Untuk staycation saya pada minggu ini, saya masih lagi memilih satu hotel yang baru sahaja beroperasi iaitu pada 8 September yang lepas. Hotel yang terletak di Jalan Yap Ah Shak Kuala Lumpur ini mempunyai nama yang agak unik. Bukan itu sahaja, hotel ini juga mempunyai interior berbeza di setiap tingkat walaupun harga bilik atau suitenya adalah sama. Saya telah membuat tempahan secara terus dari website hotel kerana hotel ini mengadakan promosi 50% diskaun sempena dengan pembukaannya. Saya memilih bilik standard yang berharga RM324.80 dan setelah ditolak 50% diskaun, saya hanya perlu membayar RM162.40.
Saya tiba di hotel agak awal iaitu pada pukul 12.45 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di tingkat bawah. Lobinya kecil sahaja, hanya terdapat kaunter dan juga sebuah sofa untuk pengunjung duduk sementara menunggu proses daftar masuk. Saya disambut dengan penuh ramah oleh kakitangan yang bertugas. Oleh kerana bilik standard saya belum lagi sedia, saya diminta untuk duduk terlebih dahulu sementara menunggu bilik saya siap. Pada pukul 1.10 petang kakitangan tadi menawarkan saya bilik suite tanpa sebarang bayaran tambahan. Harga bilik suite ini adalah sekitar RM600. Semasa proses pendaftaran masuk (check-in), hotel ini mengenakan bayaran deposit sebanyak RM200.
Bilik suite yang diberi kepada saya terletak di tingkat 2 dan hotel ini hanya mempunyai sebuah lif. Selepas mendapat kad akses, saya terus sahaja ke bilik saya. Bilik suite ini besar mempunyai ruang tamu dan juga bilik tidur. Memasuki bilik ialah ruang tamu yang agak besar menempatkan meja makan dan juga satu sofa yang besar. Di tepi meja makan ini terdapat satu kabinet menempatkan peti sejuk mini dan juga peralatan untuk membancuh kopi dan teh. Di hadapan sofa pula terdapat satu meja yang sederhana besar. Hotel ini menyediakan TV yang besar, mungkin berukuran 65 inci yang digantung di dinding berhadapan dengan sofa. Di tepi meja makan iaitu berhampiran tingkap pula terdapat satu kerusi unik berbentuk sarang, tetapi bagi saya kerusi ini tidak sesuai diletakan di dalam bilik (saya lebih suka jika kerusi ini tidak ada kerana ruang tamu akan lebih luas). Di bahagian tepi sofa pula terdapat bilik air yang kecil menempatkan sinki dan juga tandas di mana terdapat gelung paip di sebelahnya.
Kemudian terdapat lorong untuk ke bilik tidur di mana ianya mempunyai pintu. Di tepi sebelah kanan lorong ini terdapat satu ruang yang menempatkan rak untuk menyimpan barang-barang dan juga tempat untuk menyangkut baju. Selain itu di rak ini juga terdapat peti simpanan keselamatan. Di ruang ini terdapat satu meja solek yang mempunyai rekaan yang klasik. Kemudian di sebelah kiri Lorong ini terletaknya bilik air. Bilik airnya agak luas menempatkan sinki, tandas, ruang pancuran (shower) dan juga tub mandi (bathtub). Tandas di dalam bilik mandi ini dikawal sepenuhnya dengan menggunakan suis tetapi masih menyediakan gelung paip. Ruang untuk pancuran adalah separa tertutup dan agak luas menempatkan pancuran jenis siling dan pegang. Saiz bathtub pula besar dan terletak di tepi ruang pancuran. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi dan juga tuala muka. Terdapat juga 2 pasang jubah mandi (bathrobe) dan jubah mandinya sangat lembut dan selesa.
Bilik tidur suite ini agak besar menempatkan satu katil queen. Katilnya cantik di mana di setiap penjurunya mempunyai tiang kayu (ianya mengingatkan saya dengan Hotel The Majestic). Tilam dan bantal hotel ini sangat empuk dan selesa. Di kaki katil pula terdapat satu sofa yang mempunyai saiz yang agak besar. Di ruang bilik tidur ini juga terdapat satu meja kerja dan satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat. Di sebelah meja kerja ini pula terdapat satu kerusi bujang dan satu meja bulat yang kecil. Di penjuru bilik di sebelah meja kerja terdapat satu lampu tidur yang besar dan cantik (tetapi masih tidak mempunyai mentol).
Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan agak laju tetapi tidak begitu stabil. Kelajuannya mencecah 73mbps tetapi kadang-kadang terputus bila saya menonton Youtube. Telco mempunyai kelajuan yang sangat tinggi di mana Tune Talk mencapai kelajuan 277mbps sementara Celcom pula 244mbps. Hotel ini menyediakan Smart TV bersaiz besar tetapi tanpa sebarang siaran TV percuma. Pengunjung boleh menonton Netflix ataupun Youtube cuma menghadapi sedikit masalah kerana wifinya yang tidak begitu stabil. Untuk tekanan air di bilik mandi pula, ianya kuat cuma saya tidak begitu suka dengan jenis pancuran yang digunakan. Untuk proses check-out, pengunjung hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter dan mengambil semula wang deposit RM200.
Secara peribadi saya suka dengan hotel ini kerana interior biliknya yang cantik serta berbeza dengan kebanyakan hotel yang lain. Hotel ini agak unik kerana interior biliknya yang berlainan di setiap tingkat walaupun harganya sama. Selain suite dan bilik standard, hotel ini juga mempunyai bilik mini yang bersaiz kecil. Hotel ini terletak agak strategik di mana ianya berhampiran dengan Quill City Mall iaitu kira-kira 700 meter. SOGO dan Jalan Tuanku Abdul Rahman pula hanya terletak 900 meter dari hotel ini. Hotel ini juga berdekatan dengan Jalan Doraisamy yang terkenal dengan nasi lemak dan sup kambingnya. Di sekeliling hotel ini terdapat banyak restoran, kafe serta kedai makan. Untuk yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini terletak 450 meter ke Stesen LRT Dang Wangi. Hotel ini tidak mempunyai parkir tetapi terdapat banyak parkir awam yang berdekatan dengan hotel ini jika pengunjung datang membawa kenderaan sendiri. Saya bercadang untuk kembali semula ke hotel ini dan menginap di bilik di tingkat yang lain pula.
Ruang Tamu
Bilik Tidur
Bilik Mandi
Hotel
Comments