja membuat pendaftaran masuk. Saya menempah hotel ini menggunakan aplikasi Trip.com. Untuk 2 malam, ianya berharga RM1,085.65 (tanpa sarapan pagi). Hotel Amari ini cantik dan terletak di kawasan yang berhampiran dengan pusat membeli-belah Pratunam. Kami mendapat bilik di Tingkat 10. Bilik hotel ini sebenarnya baru sahaja diubahsuai (renovate). Biliknya besar dan agak cantik. Oleh kerana sudah agak lewat, kami hanya membeli makanan di 7 Eleven sahaja yang terdapat berhampiran dengan hotel.



Hari Kedua


Di pagi hari kedua, kami berjalan-jalan di sekitar Pratunam sahaja iaitu di Pratuman Market dan selepas itu kami ke Platinum Mall yang terletak di seberang jalan sahaja. Kami makan tengahari di street food yang terletak di luar Platinum Mall. Makanannya agak mahal di mana nasi goreng berharga THB200 dan air kelapa pula berharga THB100. Selepas makan kami pulang ke hotel dan hanya berehat di hotel sahaja.


Pada sebelah malam, kami makan malam di sebuah restoran makanan halal yang terletak berhampiran dengan Pratunam Night Market. Restoran ini sebenarnya berasaskan makanan india tetapi ada juga menyediakan menu makanan berasaskan makanan Thailand. Kami memesan tomyam seafood dan juga somtam dan keduanya sedap. Selepas makan malam kami bersiar-siar di Pratuman Night Market dan selepas itu pulang ke hotel untuk berehat.



Hari Ketiga


Di pagi hari ketiga kami di Bangkok, sekali lagi kami ke Pratunam Market untuk melihat barang-barang yang dijual di situ. Selepas itu kami berjalan kaki ke Central World dan juga Siam Paragon. Dari Siam Paragon kami berjalan kaki ke Hard Rock Hotel. Dalam perjalanan pulang ke hotel dari Hard Rock Café, kami singgah minum di gerai-gerai di hadapan Central World dan selepas itu kami pulang ke hotel tetapi singgah dahulu di Pratunam Market.


Sampai di hotel kami mengemas barang-barang untuk daftar keluar (check-out). Semasa daftar masuk tempohari saya meminta untuk daftar keluar pada pukul 2 petang. Selepas daftar keluar kami mengambil grab untuk ke satu lagi hotel yang terletak di tepi Sungai Chao Phraya. Dari Hotel Amari ke Hotel Royal Orchid Sheraton, ianya mengambil masa kira-kira setengah jam dan tambang yang dikenakan ialah THB139.


Kami tiba di hotel Royal Orchid Sheraton pada pukul 2.40 petang dan terus sahaja membuat pendaftaran masuk. Kali ini saya menggunakan aplikasi Marriott Bonvoy dan untuk satu malam harga hotel ini ialah THB5255.31. Hotel ini merupakan hotel yang lama, begitu juga dengan biliknya tetapi mempunyai pemandangan dari bilik yang sangat cantik. Kami mendapat bilik di Tingkat 24 dan pemandangan dari bilik betul-betul mengadap ke Sungai Chao Phraya dan juga Iconsiam Mall. Selepas daftar masuk kami pun keluar untuk makan tengahari di satu restoran yang terletak agak dekat dengan hotel. Selepas itu kami pulang semula ke hotel.


Kami hanya berehat di hotel sambil bersantai di kolam renangnya. Hotel ini mempunyai dua kolam renang. Pada pukul 7.30 malam kami menaiki bot yang disediakan oleh hotel untuk ke Iconsiam Mall. Kami bersiar-siar di Iconsiam Mall dan sebelum pulang kami makan malam di food court di mall tersebut. Kami pulang ke hotel kira-kira pukul 10 malam dan hanya berehat sahaja di bilik.



Hari Keempat


Di pagi hari keempat, kami bersarapan di kedai yang sama kami makan tengahari semalamnya. Selepas sarapan kami pun menaiki grab untuk ke MBK Mall dan bersiar-siar di mall tersebut. Setelah itu kami pulang semula ke hotel dan mengemas barang-barang kami untuk daftar keluar pada pukul 2 petang. Selepas daftar keluar, kami menaiki grab untuk ke satu restoran halal yang terletak di Sukhumvit. Restoran ini bernama Usman Thai Muslim Food. Selesai makan tengahari kami pun bersiar-siar di satu mall baru yang terletak berdekatan dengan restoran tersebut. Selepas itu kami menaiki grab untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang.


Kami sampai awal dan hanya berehat di lapangan terbang kerana penerbangan kami ialah pada pukul 10.15 malam. Pada 10.45 malam, kami terbang ke KLIA dan tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kira-kira pukul 2 pagi.



68 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page