top of page
Search
hanuds

Avante Hotel Petaling Jaya (7-8/10/23)

Minggu ini saya ke satu hotel yang terletak di Petaling Jaya, Selangor. Mengikut carian di internet, hotel ini agak baru, telah memulakan operasinya pada tahun 2021. Lokasi hotel ini terletak berhampiran dengan Sri Pentas (TV3) dan juga pusat membeli-belah One Utama. Menggunakan aplikasi Booking.com saya telah memilih bilik deluxe yang berharga RM250.49 (tanpa sarapan). Bilik deluxe hotel ini agak besar, mempunyai keluasan 376 kaki persegi.


Saya tiba di hotel pada pukul 1.30 petang dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi iaitu di tingkat bawah hotel. Lobi hotel ini besar dan selain lobi terdapat juga sebuah restoran di aras yang sama. Saya terus sahaja membuat pendaftaran masuk (check-in) dan ketika itu pengunjung agak ramai. Proses check-in hanya mengambil masa yang singkat tetapi saya perlu menunggu kerana bilik saya belum lagi sedia. Saya diminta untuk duduk terlebih dahulu oleh kakitangan yang bertugas. Pada pukul 2.20 petang, saya menerima panggilan mengatakan bilik saya telahpun sedia.


Sebaik menerima kad akses saya terus sahaja menaiki lif untuk ke tingkat 19. Terdapat 6 buah lif di hotel ini, oleh itu masa untuk menunggu lif tidaklah menjadi masalah walaupun orang agak ramai. Bilik jenis deluxe hotel ini agak luas kerana bilik airnya yang kecil. Sebaik memasuki bilik, bilik air terletak di sebelah kanan pintu masuk. Selain satu katil king, terdapat sebuah almari kecil di sebelah kiri katil. Di dalam almari ini selain terdapat tempat untuk menyangkut baju, terdapat juga peti simpanan keselamatan, seterika dan juga papan seterika. Selain itu terdapat lampu suluh dan 2 pasang selipar di dalam almari ini. Bertentangan dengan kaki katil pula terdapat satu kabinet kecil yang menempatkan peti sejuk mini serta peralatan untuk membancuh kopi dan teh. Di sebelah kiri kabinet ini terdapat satu lagi rak kecil untuk pengunjung meletakan beg dan barang-barang. Di sebelah rak ini pula terdapat satu sofa kecil. TV seperti biasa digantung di dinding dan hotel ini menyediakan TV bersaiz 43 inci. Di sebelah kanan kabinet terdapat satu meja bulat sederhana besar serta satu kerusi. Meja ini boleh digunakan untuk makan ataupun melakukan kerja-kerja pejabat.


Bilik airnya kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan ruang untuk pancuran (shower). Bilik air ini mempunyai pintu gelongsor yang boleh dikunci. Tandas dan ruang pancuran ditutupi dengan cermin seratus peratus lutsinar di mana kedua-dua ruang ini berkongsi pintu gelongsor. Hotel ini tidak menyediakan gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran pula hanya terdapat pancuran jenis pegang sahaja. Peralatan mandian lengkap disediakan termasuklah berus gigi serta tuala muka.


Hotel ini mempunyai kolam renang infiniti tetapi bukanlah di atas bangunan (rooftop) tetapi terletak di tingkat 15 (hotel ini mempunyai 34 tingkat). Saiz kolam renangnya besar dan sebahagiannya adalah bertutup. Selain kolam renang untuk dewasa, terdapat 2 kolam renang untuk kanak-kanak dan saiznya agak besar. Waktu kolam renang ini beroperasi ialah pada pukul 7 pagi hingga 8 malam. Kolam renangnya bersih (sebelum ini ada yang mengatakan kolam renang hotel ini agak kotor). Selain kolam renang, di aras yang sama juga terdapat sebuah gimnasium, spa serta kelab kanak-kanak. Kelab kanak-kanak ini dibuka pada setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 7 petang tetapi saya tidak pasti samada ianya percuma ataupun berbayar.


Di dalam bilik, wifi yang disediakan perlahan sahaja iaitu hanya mencapai kelajuan sekitar 5mbps. Untuk telco pula Tune Talk mempunyai kelajuan 82mbps sementara Celcom pula 73mbps. Hotel ini menyediakan siaran TV di dalam bentuk HD dan siarannya banyak, termasuklah siaran Vision Four (8 siaran). Untuk tekanan air di bilik mandi pula, ianya kuat dan saya puas mandi di pancurannya (cuma tiada pancuran jenis siling). Hotel ini juga ada menyediakan servis in-room dining tetapi harga makanannya agak mahal. Sebagai perbandingan nasi goreng kampung berharga RM43, fish & chips RM41 dan jus buah-buahan pula RM19.


Secara peribadi saya merasakan harga RM250.49 yang saya bayar adalah berpatutan dengan apa yang disediakan oleh hotel ini. Biliknya agak besar dan bersih cuma ianya agak ringkas (simple). Hotel ini sesuai kepada yang ingin membawa keluarga berehat di hotel kerana hotel ini mempunyai 2 kolam renang untuk kanak-kanak bersaiz agak besar serta terdapat juga kelab kanak-kanak di sini. Hotel ini juga sesuai untuk yang ingin bersiar-siar di One Utama kerana terdapat jejantas berbumbung yang menghubungkan kedua-duanya. Selain itu hotel ini juga terletak bersebelahan dengan Stesen MRT Bandar Utama (MRT laluan Kajang) jika berkunjung ke sini dengan menggunakan pengangkutan awam. Untuk yang membawa pengangkutan sendiri, hotel ini ada menyediakan parkir dan ianya adalah percuma.


Bilik


Bilik Air


Kolam Renang


Hotel


89 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page