top of page
Search
hanuds

B Hotel Kuala Lumpur (30-31/8/24)

Pada minggu ini saya memilih dua hotel yang terletak di sekitar Jalan Petaling (Petaling Street) Kuala Lumpur. Hotel pertama ini betul-betul terletak di Jalan Petaling dan ianya baru saja beroperasi beberapa bulan yang lalu. Hotel ini mempunyai 60 buah bilik dan ianya agak terlindung dengan gerai-gerai sekitar Jalan Petaling. Saya menempah bilik jenis standard yang mempunyai keluasan 199 kaki persegi melalui aplikasi Booking.com. Harga bilik jenis ini ialah RM163.53 dan ianya tanpa sarapan pagi.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 5.15 petang dan terus sahaja membuat pendaftaran masuk (check-in). Hotel ini hanya mempunyai satu kaunter yang terletak di Tingkat 1. Selain kaunter terdapat juga sebuah kafe dan juga spa di aras yang sama. Proses pendaftaran sangat cepat dan saya terus sahaja menerima kad akses bilik. Bilik yang saya inap ini letaknya di Tingkat 3 dan hotel ini mempunyai 2 buah lif.


Dengan keluasan hanyalah 199 kaki persegi, bilik jenis standard ini kecil sahaja. Selain satu katil king, hanya terdapat rak untuk meletakkan barang-barang di sebelah kiri katil serta satu kabinet yang menempatkan peti simpanan keselamatan. Di bahagian atas kabinet ini diletakkan perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh. Di sebelah atas rak terdapat tempat untuk menyangkut baju yang terbuka. Hotel ini tdak menyediakan peti sejuk.


Singki pula terletak di penjuru kanan kaki katil bersebelahan dengan ruang pancuran (shower). Di sebelah ruang pancuran pula letaknya tandas. Ruang pancuran dan tandas berkongsi pintu gelongsor yang tidak boleh dikunci. Walau bagaimanapun hotel ini menyediakan langsir di antara ruang katil dan juga ruang pancuran/tandas. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran pula hanya menyediakan pancuran jenis pegang. Bilik jenis ini hanya mempunyai tingkap kecil di bahagian singki tetapi ditutupi oleh cermin. Di ruang pancurannya juga mempunyai tingkap kecil yang apabila dibuka akan menampakkan bangunan Merdeka 118. Hotel ini agak unik kerana tidak menyediakan TV, hanya terdapat projector yang dipancarkan ke dinding bertentangan dengan kaki katil.


Di dalam bilik wifi yang disediakan sangat laju di mana kelajuannya mencecah 228mbps (muat turun) dan 185mbps (muat naik). Telco pula mempunyai kelajuan 598mbps (CelcomDigi) dan 106mbps (Tune Talk). Projektor pula menyediakan aplikasi seperti Smart TV dan tiada siaran TV percuma yang disediakan. Tekanan air di bilik mandi juga kuat dan hotel ini menggunakan pancuran yang agak unik. Hotel ini ada menyediakan sarapan dan harganya sekitar RM30.


Walaupun hotel ini kecil sahaja tetapi ianya mempunyai restoran yang terletak di atas bangunan (rooftop). Rekabentuk restoran ini sangat cantik dan ianya mempunyai dua bahagian di mana bahagian yang terbuka betul-betul mengadap ke bangunan Merdeka 118. Pemandangan dari restoran ini sangat cantik terutamanya di waktu malam. Spa di Tingkat 1 beroperasi pada pukul 11 pagi sehingga 10.30 malam. Pengunjung boleh memilih samada inginkan tukang urut perempuan ataupun lelaki. Hotel ini tidak mempunyai kolam renang.


Pada awalnya saya tidak menyangka yang hotel ini sangat cantik kerana dari luar ianya nampak seperti hotel-hotel lain di sekitarnya. Walaupun saiz biliknya kecil tetapi ianya cantik, begitu juga dengan bahagian hotel yang lain. Satu keistimewaan hotel ini ialah restorannya yang terletak di rooftop. Bukan sahaja interiornya cantik, pemandangan dari restoran ini juga sangat cantik terutama di waktu malam. Dari segi lokasi pula, hotel ini sangat strategik kerana terletak di Jalan Petaling dan hanya 400 meter untuk ke Pasar Seni. Hotel ini tidak menyediakan parkir dan jika pengunjung menggunakan pengangkutan awam, hotel ini letaknya 350 meter ke Stesen MRT pasar Seni dan 400 meter untuk ke LRT Pasar Seni. Saya beradang untuk kembali lagi ke hotel ini dan menginap di suitenya pula.


Bilik



Rooftop



Hotel



57 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page