Untuk penutup tahun 2024 saya memilih satu hotel yang terletak di Jalan Petaling (Petaling Street) Kuala Lumpur. Ini merupakan kali kedua saya ke hotel ini, kali pertama ialah pada pada malam Merdeka tahun lepas. Hotel ini baru sahaja beroperasi iaitu pada awal tahun lepas. Sekali lagi saya menggunakan aplikasi Booking.com dan menempah bilik Standard di mana harganya lebih murah jika dibandingkan dengan Ogos yang lepas. Harga berserta cukai dan tanpa sarapan pagi ialah RM148.26.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 6 petang dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di Tingkat 2. Lobinya kecil sahaja dan hanya menempatkan satu kaunter. Selain kaunter terdapat sebuah kafe di aras yang sama. Proses daftar masuk sangat cepat dan hotel ini tidak mengenakan sebarang deposit.
Pada kali ini bilik saya terletak di Tingkat 5 dan terdapat 2 buah lif di hotel ini. Lifnya cepat kerana hotel ini hanya mempunyai 6 tingkat sahaja. Bilik standard hotel ini hanya berkeluasan 199 kaki persegi dan ianya kecil sahaja. Walaupun kecil biliknya cantik dan selesa. Di sebelah kiri katil terdapat para untuk pengunjung meletakkan beg dan barang-barang dan di bahagian atasnya pula terdapat besi untuk menyangkut baju. Di tepi pintu pula terdapat satu kabinet menempatkan peti sejuk mini dan juga peti simpanan keselamatan. Di atasnya diletakkan cerek letrik serta cawan tetapi hotel ini tidak menyediakan minuman percuma, hanya 2 botol air mineral sahaja disediakan. Hotel ini agak unik kerana tidak menyediakan TV sebaliknya menyediakan projektor yang dipancarkan ke dinding bilik.
Di sebelah kanan kaki katil pula adalah ruang singki dan hotel ini menyediakan ruang pancuran (shower) dan tandas yang berasingan. Ruang pancuran dan tandas berkongsi pintu gelongsor dan hanya boleh menutupi satu ruang sahaja dalam satu-satu masa. Terdapat langsir antara katil dan ruang pancuran dan juga tandas. Ruang pancurannya agak besar dengan pancuran jenis siling dan juga pegang manakala ruang tandas pula ada menyediakan gelung paip. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap.
Hotel ini adalah antara hotel yang menyediakan wifi yang sangat laju di mana kelajuannya mencecah 261mbps (muat turun) dan 221mbps (muat naik). Untuk telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 559mbps sementara Tune Talk pula 93mbps. Tekanan air di pancurannya juga kuat dan hotel ini menyediakan projektor yang mempunyai aplikasi seperti Smart TV tanpa siaran TV percuma.
Hotel ini sememangnya menjadi antara hotel kegemaran saya. Lokasinya betul-betul terletak di Jalan Petaling dan hotel ini berhampiran pula dengan Bangunan Merdeka 118. Hotel ini mempunyai restoran yang terletak di atas bangunan (rooftop). Dari sini pengunjung dapat menikmati pemandangan Bandaraya Kuala Lumpur dengan cantik. Kepada yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini terletak hanyalah 230 meter dari Stesen MRT Pasar Seni (Pintu A).
Bilik
Bilik Air
Hotel
Comments