top of page
Search
hanuds

AMI Suites Arte Mont Kiara (7-8/9/24)

Saya sebenarnya sudah lama ingin ke sini tetapi kali ini baru berkesempatan oleh kerana saya ingin mengunjungi MATTA Fair yang diadakan di MITEC yang terletak berhampiran. Ini adalah hotel serta residen yang terkenal dengan rekabentuk dalaman (interior) yang cantik. Arte Mont Kiara ini mempunyai banyak unit yang dijadikan hotel ataupun homestay dan yang paling terkenal adalah Arte by Thomas Chan tetapi harganya agak mahal. Saya memilih AMI Suites kerana harganya yang lebih murah. Saya membuat tempahan melalui aplikasi Trip.com dan memilih bilik jenis Snug Studio yang berharga RM267.32. Harga ini termasuk cukai tetapi tidak termasuk sarapan pagi.


Saya tiba di suites kira-kira pukul 1.20 petang dan terus sahaja ke lobi untuk pandaftaran masuk. Sebaik tiba di lobi, saya sudah dapat melihat yang suites ini sememangnya mempunyai interior yang sangat cantik. Proses daftar masuk (check-in) sekejap sahaja dan suites ini mengenakan bayaran deposit sebanyak RM200. Oleh kerana bilik belum lagi sedia, saya terlebih dahulu bersiar-siar di sekitar bangunan Arte ini untuk melihat keadaannya sambil mengambil gambar. Arte Mont Kiara ini mempunyai 3 bangunan, MK1, MK2 dan juga MK3. Waktu masuk suites ini ialah pada pukul 3 petang.


Saya mendapat bilik pada pukul 2.30 petang dan terus sahaja menaiki lif untuk ke Tingkat 35. Terdapat 4 buah lif di sini dan masa menunggu lif tidaklah lama, tetapi pergerakkan lifnya agak perlahan. Dengan keluasan 376 kaki persegi, bilik Snug Studio ini agak luas. Sebaik memasuki bilik terdapat kabinet dapur di sebelah kanan sementara bilik air pula terletak di sebelah kiri. Kabinet dapurnya lengkap dengan peralatan memasak termasuklah dapur letrik serta gelombang ketuhar dan juga pinggan mangkuk. Di bawah dapur terdapat juga mesin basuh pakaian serta peti sejuk mini. Perkakas untuk membancuh kopi dan teh diletakkan di sebelah dapur serta beberapa jenis makanan ringan yang diberikan percuma. Di hujung kabinet ini terdapat meja bar serta dua buah kerusi untuk pengunjung makan di sini.


Di bahagian katil pula, selain satu katil queen terdapat satu almari kecil di sebelah kiri penjuru bilik. Di dalamnya terdapat tempat untuk menyangkut baju serta seterika dan juga papan seterika. Di sini juga terdapat peti simpanan keselamatan serta dua pasang selipar. Di sebelah kanan katil pula terdapat satu sofa bujang berhampiran dengan tingkap cermin. Di dinding bertentangan dengan kaki katil terdapat satu kabinet TV yang menempatkan Smart TV berukuran 45 inci. Bilik yang saya inap ini pemandangannya mengadap ke Masjid Wilayah serta Bandaraya Kuala Lumpur.


Bilik airnya pula kecil sahaja menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancurannya ditutupi oleh cermin yang seratus peratus lutsinar. Hanya pancuran jenis pegang sahaja disediakan di sini. Suites ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi.


Suites ini mempunyai banyak fasiliti yang terletak di ketiga-tiga bangunannya. Mosaic Pool terletak di Level R dan mempunyai keluasan yang besar. Level R ini luas dan mempunyai interior yang cantik. Waktu operasi kolam renang ini bermula pada pukul 8 pagi hingga 10 malam. Di sebelah kolam renang ini terdapat sebuah gimnasium. Kolam renang kedua (Sky Pool) pula letaknya di Tingkat 32 dan saiznya lebih kecil. Ianya dibuka pada pukul 8 pagi hingga 10 malam. Jakuzi pula terletak di Tingkat 30 dan ianya sangat cantik. Selain itu terdapat sebuah lagi gimnasium yang terletak di aras yang sama yang mana ianya beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 10 malam. Bangunan Arte ini ada juga menyediakan playland dan butterfly garden.


Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan sekitar 14mbps. Untuk CelcomDigi pula kelajuannya mencecah 440mbps tetapi Tune Talk sangat perlahan di mana kelajuannya hanyalah sekitar 6mbps sahaja. Suites ini menyediakan Smart TV dan tiada saluran percuma yang disediakan. Tekanan air di bilik mandi pula agak perlahan dan agak susah untuk mengawal suhu airnya.


Suites ini sangat cantik seperti Bangunan Arte yang lain. Ini merupakan Bangunan Arte kedua selepas Arte+ Jalan Ampang, yang terbaru adalah Arte Cheras. Ianya sesuai bagi yang suka bergambar (ootd) kerana banyak sudut bangunannya mempunyai interior yang sangat cantik. Ianya juga sesuai membawa keluarga untuk berehat di hotel kerana suites ini menyediakan banyak fasiliti yang boleh digunakan. Cuma kebiasaannya suites ini mempunyai ramai pengunjung terutamanya di hujung minggu serta terdapat beberapa bahagian bangunan yang tidak diselenggara dengan baik.


Tidak terdapat stesen LRT ataupun MRT berhampiran dengan suites ini. Jika membawa kenderaan, suites ini ada menyediakan parkir dan ianya adalah percuma kepada pengunjung. Ini adalah bangunan Arte kedua yang saya telah kunjungi, saya pernah ke Arte+ Jalan Ampang pada satu ketika dulu. Arte sememangnya mempunyai rekabentuk bangunan dan juga interior dalaman yang unik serta cantik. Secara peribadi saya lebih menyukai Arte+ Jalan Ampang.



Bilik



Bilik Air



Hotel



Pemandangan



79 views0 comments

Comentarios


Post: Blog2_Post
bottom of page