Dari Kuala Lumpur saya ke Sepang Selangor untuk menginap di satu resort yang telah lama beroperasi. Resort ini dibuka pada tahun 2010 dan ketika itu dikenali sebagai Golden Palm Tree Resort & Spa sebelum ditukar kepada Avani Sepang Goldcoast pada tahun 2014. Resort yang mempunyai 315 bilik ini adalah antara resort ataupun hotel yang terletak di atas air. Saya sebenarnya pernah ke sini tetapi sudah agak lama kerana ketika itu ianya belum lagi dikenali dengan nama sepertimana sekarang. Saya membeli baucer bernilai RM460 ketika Matta Fair pada September lepas. Baucer tersebut adalah untuk bilik Superior berserta sarapan pagi.
Saya tiba di resort pada pukul 2.40 petang dan terus sahaja melakukan proses daftar masuk (check-in). Oleh kerana saya meletakkan kereta di dalam kawasan resort, saya perlu terlebih dahulu membayar RM25. Proses daftar masuk sekejap sahaja dan selepas membayar RM200 untuk surcaj (kerana menginap di hari Sabtu), saya terus sahaja mendapat kad akses. Saya ke bilik hanya berjalan kaki dan tidak menaiki buggy kerana jaraknya tidaklah jauh dari lobi.
Dengan keluasan 559 kaki persegi, bilik Superior resort ini luas. Selain satu katil king, terdapat satu sofa yang besar di hadapan pintu masuk, serta satu meja yang kecil. Di dinding bertentangan dengan kaki katil terdapat kabinet panjang yang menempatkan peti sejuk mini dan peralatan untuk membancuh kopi dan teh (di sebelah kanan), sementara di sebelah kiri pula terdapat satu kerusi (di sini pengunjung boleh melakukan kerja-kerja pejabat). Di atas kabinet ini iaitu di tengah-tengahnya diletakkan satu Smart TV yang besar, bersaiz 60 ataupun 65 inci. Di sebelah kanan kaki katil iaitu di tepi pintu masuk untuk ke bilik air terdapat satu almari kecil menempatkan tempat untuk menyangkut baju. Di dalamnya juga terdapat peti simpanan keselamatan, seterika dan juga papan seterika. Semua bilik di resort ini mempunyai balkoni dan terdapat satu meja bulat dan dua kerusi untuk pengunjung bersantai di luar bilik sambil menikmati pemandangan laut.
Bilik air resort ini kecil sahaja menempatkan singki, tandas dan ruang untuk pancuran. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan terdapat dua jenis pancuran di ruang pancurannya. Ruang pancurannya ditutupi sepenuhnya dengan cermin seratus peratus lutsinar. Ruangnya agak kecil tetapi masih lagi selesa dan dinding mengadap ke laut adalah separa lutsinar tetapi terdapat bidai untuk menutupnya. Peralatan mandian lengkap disediakan termasuklah berus gigi dan tuala tangan.
Resort ini mempunyai kolam renang yang terletak di bahagian hujung dan saiznya tidaklah besar. Di sini juga terdapat restoran di mana pengunjung akan bersarapan pagi. Waktu kolam renang dibuka ialah pada pukul 7 pagi hingga 7 malam. Di sini juga terdapat gimnasium tetapi saya tidak pasti waktu ianya beroperasi.
Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan tidak begitu stabil dan hanya mencapai kelajuan 10mbps. Untuk telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 308mbps sementara Tune Talk pula 97mbps. Resort ini menyediakan Smart TV dan siaran percuma yang agak banyak dan kesemua siarannya di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat. Resort ini ada menyediakan servis in-room dining dan harga menunya tidaklah terlalu mahal. Sebagai contoh, nasi gorengnya berharga RM42 dan jus buah-buahan pula berharga RM18.
Sarapan pagi resort ini ialah di restoran yang terletak berhampiran dengan kolam renang. Sarapan bermula dari pukul 6.30 pagi hingga 10.30 pagi. Resort ini menyediakan menu makanan yang banyak dan rasanya agak sedap bagi saya, cuma mi gorengnya yang agak keras dan tidak begitu sedap. Untuk daftar keluar saya meminta sehingga jam 1.00 tengahari.
Resort ini telah lama beroperasi tetapi saya merasakan yang ianya diselenggarakan dengan baik. Walaupun saya sudah 10 tahun tidak berkunjung ke sini, tiada perubahan ketara yang dapat saya lihat. Di dalam bilik, banyak peralatan seperti katil, bantal dan tuala telahpun ditukar baharu dan tualanya sangat selesa. Resort ini sememangnya sangat sesuai untuk yang ingin berehat dan bersantai di hotel kerana suasananya yang tenang dan persekitarannya yang cantik. Walau bagaimanapun harga resort ini agak mahal di sekitar RM700 untuk bilik Superior dan untuk bilik Famili ianya boleh mencecah sehingga RM1500. Resort ini terletak di Pantai Bagan Lalang di mana pantainya tidaklah cantik, oleh itu jika ingin bermain di pantai ataupun mandi laut, resort ini tidaklah sesuai. Secara peribadi saya lebih suka menginap di sini jika dibandingkan dengan Grand Lexis mahupun Lexis Hibiscus di Port Dickson.
Nota: Di dalam gambar terdapat katil bayi (baby cot) yang tidak dikeluarkan oleh pekerja resort. Selepas saya menghubungi pihak resort, mereka dengan segera menghantar pekerja untuk mengeluarkannya.
Bilik
Bilik Air
Kolam Renang
Sarapan Pagi
Resort
Comments