Banda Aceh ni terletak di Aceh, Sumatera Utara Indonesia. Mula terkenal selepas kejadian tsunami pada 26 December 2004 yang mengorbankan beratus ribu nyawa rakyatnya. Selepas mendengar kisah2 yang dipaparkan terasa ingin melihat sendiri kesan2 kejadian tersebut. Maka aku pun carilah tiket2 yang murah untuk ke sana, akhirnya pada 19 Febuari 2019 aku pun belilah tiket ke sana. Pada masa tu harga tiket hanya RM145.40 (return). Trip ke Banda Aceh ini disertai oleh 7 orang termasuk aku.
Hari pertama
Kami bertolak ke KLIA2 lebih kurang pukul 6.30 pagi. Lebih kurang pukul 8.00 pagi kami pun sampai ke KLIA2. Seperti biasa kami bersarapan dahulu di food court di situ. Lebih kurang pukul 9.00 pagi kami pun masuk ke balai berlepas. Pada pukul 10.15 kami pun terbang ke Banda Aceh dengan pesawat Airasia.
Lebih kurang pukul 10.40 pagi kami selamat mendarat di Banda Aceh. Penerbangan ke sana mengambil masa lebih kurang 1 jam 25 minit. Masa di Banda Aceh adalah lewat sejam dari waktu di Malaysia. Sampai di airport supir telah pun menunggu kami. Kami terus di bawa ke hotel. Dalam perjalanan ke hotel kami singgah dahulu di Kuburan Massal, tempat di mana mangsa2 tsunami dikebumikan beramai2, yang tidak berapa jauh dari airport. Selepas itu kami singgah di sebuah restoran untuk makan tengahari.
Selepas makan tengahari kami pun menuju ke hotel Mekkah yang terletak di Kawasan masjid Oman Al-Makmur. Hotel tersebut baru siap dibina dan biliknya memang besar dan selesa. Oleh kerana kami semua 7 orang, kami mengambil 3 bilik (3 + 2 + 2).
Selepas berehat dan mandi2 (sebab belum mandi dari pagi tadikan), kami pun memulakan aktiviti pertama kami di Banda Aceh dengan melawat Muzium Tsunami. Muzium ini menempatkan replika kesan2 tsunami pada tahun 2004 seperti model2 kapal, masjid dan peta Banda Aceh sebelum dan selepas berlakunya tsunami di mana lanskap Bandar Aceh berubah dengan ketara. Di samping itu juga ada disediakan mini pawagam yang menayangkan video2 semasa berlakunya tsunami pada tahun tersebut.
Selepas melawat Muzium Tsunami kami pergi ke satu lagi kesan tsunami iaitu sebuah kapal yang dihanyutkan oleh arus tsunami ke tengah bandar iaitu kapal PLTD Apung. Kapal seberat 2,600 tan ini merupakan pusat janakuasa letrik yang menjana letrik untuk Banda Aceh. Kapal ini dihanyutkan sejauh 2.4 km ke daratan akibat arus tsunami. Sehingg kini kapal ini dibiarkan sahaja di tempatnya yang asal selepas kejadian tsunami dan dijadikan salah satu tarikan pelancung ke Bandar Aceh sehinggalah ke hari ni.
Selesai kami melawat kapal PLTD Apung, kami pun bergerak ke satu lagi tempat yang mempunyai kesan tsunami. Kali ini kami ke Desa Gurah untuk melihat sebuah kubah masjid yang dihanyutkan oleh arus tsunami sejauh 2.5 km dari tempat asalnya. Kubah ini bukan sahaja dihanyutkan arus tsunami tetapi menjadi tempat beberapa orang untuk berpaut dan menyelamatkan diri dari menjadi korban tsunami. Sehingga sekarang kubah itu dibiarkan ditempat asal di mana ianya tersadai selepas banjir tsunami itu surut.
Kemudian kami pun pulang semula ke Banda Aceh tetapi dalam perjalanan pulang kami singgah di gerai di tepi pantai untuk minum air kelapa dan makan jagung bakar. Selepas itu kami shopping di butik Eiger, butik favorite kami jika berkunjung ke Indonesia. Dah puas shopping kami pun singgah untuk makan malam di gerai Wong Solo.
Selepas itu kami pun pulang ke hotel untuk mandi2 dan berehat. Dalam pukul 10 malam kami keluar untuk minum kopi di gerai berdekatan hotel. Habislah aktiviti kami untuk hari yang pertama di Banda Aceh.
Hari kedua
Di hari kedua kami bertolak ke Pulau Sabang atau dikenali juga dengan nama Weh Island. Pulau Sabang ini terletak di utara Banda Aceh. Untuk ke sana kami menaiki feri yang mengambil masa lebih kurang 45 minit. Pulau ini terkenal dengan pantainya yang cantik, untuk aktiviti scuba dan juga snorkeling. Kami bertolak ke jeti pada pukul 7.15 pagi. Pada pukul 8.00 pagi kami pun menaiki feri ke pulau tersebut dan tiba di Pulau Sabang 45 minit kemudian.
Dari jeti kami pun bertolak ke pekan Sabang yang terletak di utara dengan menaiki van. Pulau Sabang ni agak besar juga dan penduduknya agak ramai. Dalam perjalanan ke pekan Sabang itu kami singgah di beberapa tempat antaranya Benteng Jepang yang merupakan kubu peninggalan tentera jepun pada Perang Dunia Kedua. Ianya terletak di atas bukit dan mengadap laut. Masih terdapat meriam di atas bukit tersebut.
Selepas bergambar sakan di atas bukit tu kami pun meneruskan perjalanan kami ke pekan Sabang. Dalam perjalanan tu kami singgah sebentar di satu gerai yang terletak betul2 di atas bukit dan mengadap laut untuk minum kopi sambil menikmati pemandangannya yang cantik.
Setelah itu kami meneruskan perjalanan dan singgah di satu tempat yang mempunyai menara tinjau yang terletak di tepi jeti. Tinggi gakla menara tu. Kemudian kami singgah untuk makan tengahari di satu restoran yang terletak di tepi sebuah empangan. Sedap juga makanan dia kat situ.
Dah kenyang kami pun meneruskan perjalanan kami. Kali ini kami ke Kilometer Zero atau Kilometer Null yang merupakan bahagian Indonesia yang paling utara sekali. Di situ kami singgah di surau untuk mengerjakan solat Jamak.
Setelah Kilometer Zero kami pun pergi ke jeti untuk ke Pulau Rubiah. Pulau ini memang terkenal dengan pantainya yang cantik dan airnya yang jernih. Kami menyewa sebuah bot (430K rupiah) untuk pusing satu pulau dan singgah untuk mandi di satu kawasan yang cantik. Lama jugala kami di Pulau Rubiah tu, mandi manda dan lepas tu minum kopi di gerai yang terdapat di situ.
Lebih kurang jam 5 petang kami pun berlepas pulang ke Pulau Sabang semula. Kami tiba di hotel di pekan Sabang dalam pukul 6.50 petang. Hotel Nagoya Inn ni agak cantik dan selesa. Menurut supir kami, ianya merupakan hotel yang paling mahal yang terdapat di Pulau Sabang tu. Kami mengambil 3 bilik (3 + 2 + 2). Pada malamnya kami makan di salah sebuah restoran yang terdapat di pekan Sabang tu. Malam ni kami makan nasi padang.
Selepas makan malam kami pun bersiar2 sebentar di pekan Sabang untuk membeli souvenir dan pulang ke hotel untuk berehat dan tidur.
Hari ketiga
Di hari ketiga kami bangun awal pagi disebabkan perlu kembali semula ke Banda Aceh. Kami bersarapan dahulu di hotel dan bertolak ke jeti dalam pukul 6.30 pagi. Kami sampai di jeti lebih kurang pukul 7.00 pagi dan menunggu feri untuk ke Banda Aceh. Kami menaiki feri pada pukul 7.30 pagi dan sampai di Banda Aceh sejam kemudiannya.
Selepas itu kami terus melawat satu lagi tapak kesan tsunami iaitu sebuah kapal nelayan yang tersangkut di atas sebuah rumah. Ia dinamakan Kapal Lampulo. Kapal itu kekal ditempat asalnya sehingga kini. Diceritakan terdapat 59 orang yang terselamat di atas kapal ini. Kami sempat mendengar penerangan dari salah seorang mangsa yang terselamat di atas kapal itu. Dia juga menulis sebuah buku menceritakan kisah yang berlaku pada hari kejadian. Selepas membeli beberapa buah buku kami pun meneruskan lawatan kami di Banda Aceh.
Kali ini kami singgah di Museum Aceh. Ianya terletak bersebelahan Rumah Aceh yang sangat tradisional. Kami meninjau Rumah Aceh tersebut sebelum ke museum yang terletak bersebelahan. Banyak juga sejarah2 Aceh yang dipamerkan di museum ini. Antara yang menarik perhatian saya ialah bagaimana akrabnya hubungan Aceh dengan Kerajaan Turki. Museum tersebut juga menempatkan Sultan2 yang pernah mentadbir Aceh sebelum ianya diambil alih oleh Kerajaan Indonesia.
Setelah puas melawat museum kami pun makan tengahari di salah satu restoran yang terdapat di Banda Aceh. Makanan Aceh ni sebenarnya memang sedap2.
Kemudiannya kami meneruskan lawatan kami ke salah satu masjid yang terkenal selepas kejadian tsunami 2004, iaitu Masjid Rahmatullah tetapi sebelum itu kami singgah dahulu di Pantai Lhoknga yang mengadap ke Lautan Hindi. Di sini dahulunya adalah bekas kampung nelayan, tetapi sekarang ianya telah lenyap ditelan arus tsunami pada tahun 2004. Sampai di Masjid Rahmatullah, kami melihat sekitar masjid. Masih terdapat kesan2 tsunami pada masjid tersebut, di mana kiblatnya telah beralih sedikit. Terdapat juga bahagian2 yang telah hancur yang sengaja dibiarkan untuk para pelawat melihatnya.
Selepas itu kami singgah lagi di satu pantai yang dinamakan Pantai Lampuuk untuk bergambar dan minum air kelapa. Kemudiannya lawatan kami diteruskan ke Masjid Raya Baiturrahman yang terletak di tengah2 Banda Aceh. Masjid ini sememangnya cantik. Kami menunaikan solat Jamak Zohor dan Asar di masjid tersebut. Kemudian kami pun bertolak ke hotel.
Hotel yang kami diami pada malam ini ialah Hotel Al-Hanifi. Hotelnya agak cantik dan selesa. Interiornya juga agak cantik dan bersih, tetapi biliknya agak kecil. Kami pun check-in dan berehat. Pada sebelah malamnya kami keluar untuk makan malam di restoran yang terdapat di tepi pantai.
Selepas itu kami pulang ke hotel untuk mengemas barang2 dan berehat sebelum tidur.
Hari keempat
Kami bangun awal pagi untuk bersarapan di hotel. Dalam pukul 8.00 pagi kami bertolak ke airport dan sampai di airport pada pukul 8.45 pagi. Pukul 9.15 pagi kami masuk ke balai berlepas. Kami terbang ke KLIA2 lebih kurang pukul 11.10 pagi waktu Indonesia dan tiba di KLIA2 lebih kurang pukul 1.45 petang waktu Malaysia.
Nota:
Begitulah kisah kami ke Banda Aceh untuk melihat sendiri kesan2 tsunami yang berlaku pada 26 December 2004. Disamping kesan2 tsunami, ianya juga mempunyai pantai yang cantik terutamanya di Pulau Sabang, juga makanannya yang sedap serta murah.
Terima kasih kepada supir kami semasa kami di sana, En Alaudin yang melayan kami bertujuh dengan cukup baik dan mesra. Untuk pakej di Banda Aceh, bayaran yang dikenakan ialah RM600 (termasuk hotel, makan dan pengangkutan).
Comments