top of page
Search
hanuds

B-Inspired Abode, Kundasang (21-23/7/22)

Oleh kerana minggu lepas saya telah bercuti di Kundasang Sabah, untuk kali ini saya akan review satu resort yang saya inap semasa berada di sana. Resort ini sebenarnya telah disyorkan oleh seorang rakan. Resort ini terletak di Pekan Kundasang dan keistimewaannya ialah ianya betul2 mengadap ke Gunung Kinabalu (dan ini adalah sebab utama mengapa saya memilih resort ini).


Saya menempah resort ini secara terus melalui whatsapp (resort ini juga mempunyai akaun Facebook). Sepanjang saya berurusan dengan pihak resort, ianya sangat mudah dan segala pertanyaan saya dijawap dengan cepat. Resort ini mempunyai banyak jenis bilik hinggalah rumah. Oleh kerana saya pergi ke Kundasang seramai 9 orang, saya telah memilih satu unit rumah yang mempunyai 3 bilik dan 2 bilik air. Untuk 1 malam, unit yang saya diami ini berharga RM400 tetapi saya telah diberi diskaun RM50. Jadi saya hanyalah membayar RM750 untuk 2 malam.


Resort ini memang terletak betul2 di Pekan Kundasang (hanya lebih kurang 1.4 km sahaja dari bulatan Pekan Kundasang). Kami tiba di resort lebih kurang pukul 4.00 petang dan saya terus sahaja ke pejabat resort yang terletak di atas bukit. Resort ini mengambil deposit sebanyak RM50 bagi bilik dan RM100 bagi rumah. Setelah membayar RM100, saya diberi kunci rumah yang terletak di atas dari pejabat resort. Resort ini terletak di lereng bukit yang agak tinggi tetapi mujurlah rumah yang kami inap itu bukanlah terletak di puncak bukit, hanya di tengah2 sahaja.


Rumah yang kami inap ini berwarna biru dan mempunyai rekabentuk yang sangat cantik. Dari jalan raya, pengunjung perlu menaiki tangga untuk ke kawasan rumah dan juga ke balkoni rumah. Pintu masuk terletak di balkoni dan apabila pintu dibuka, ianya akan ke ruang tamu. Ruang tamunya agak besar menempatkan satu sofa dan juga beberapa kerusi rotan untuk pengujung berehat. Kemudian ke kiri lagi terdapat satu ruang menempatkan meja makan dan kerusi plastik. Terdapat juga satu sofa panjang di tepi dinding.


Ruang dapurnya pula terdapat di bahagian bawah di bahagian belakang ruang tamu dan pengunjung perlu menuruni tangga untuk ke bahagian dapur. Terdapat kabinet di ruang dapurnya dan ianya lengkap dengan segala peralatan untuk memasak termasuklah dapur gas dan perkakas2 yang lain. Juga terdapat sinki di ruang dapur ini. Pintu di bahagian dapur ini akan keluar ke bahagian tangga untuk naik ke balkoni.


Bilik pula terdapat di bahagian atas di mana pengunjung perlu menaiki tangga untuk ke bilik. Menaiki tangga akan terdapat lorong ke bilik di mana bilik utama terletak di sebelah kiri. Bilik ini luas menempatkan 1 katil queen serta 2 katil single. Salah satu katil singlenya boleh ditarik di bahagian bawahnya bagi membolehkan seorang lagi tidur di bilik ini. Bilik airnya pula terdapat di sebelah kanan dan saiznya kecil sahaja menempatkan sinki, tandas serta shower. Pemanas ada disediakan di bilik airnya. Bilik kedua pula terletak di sebelah kanan lorong dan saiznya lebih kecil, menempatkan satu katil queen dan satu katil single. Kemudian di sebelahnya terdapat bilik ketiga yang paling kecil menempatkan dua katil single. Bilik air kedua terletak di hadapan bilik ketiga dan saiznya kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga shower. Pemanas juga ada disediakan di bilik air ini. Stor pula terdapat di antara bilik air ini dan bilik tidur utama. Resort ini ada menyediakan tuala dan juga selimut.


Resort ini ada menyediakan TV tetapi saiznya tidaklah besar, hanya 32 inci sahaja. Tiada siaran yang disediakan tetapi terdapat beberapa movie di dalamnya. Jika pembaca ingin menonton movie, lebih baik dibawa thumbdrive atau kabel untuk disambung ke talipon bimbit bagi menonton Netflix ataupun YouTube. Resort ini tidak menyediakan wifi tetapi telco yang saya guna mempunyai kelajuan yang sangat laju. Celcom mempunyai kelajuan 186mbps dan Tune Talk pula 155mbps.

Salah satu keistimewaan resort ini ialah ianya mempunyai balkoni yang agak besar dan ianya betul2 mengadap ke Gunung Kinabalu. Terdapat satu kerusi kayu panjang diletakkan di balkoni. Di pagi hari pemandangannya sangat cantik. Selain Gunung Kinabalu, terdapat juga rumah2 di lereng bukit serta kebun2 sayur menjadikan pemandangannya sangat mempersona. Untuk proses check-out pula, saya hanya perlu memulangkan semula kunci rumah dan mengambil kembali deposit RM100 dari pejabat resort.


Saya sebenarnya sangat berpuashati dengan rumah yang saya inap di resort ini. Dari mula berurusan lagi, pihak resort sangat cepat menjawap setiap pertanyaan yang diajukan. Saya sangat suka dengan rekabentuk rumahnya yang sangat cantik. Resort ini menyediakan segala kelengkapan di dapur bagi memudahkan pengunjung untuk memasak serta makan dan juga minum di sini. Selain itu rumah yang saya inap ini sangat bersih. Pemandangan dari balkoni menjadikan resort ini sangat istimewa. Jika pembaca melihat gambar view dari balkoni yang saya ambil, saya percaya pembaca juga akan bersetuju dengan saya. Resort ini juga sebenarnya mempunyai pelantar di puncak bukitnya untuk pengunjung melihat pemandangan Gunung Kinabalu, tetapi saya tidak ke situ kerana view dari balkoni rumah yang saya inap ini sudah pun cantik bagi saya. Jika saya kembali lagi ke Kundasang, saya pasti akan menginap lagi di resort ini.


Nota: Resort ini mempunyai banyak jenis bilik dan juga rumah. Penulisan saya hanyalah menyentuh rumah yang saya inap saha.


Resort



Ruang Tamu



Dapur



Bilik



Bilik Air



Balkoni



View dari Balkoni



181 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page