Untuk pembukaan tahun 2023 ini saya memilih satu hotel yang agak baru dibuka, iaitu pada bulan September tahun lepas. Hotel ini terletak di Jalan Bangsar Kuala Lumpur. Apa yang menariknya ialah pada kali ini saya menggunakan aplikasi Hopper, dan bukannya Booking.com atau pun Trip.com sebagaimana biasa. Harga hotel di aplikasi ini lebih murah dan sebagai perbandingan harga hotel ini ialah RM233 (tanpa sarapan) dan di Booking.com dan juga Trip.com pula harganya ialah RM334, juga tanpa sarapan pagi.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.00 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi. Lobinya agak besar dan cantik. Pendaftaran masuk adalah cepat, hanya mengambil masa beberapa minit sahaja. Oleh kerana bilik saya belum lagi sedia, saya menunggu sahaja di lobi. Terdapat banyak sudut di hotel ini yang menyediakan sofa untuk pengunjung menunggu dan berehat. Selain kaunter terdapat juga sebuah café di aras yang sama. Setelah setengah jam menunggu, saya dihampiri oleh pekerja hotel dan diberikan kad akses bilik saya.
Saya pun menaiki lif untuk ke bilik saya yang terletak di tingakt 4. Terdapat 4 buah lif di sini dan ianya cepat (tiada pengunjung lain pada masa itu). Laluan ke bilik ditutupi karpet dan ianya cantik dan memang kelihatan masih lagi baharu. Bilik yang saya pilih ini adalah bilik yang paling kecil (jenis superior) yang mempunyai keluasan hanya 258 kaki persegi. Memasuki bilik sahaja terdapat satu rak di sebelah kanan untuk pengunjung meletakan barang-barang dan juga menyangkut baju. Ianya adalah terbuka dan tidak mempunyai pintu. Di sini juga terdapat peti simpanan keselamatan, seterika dan juga papan seterika. Selain itu 2 jubah mandi (bathrobe) digantung di ruang ini. Terdapat juga tempat meletakan beg, selipar dan juga lampu suluh serta pengering rambut. Kemudian di sebelah kiri pintu masuk pula terdapat satu kabinet yang menempatkan peti ais mini dan di atasnya pula diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan teh, serta cerek letrik.
Selain satu katil king, terdapat satu sofa panjang yang sederhana besar di tepi tingkap. Hotel ini tidak menyediakan meja kerja sepertimana kebiasaan hotel tetapi terdapat satu meja bulat dan satu kerusi untuk pengunjung duduk sambil melakukan kerja-kerja pejabat ataupun makan di dalam bilik. Sepanjang dinding mengadap ke kaki katil terdapat para serta laci untuk pengunjung meletakan barang-barang dan seperti hotel-hotel yang lain TV di lekatkan di dinding di atas para ini mengadap ke kaki katil dan saiznya dalam 50 inci.
Bilik airnya pula kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Ianya mempunyai pintu gelongsor yang boleh dikunci. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang untuk pancuran pula adalah tertutup dengan cermin yang seratus peratus lutsinar. Ruangnya tidak begitu besar dan terdapat pancuran jenis pegang dan siling disediakan. Peralatan mandian pula lengkap termasuklah berus gigi yang diletakkan di dalam kotak kecil. Ada juga disediakan tuala muka dan juga tuala tangan.
Kolam renang hotel ini letaknya di tingkat 1 dan ianya berbentuk empat segi dan tidaklah begitu besar. Terdapat ruang yang cetek di tepinya untuk kanak-kanak mandi. Terdapat kafe dan juga tempat berehat di tepi kolam renang ini dan kawasannya agak kecil. Kolam renang ini mempunyai pemandangan yang agak cantik kerana mengadap ke Menara Rebung dan juga Bangunan Angkasapuri. Selain kolam renang, di tingkat yang sama juga terdapat gimnasium dan sebuah restoran (di sini pengunjung akan bersarapan pagi).
Hotel ini menyediakan wifi percuma yang sangat laju di mana kelajuannya mencapai 193mbps. Telco pula mempunyai kelajuan 49mbps bagi Celcom dan Tune Talk pula 35mbps. Siaran TV pula adalah dalam bentuk HD tetapi siaran yang ada tidaklah begitu banyak. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya sangat berpuas hati mandi di pancurannya. Untuk pemandangan dari bilik pula, bilik yang saya inap ini mengadap ke Bangunan Angkasapuri.
Oleh kerana harga bilik yang saya bayar tidak termasuk sarapan pagi, saya menambah sarapan yang hanya berharga RM31.80 untuk seorang. Jika bukan pengunjung hotel, harganya adalah sekitar RM70. Sarapan adalah terletak di restoran di tingkat satu dan masa untuk sarapan adalah dari pukul 6.30 pagi hingga ke 10.30 pagi. Terdapat sangat banyak pilihan makanan dan ianya agak sedap bagi saya (saya hanya mencuba beberapa jenis makanan sahaja). Harga yang saya bayar sebanyak RM31.80 itu sangat murah jika diambilkira kepelbagaian makanan yang disediakan.
Secara keseluruhannya saya suka dengan hotel ini. Harga yang saya bayar sebanyak RM233 itu adalah berbaloi dan berpatutan dengan biliknya, tetapi jika diambilkira harga di Booking.com dan Trip.com, ianya agak mahal bagi saya kerana biliknya yang tidak begitu besar (hanya 258 kaki persegi). Hotel ini merupakan hotel baru dan segala kelengkapan dan perabutnya juga masih lagi baru. Selain itu lokasi hotel ini terletak bersebelahan dengan Stesen LRT Abdullah Hukum dan terdapat jejantas dari sini jika pengunjung ingin ke Mid-Valley Megamall. Kakitangan hotel yang bertugas pula sangat mesra dan melayan tetamu dengan baik sekali. Saya suka dengan suasana hotelnya yang tidak sibuk dengan orang ramai (mungkin selepas cuti sekolah). Sarapan pagi pula sangat pelbagai dan harganya adalah murah jika dibandingkan dengan hotel-hotel lain. Saya bercadang untuk kembali ke sini untuk mencuba bilik jenis deluxe pula yang lebih luas (376 kaki persegi).
Bilik
Bilik Air
Pemandangan dari Bilik
Kolam Renang
Hotel
Makanan
Comments