top of page
Search
hanuds

Amari Kuala Lumpur (24-25/11/23)

Oleh kerana pada malamnya pejabat saya mengadakan jamuan makan malam tahunan di hotel ini, jadi sekali lagi saya menginap di hotel ini. Pertama kali saya ke sini ialah pada Januari yang lepas. Hotel ini agak baru kerana memulakan operasinya pada September 2022. Saya menempah bilik superior melalui aplikasi Booking.com dan kali ini bilik ini berharga RM256.82 dan ianya tanpa sarapan pagi. Kali pertama ke sini saya pun menginap di bilik jenis yang sama.


Saya tiba di hotel pada pukul 5.10 petang dan terus sahaja ke kaunter untuk mendaftar masuk (check-in). Lobi hotel ini agak luas dan cantik. Proses daftar masuk hanya mengambil masa beberapa minit sahaja dan hotel ini mengenakan bayaran deposit sebanyak RM150. Sebaik mendapat kad akses saya terus sahaja menaiki lif untuk ke tingkat 7. Terdapat 4 buah lif di hotel ini dan masa untuk menunggu lif tidaklah lama. Kali pertama saya ke sini, bilik saya adalah di tingkat 4.


Bilik jenis superior ini mempunyai keluasan 258 kaki persegi sahaja. Sebaik memasuki bilik terdapat ruang terbuka untuk pengunjung menyangkut baju dan meletakan beg. Di sini terdapat peti simpanan keselamatan dan juga seterika serta papan seterika. Terdapat 2 pasang jubah mandi (bathrobe) digantung di ruang ini. Selepas itu berhadapan dengan pintu masuk ialah bilik air dan di sebelah kiri pintu masuk pula terdapat kabinet menempatkan peti sejuk mini. Di atas kabinet ini diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan teh, termasuklah cerek letrik. Di ruang katil pula selain satu katil queen, terdapat satu sofa sederhana besar di tepi tingkap. Di sudut kaki katil di sebelah kanan pula terdapat satu meja bulat yang sederhana besar serta satu kerusi untuk pengunjung duduk sambil makan atau melakukan kerja-kerja pejabat. Seperti hotel yang lain, TV digantung berhadapan dengan kaki katil dan ianya bersaiz 50 ataupun 55 inci.


Bilik airnya kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Hotel ini antara hotel yang menyediakan gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran pula terdapat pancuran jenis pegang dan juga siling. Ruang pancuran ini ditutupi oleh cermin yang seratus peratus lutsinar dan ruangnya agak selesa untuk mandi. Hotel ini menyediakan kelengkapan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi dan tuala tangan serta muka. Pemandangan dari bilik saya adalah ke arah kolam renang dan Bangunan Angkasapuri, sama seperti pada Januari lepas.


Kolam renang hotel ini terletak di tingkat 1 dan saiznya tidaklah besar. Terdapat sebuah kafe di sebelah kolam renang ini. Walaupun tidak terdapat kolam renang untuk kanak-kanak, terdapat ruang yang cetek untuk kanak-kanak mandi di kolam renangnya. Selain kolam renang, di aras yang sama terdapat sebuah gimnasium serta sebuah restoran. Di restoran ini sarapan pagi akan disediakan bagi pengunjung yang mengambil sarapan pagi.


Hotel ini adalah antara hotel yang menyediakan wifi percuma yang sangat laju di mana kelajuannya mencecah 151mbps untuk muat turun dan 214mbps untuk muat naik. Telco pula agak perlahan di mana Tune Talk hanya mencapai kelajuan 57mbps dan Celcom pula sekadar 52mbps. Hotel ini menyediakan siaran TV di dalam bentuk HD tetapi tidak banyak siaran yang ada. Untuk tekanan air di bilik mandi pula, ianya kuat dan saya sangat suka mandi di pancurannya.


Seperti ulasan saya yang lepas, ini adalah antara hotel yang saya suka. Harga yang saya bayar sangat berpatutan dengan biliknya serta fasiliti yang disediakan. Hotel ini bersih serta cantik dan mempunyai lokasi yang strategik. Hotel ini terletak di seberang Mid Valley Megamall dan hanya dipisahkan oleh sungai. Dari hotel ini pengunjung boleh berjalan kaki sahaja untuk ke Mid Valley Megamall melalui jejantas yang disediakan. Jejantas ini sebenarnya adalah antara Stesen LRT Abdullah Hukum dan juga Mid Valley Megamall dan hotel ini terletak bersebelahan dengan stesen LRT tersebut. Hotel ini sangat senang diakses bagi yang menggunakan pengangkutan awam. Saya pasti akan ke sini lagi bagi mencuba bilik jenis yang lain pula.



Bilik


Bilik Air


Kolam Renang


Hotel


141 views0 comments

留言


Post: Blog2_Post
bottom of page